Pengikut

Rabu, Februari 22, 2012

Akhbar The Malay Mail : Peranan dan Sumbangan


Malaymail adalah sebuah utusan yang diedarkan di Kuala Lumpur. Hari pertama pengedaran akhbar ini adalah pada 1 Disember 1896. Ia telah menjadikan The Malaymail sebuah akhbar harian yang julung-julung kalinya diedarkan di Tanah Melayu.
            Akhbar ini adalah sebuah akhbar edisi petang yang mengandungi berita dan perihal yang berlaku di kawasan sekitar Kuala Lumpur.The Malaymail membawa slogan “The Paper That Cares” yang membawa penekanan terhadap kebajikan rakyat pada ketika itu.
           
Semasa pentadbiran Jepun di Tanah Melayu, akhbar  The Malaymail telah ditukar nama kepada Malai Shimbun. Namun, nama Malai Shimbun tidak bertahan lama apabila British berkuasa semula pada 1945, The Malaymail membuat penampilan kembali dengan nama asalnya.
Pada 1990-an, akhbar The Malay Mail lebih berbentuk akhbar yang memaparkan sebahagian besar muka suratnya untuk ruangan iklan.Ia menjadikan reputasi The Malaymail sebagai akhbar iklan paling laris di Malaysia pada masa tersebut. Keadaan ini berlaku sehingga krisis ekonomi pada 1997, akhbar The Star telah mengambil alih reputasi akhbar iklan paling laris kerana memberikan pelbagai kemudahan dan tawaran harga yang lebih menarik dan menyebabkan syarikat-syarikat yang bermasalah pada ketika itu lebih memilih The Star berbanding The Malaymail bagi menempatkan iklan Syarikat mereka.

Matlamat Penubuhan  The Malay Mail
The Malay Mail merupakan akhbar yang ditubuhkan pada tahun 1896. Akhbar The Malay Mail berperanan sebagai alat penyebaran maklumat yang berkesan. Contohnya melalui akhbar The Malay Mail dapat meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan pembaca dan secara tidak langsung rakyat akan mencari jalan untuk memerdekakan tanah air daripada belenggu penjajahan. Medium akhbar sangat penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme dan cintakan tanah air dalam diri pembaca dan masyarakat.
            Selain daripada itu, akhbar The Malay Mail juga telah membuatkan masyarakat berfikir dan dapat menilai sesuatu perkara. Masyarakat mampu menafsir dan menilai sesuatu perkara sama ada betul atau salah dan tidak menerima sesuatu perkara dengan mudah. Contohnya di dalam penulisan akhbar The Malay Mail masyarakat sendiri yang akan menilai perkara yang betul dan perkara yang salah kerana tidak semua yang dicetak dalam akhbar betul sebagai contoh akhbar kerajaan sudah pasti menyorok kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan agar tidak diketahui umum dan menjaga nama baik kerajaan.
            Seterusnya, setiap orang mempunyai hak untuk mencari kebenaran. Melalui akhbar pelbagai berita boleh dibaca dan diketahui yang merangkumi pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Melalui medium akhbar The Malay Mail telah menyampaikan sesuatu kebenaran kepada masyarakat dan perkara yang terkini berlaku pada setiap hari di seluruh Malaysia. Contohnya berita banjir, sukan dan lain-lain.
            Melalui akhbar The Malay Mail juga, masyarakat dapat mengetahui isu-isu semasa dan perkara yang berlaku di dalam dan luar negara. Ini menunjukkan rakyat bukan sahaja peka kepada isu-isu di dalam negara sahaja malah dapat mengikuti perkembangan di negara lain seperti di Thailand. From its early years,‘The Malay Mail' established itself as the newspaper for office workers, urban executives and homemakers who keenly followed developments in the world, the neighbourhoods they lived in, sports, fashion and the retailing industry. Ini menunjukkan hanya golongan tertentu sahaja yang membaca akhbar The Malay Mail seperti suri rumah, pekerja pejabat dan eksekutif di kawasan bandar yang memahami bahasa Inggeris.
At present the paper is widely read in the urban areas around the capital Kuala Lumpur. Akhbar The Malay Mail pada awal penubuhan pada tahun 1896 dibaca secara meluas di kawasan ibu kota Kuala Lumpur kerana dari segi kemudahan dan sistem pendidikan lebih tertumpu di kawasan bandar. Jadi penduduk di kawasan bandar lebih memahami bahasa Inggeris berbanding penduduk di kampung.
            Selanjutnya, melalui akhbar The Malay Mail juga masyarakat juga dapat memaparkan atau memasukkan iklan di dalam akhbar. Contoh iklan yang dipaparkan dalam akhbar The Malay Mail seperti iklan kerja kosong. Melalui cara ini telah memudahkan kerja pihak syarikat dan rakyat yang ingin bekerja juga senang mencari kerja dengan membaca akhbar. Pengaruh pengiklanan amat menarik minat rakyat untuk mencari kerja jika promosi yang dibuat baik.
            Matlamat penubuhan akhbar The Malay Mail yang berikutnya adalah membolehkan rakyat mengetahui hal ehwal politik contohnya pentadbiran negara. Melalui cara ini rakyat dapat tahu cara pentadbiran kerajaan dan cara kerajaan mengurus dan mentadbir negara. Contohnya bajet kerajaan akan memasukkan di dalam akhbar agar rakyat tahu bajet tahunan negara.
            Akhir sekali matlamat penubuhan akhbar The Malay Mail adalah memberikan berita berhubung berita sukan. Contohnya Selangor Golf, The Malay Mail, Rabu, 23 Disember 1896. Rakyat dapat mengetahui berita sukan walaupun berada di negeri lain. Walaupun rakyat pada zaman dahulu tidak secanggih masyarakat sekarang seperti kemudahan astro, internet dan sebagainya, tapi dengan adanya medium akhbar The Malay Mail ini dapat memberikan berita sukan terkini yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat sukan tanah air.

Isu- Isu Yang Dimainkan Oleh The Malay Mail
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa The Malay Mail merupakan sebuah akhbar yang memainkan peranan yang penting dalam dunia kewartawanan dan dalam melaporkan isu-isu yang berlaku sepanjang sejarah penubuhannya. Pada peringkat awal penubuhannya iaitu pada tahun 1896,kebanyakan berita yang dimuatkan dalam akhbar ini ialah berita yang berlaku di Selangor dan juga Perak termasuklah Kuala Lumpur. Disebabkan The Malay Mail banyak menyiarkan mengenai isu-isu yang berlegar dalam masyarakat sehingga digelar sebagai “The Paper That Care”.
Antara isu yang dimuatkan dalam akhbar The Malay Mail ialah mengenai reka bentuk bendera Malaya. Akhbar Malay Mail memainkan peranan yang penting dalam reka bentuk bendera Malaya pada masa itu. Pada tahun 1949, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membuat perakuan untuk mereka bentuk bendera Malaya. The Malay Mail telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Pada 10 Ogos 1949, akbar Malay Mail telah menyiarkan  satu berita tentang penghasilan bendera Persekutuan Tanah Melayu di halaman ke lima. Pada laman tersebut tertulis:
            “The Federation is to have its own flag and members of the public are invited to submit designs. The specification for the design, states an official release, is that it must be simple and should keep to the colours of yellow, red, white and blue with the general design symbolic of the Federation and the unity of the nine States and the two Settlements.
Designers will have until September 10 to put forward their ideas which may include symbols such as a kris, cross krisses, a tiger or a crescent; They should be forwarded to the Clerk of the Council, Council Chambers, Kuala Lumpur.
The following committee will consider the designs submitted: The Chief Secretary, Sir Alex Newboult (chairman), the Menteris Besar of Pahang, Negeri Sembilan, and Johore; His Highness Tengku Yacob ibni Sultan Abdul Hamid and Enche Zainal (Abidin. In the report Abidin was left out) representing the Malay Members of the Legislative Council; The Resident Commissioner, Penang, Mr A. V. Aston, representing the Settlements; Mr H.H. Facer and Mr Yong Shook Lin, representing unofficial members of the Legislative Council.”
Sebanyak 373 reka bentuk telah terlibat dalam pertandingan itu. Tetapi hanya 3 rekabentuk sahaja yang diluluskan untuk dibuat penilaian.  Reka bentuk yang pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali terdapat 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut. Bentuk yang ketiga pula mempunyai 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri. Rajah di bawah adalah imej reka bentuk yang disiarkan di dalam akhbar The Malay Mail dalam hitam dan putih. Kemudian, Majlis Perundangan Persekutuan dan The Malay Mail telah menjemput orang ramai untuk memberikan pendapat mengenai bendera yang telah direka bentuk tersebut. Dan rekaan Mohamad Hamzah yang bekerja sebagai arkitek Jabatan Kerja Raya ( JKR ) Johor telah terpilih.
Beberapa pindaan dan ubah suai yang telah dijalankan tehadap reka bentuk bendera tersebut dengan mendapat perkenan daripada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:
"That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-
Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."


Selepas pendapat diberikan oleh orang ramai,pada 28 November 1949, akhbar The Malay Mail sekali lagi memainkan peranan penting dengan membuat pengumuman mengenai keputusan mengenai pemilihan bendera Malaya tersebut. Corak bendera Malaya yang dipilih tersebut kemudiannya telah diperkenankan oleh King Goerge vi.  Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan Pegawai-Pegawai King George VI.
Akhbar The Malay Mail banyak melaporkan isu semasa dan juga isu sekitar yang berlaku pada masa itu. Contoh isu yang dilaporkan oleh The Malay Mail ialah penubuhan angkatan Senoi Praaq. Senoi Praaq bermaksud “orang-orang asli yang suka berperang” dalam bahasa Temiar dan Senoi. Pada keluaran 4 March 1959, akhbar The Malay Mail telah melaporkan penubuhan  angkatan bersenjata yang dianggotai oleh orang asli. Lt.Col R.O.D merupakan pengasas kepada angkatan Senoi Praaq. Penubuhan Senoi Praaq bermula apabila seramai 10 orang asli telah ditangkap kerana bekerjasama dengan komunis. Mereka yang ditangkap ini telah dilatih oleh British untuk kembali menentang komunis. Selain isu penting kepada keselamatan negara,The Malay Mail juga melaporkan isu-isu yang dianggap biasa seperti Tunku Abdul Rahman yang melakukan solat Jumaat di Masjid Pudu. Selain itu, The Malay Mail turut tidak ketinggalan untuk melaporkan mengenai perayaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Berita mengenai pemashyuran Hari Kemerdekaan ini dijadikan muka depan akhbar tersebut dengan tajuk “The Big Moment : Storm clouds roll away as new nation is born
Sepanjang tahun-tahun awal kemerdekaan Tanah Melayu,berita mengenai keselamatan juga turut dimainkan yang biasanya melibatkan kekejaman komunis. Antaranya kes Lim Phang Soon Kow, yang mnjadi tali barut komunis. Lim Phang Soon Kow, sebenarnya adalah anggota kepada Home Guard yang bertindak menjaga keselamatan kampong namun malangnya,tugas yang diberikan itu telah memudahkan lagi Lim Phang Soon Kow membantu komunis untuk menyerang kampung-kampung. Lim Phang Soon Kow telah membunuh beberapa orang anggota Home Guard di Kampung Baru Senai Johor dan melarikan 4 laras senjata dan 80 butir peluru mangsa. Lim Phang Soon Kow telah mati dibunuh oleh seorang Gurkha pada tahun 1957.
Selain isu yang melibatkan orang ramai, The Malay Mail juga turut melaporkan isu-isu yang melibatkan mahasiswa. Sekitar bulan Mei 1969, berlaku ketegangan kaum. parti-parti politk dan persatuan pada masa itu saling meniupkan sentiment perkauman. Untuk mengelakkan berlakunya keadaan yang tidak baik akibat ketegangan kaum ini, pelajar-pelajar Universiti Malaya daripada pelbagai kaum telah menyatakan semangat perpaduan. Pada 12. Mac.1969, pelajar ini telah mengadakan “Solidariti March” sempena minggu mahasiswa di universiti berkenaan. Akhbar The Malay Mail telah melaporkan mengenai peristiwa ini dengan tajuk “March by freshies to show streght and solidarity”. Namun malangnya,hari keluarnya berita ini merupakan hari yang mencatatkan peristiwa hitam dalam negara kita iaitu peristiwa 13 Mei 1969.
Selain daripada isu-isu yang dimainkan oleh The Malay Mail, iklan-iklan daripada pelbagai syarikat terutamanya syarikat daripada eropah memenuhi ruangan iklan sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1896 lagi. Antara iklan yang dimuatkan ialah iklan barangan kenderaan seperti tayar contohnya, Syarikat Cycle & Carriage Co. yang mengiklankan barangan tayar,basikal dan seumpamanya. Manakala Syarikat John Little & Co Ltd telah mengiklankan kerusi dan barangan perabut seperti meja dan katil sekitar tahun 1900 lagi.

Peranan Dan Sumbangan Akhbar The Malay Mail
Pendidikan
Peranan akhbar the malay mail ini merupakan satu medium untuk penyebaran maklumat kepada masyarakat melayu dan juga penyumbang kepada kebangkitan semangat nasionalisme melayu. Pada 8 Mac 1901,mereka menceritakan pada masa ini pihak british telah menyediakan pelbagai kemudahan kepada masyarakat di tahah melayu. Kemudahan yang telah disediakan oleh pihak british ialah sekolah,hospital dan sebagainya. Akan tetapi,segala kemudahan yang disedikan oleh pihak british ini kebanyakkannya diperolehi oleh orang british dan juga orang cina. Orang melayu pula diabaikan. Hal ini telah menyebabkan kebajikan masyarakat melayu diabaikan. Pengabaian kebajikan masyarakat melayu ini ditunjukkan dalam akhbar ini melayu ini dalam akhbar evening standart yang mana telah dipetik dalam akbar malay mail pada 22 disember 1903.
A Malay Youth dalam petikan akbar the malay mail 15 disember 1922 yang menyatakan bahawa pendidikan yang diperkenalkan oleh british untuk orang melayu adalah  pada tahun 1922 iaitu SITC. Sistem pendidikan yang ditawarkan pada masa ini adalah lebih kepada bahasa melayu dan bukannya bahasa inggeris. Walaupun pada masa ini,bahasa yang penting ialah bahasa inggeris. Hal ini kerana dalam pentadbiran negara semasa pemerintahan british ialah  menggunakan bahasa Inggeris. Kenyataan yang dikeluarkan ini turut disokong oleh A Malay Father pada 19 Disember 1922 yang mana dalam petikan akhbar the malay mail menyatakan sistem pendidikan yang diperkenalkan ini adalah untuk anak-anak kepada nelayan dan juga petani-petani. Wal hal bagi golongan petani dan nelayan ini,hasrat mereka menghantar anak-anak mereka adalah untuk berkerja dengan pihak kerajaan. Akan tetapi hasrat mereka tidak kesampaian kerana ilmu yang di ajar adalah  tidak selayak dengan pendidikan yang didapati oleh anak golongan bangsawan seperti anak-anak raja dan juga anak-anak pegawai british.Selain daripada itu,kenyataan ini juga turut disokong oelh ABDUL iaitu dari kuala lumpur,yang mana dipetik pada  23 disember 1922.
Oleh hal yang demikian,dalam beberapa surat yang tersiar dalam akhbar the malay mail ini,semakin jelas menunjukan terdapat suara sungutan perihal kurangnya peluang untuk anak-anak orang kebanyakan mempelajari bahasa inggeris. Disebabkan keadaan itu,golongan bawahan ini membuat rayaun kepada pihak british supaya memberi peluang kepada golongan bawahan untuk mempelajari bahasa inggeris. Akan tetapi rayauan ini hanya dikemukan oleh golongan bahawan sahaja,kerana anak-anak golongan atasan ini sudah sedia maklum mendapat pelajaran bahasa inggeris. Kenyataan ini pula terus disokong oleh A Malay Commerce dari kuala kangsar. Hal ini kerana beliau mempunyai persamaan permikiran dengan a malay father bahawa masyarakat melayu tidak akan maju sekiranya golongan belia ini tidak dieberi peluang untuk memegang jawatan-jawatan yang tinggi yang terdapat dalam perkhidmatan pentadbiran.
Politik
Walaupun pada awal tahun 1930an perkara yang difokuskan oleh orang melayu adalah lebih terjurus kepada masalah pendidikan,ia mula beralih kepda isu politik pada tahun 1931. Peristiwa yang membawa kepada kebangkitan semangat politik dalam kalangan orang melayu ialah dengan pengenalan Dasar Desentralisasi oleh Sir Cecil Clementi ( Pesuruh Jaya Tinggi Negeri Melayu bersekutu merangkap Gabenor Negeri-Negeri Selat 1930-1934 ) pada bulan Ogos 1931 di Durbar Sri Menanti. dalam dasar ini,mereka lebih mementingkan orang melayu. Tindakan ini telah menimbulkan perbahasan yang cukup hebat antara orang melayu dengan orang  bukan melayu. Perbahasan ini juga turut hangat dibincangkan dalam akhbar-akhbar melayu dan juga akhbar melayu. Selepas beberapa tahun kemudian,akhbar The Malay Mail telah membuat penterjemahan mengenai ulasan-ulasan yang terdapat dalam akbar melayu untuk diberitahu kepada khalayan umum,atau lebih kepada pembacanya.
Oleh hal yang demikan,telah mula wujudnya pemikiran yang mana menyatakan bahawa betapa pentingnya kewujudan persatuan-persatuan dalam kalangan orang melayu. Kewujudan persatuan ini adalah untuk menyuarakan suara-suara orang melayu kepada pihak atasan. Selain itu juga,pendedahan ini juga telah memberikan kesedaran akan kepentingan politk bagi orang melayu. Pada masa ini,hubungan orang melayu dan bukan melayu mula renggang kerana  orang melayu sudah mula berpegang kepada semangat nasionalisme melayu. Dalam kebangkitan ini,bukan semua orang india dan cina yang terlibat dalam konflik ini,mereka yang terlibat adalah orang cina dan india yang memdapat pendidikan inggeris. Hal ini kerana orang cina dan india ini lebih menitik beratkan kepada isu politik yang sedang bergolak dinegara mereka sahaja.
The Malay Mail benar-benar masuk kedalam nadi masyarakat dalam bidang politik ialah melalui peristiwa mogok atau lebih dikenali sebagai Hartal yang dianjurkan oleh PUTERA-AMCJA. Mengenai peristiwa ini turut dinukilkan dalam sebuah artikel yang bertajuk Peranan Politik Akhbar Suara Rakyat 1945-48 oleh Ishak Saat. Akhbar The Malay Mail telah memuatkan mengenai propaganda yang mana akan diadakan mogok di beberapa buah kawasan seperti di Negeri Sembilan,Pahang Barat,Perak,Selangor dan Johor. The Malay Mail telah melaporkan yang A.A.Mohd Abdullah telah bersetuju bahawa pertubuhan mereka akan turut serta dalam tindakan hartal aman. Peristiwa Hartal yang dilancarkan pada 20 Oktober 1947 bermula dari pukul 6 pagi telah berjaya seperti yang dirancangkan. Semua kedai di Kuala Lumpur ditutup dan ibu kota menjadi lengang pada hari tersebut. British dianggarkan mengalami kerugian lebih kurang 4 juta pound Sterling. Inilah bukti kukuh kejayaan pendekatan penggunaan akhbar untuk menyemarakkan api pemogokan di seluruh Tanah Melayu.

Jumaat, Januari 06, 2012

Kenali Aras Kognitif Taksonomi Bloom dan Contoh Soalan Setiap Aras ( Sejarah ).


Aras Kognitif Taksonomi Bloom

Benjamin Bloom ( 1956 ) telah menulis dalam bukunya Taxonomy of Education Objectives:Handbook I:Cognitive Domain bahawa terdapat 6 aras kognitif yang disusun daripada yang paling rendah kepada yang paling tinggi. Dalam Taksonomi Bloom,terdapat domain kognitif yang mempunyai 6 aras iaitu pengetahuan,pemahaman,aplikasi,analisis,sintesis dan analisis. Taksonomi Bloom amat penting kepada sistem pembelajaran dan pengajaran kerana ia menerapkan pemahaman,pengetahuan,konsep,kaedah,aplikasi dan sebagainya.
Aras Pengetahuan
Aras pengetahuan ialah aras yang paling ringkas dalam domain kognitif. Soalan aras ini memerlukan pelajar untuk mengingat setiap mata pelajaran yang diajar oleh guru. Perkataan yang biasa digunakan untuk merujuk kepada soalan aras ini ialah siapa,apa,dimana,bila dan beri definisi.
Aras Pemahaman
Objektif domain ini ialah kefahaman yang bermaksud pelajar perlu menjelaskan pengetahuan secara bermakna. Soalan ini memerlukan proses mentel berkait dengan kefahaman misalnya terjemahan,tafsiran. Perkataan yang kerap digunakan untuk soalan jenis ini ialah huraikan,bandingkan,nyatakan,bezakan dan nyatakan dalam perkataan anda sendiri.
Aras Aplikasi.
Pada peringkat ini,pelajar perlu benar-benar memahami konsep, prinsip, teori, hukum, prosedur dan kaedah am untuk menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Soalan ini melibatkan 3 frasa iaitu prinsip,menyelesaikan masalah dan dalam situasi baru. Perkataan ang sering digunakan ialah pilih,buat,kira,selesaikan.
Aras Analisis
Peringkat Analisis menekankan kepada keupayaan pelajar mengenal pasti unsur-unsur dan struktur yang mengaitkan unsur-unsur tersebut bagi sesuatu dokumen/kes yang diberikan. Situasi mestilah baru,tidak biasa atau berbeza dengan situasi semasa. Soalan ini memerlukan pemikiran kritik tetapi bukan mengulang pengetahuan yang dipelajari. Perkataan yang kerap digunakan untuk soalan ini ialah mengapa,kenapa,apakah faktor,buatkan rumusan dan buktikan.
Aras Sintesis
Sintesis bermaksud keupayaan menggabungkan unsur-unsur dan bahagian-bahagian supaya sesuatu dokumen itu menjadi lebih teratur dan berstruktur. Soalan dalam aras ini tidak perlu teliti kerana akan membataskan kreativiti. Perkataan yang kerap digunakan ialah ramalkan,hasilkan,tuliskan dan cadangkan apa yang akan berlaku.
Aras Penilaian
Dalam aras ini,pelajar perlu membuat pertimbangan untuk sesuatu soalan. Situasi yang hendak dinilai mestilah baharu dan tidak pernah disentuh. Perkataan yang sering digunakan ialah pertimbangkan,tafsirkan,tentukan dan pertahankan.

Contoh Soalan

Aras Pengetahuan
Objektif: Melalui soalan ini,pelajar akan tahu bila terbentuknya Malaysia.
1 . Bilakah terbentuknya Malaysia?
- Malaysia telah terbentuk pada  16 September 1963. Ia dianggotai oleh Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Aras Pemahaman
Objektif : Melalui soalan ini,pelajar akan dapat mengetahui mengenai jenis-jenis sumber yang boleh dijadikan rujukan untuk mengkaji mengenai Malaysia.
2 . Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pembentukan Malaysia,banyak sumber-sumber yang boleh dirujuk untuk tujuan tersebut. Apakah antara sumber-sumber tersebut?
- Antara sumber-sumber yang boleh dirujuk untuk mengetahui mengenai sejarah pembentukan Malaysia ialah Dokumen-dokumen yang masih tersimpan di Arkib,Muzium dan juga pihak persendirian. Dokumen seperti dokumen pengistiharan Malaysia boleh dirujuk untuk mengetahui mengenai sejarah Malaysia. Selain itu ialah catatan-catatan yang dilakukan oleh mereka/ahli sejarah yang terlibat dengan peristiwa terbabit. Selain itu, sumber lisan daripada mereka yang pernah terlibat dalam peristiwa kemerdekaan tersebut juga boleh diambil untuk mengetahui mengenai pembentukan Malaysia. Selain itu,surat rasmi kerajaan,surat peribadi tokoh terlibat juga boleh menjadi dalil untuk mengetahui peristiwa pembentukan Malaysia. Selain itu,akhbar-akhbar yang terbit pada zaman itu juga boleh dijadikan rujukan oleh pengkaji sejarah Malaysia untuk mengetahui dengan lebih lanjut peristiwa pembentukan Malaysia.

Aras Aplikasi
Objektif : Pada soalan ini,pelajar akan dapat mengetahui kenapa Singapura di singkirkan daripada Malaysia.
3 . Singapura telah bersetuju untuk menjadi salah sebuah Negara yang terlibat dengan pembentukan Malaysia. Namun selepas hanya 2 tahun, Singapura telah dikeluarkan oleh Tunku Abdul Rahman daripada Malaysia. Kenapakah Tunku bertindak demikian?
- Antara sebab kenapa Tunku Abdul Rahman berbuat demikian kerana merasakan PAP mungkir janji dan cuba menyebarkan pengaruhnya kedalam Tanah Melayu sekaligus melanggar perjanjian yang telah disepakati selama ini. Dalam perjanjian tersebut,PAP tidak akan menyebarkan pengaruhnya kedalam Tanah Melayu dan begitu juga MCA tidak akan menyebarkan pengaruhnya di Singapura. Malangnya, PAP telah melanggar persetujuan tersebut dengan menyebarkan pengaruhnya di Tanah Melayu. Hal ini telah menyebabkan pengaruh MCA dalam kalangan kaum Cina telah tersebut. Untuk mengatasi masalah yang berlaku ini, Tunku Abdul Rahman telah memberikan kemerdekaan yang berasingan kepada Singapura.

Aras Analisis
Objektif: Pada soalan ini,pelajar akan dapat membezakan antara golongan kanan dan golongan kiri di Malaysia.
4. Apakah perbezaan antara 4 tokoh di bawah ?
Dr Burhanuddin al Helmy
Dato’ Onn
Pak Sako
 Tunku Abdul Rahman

- Perbezaan yang ketara antara 4 tokoh diatas ialah fahaman mereka dalam usaha menuntut kemerdekaan. Dr Burhanuddin al Helmy dan Pak Sako digelar sebagai golongan kiri yang mahukan kemerdekaan dalam apa jua cara walaupun melalui peperangan secara kekerasan. Namun Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman hanya mahukan kemerdekaan dengan cara aman dengan melakukan rundingan.
Aras Sintesis
Objektif : Pada soalan ini,pelajar akan membuat ramalan mengenai apa yang akan berlaku jika golongan kanan dan golongan kiri bersatu menuntut kemerdekaan. Pelajar akan dapat mengetahui kesan daripada perkara tersebut.
5 Ramalkan apa yang akan berlaku jika golongan kanan dan golongan kiri bersatu untuk menuntut kemerdekaan?.
- Pada pendapat saya,jika golongan kanan yang diketuai oleh Dato’ Onn dan golongan kiri bersatu untuk menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu,sudah semestinya kemerdekaan akan cepat tercapai samada melalui rundingan ataupun jalan kekerasan.
Aras Penilaian
Objektif : Pada soalan ini,pelajar akan dapat menilai kepentingan kemerdekaan kepada penduduk di Tanah Melayu.
6 . Nilaikan kepentingan kemerdekaan kepada penduduk Tanah Melayu?
Kemerdekaan amat penting kepada penduduk Tanah Melayu. Buktinya muncul banyak parti-parti yang melibatkan orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan contohnya PKMM,Hizbul Muslimin kemudiaan diikuti oleh UMNO dan Parti Negara. Orang Melayu mahukan sebuah kerajaan yang dibentuk sendiri oleh penduduk Tanah Melayu bukannya sebuah pentadbiran yang diperintah oleh bukan dari bangsa Melayu. Kemerdekaan amat penting kepada orang Melayu kerana ini menandakan kemampuan mereka untuk menjadi pentadbir yang selama ini dilakukan oleh penjajah.

Khamis, Januari 05, 2012

Tan Sri A Samad Ismail. Sejarah Hidup dan Sumbangan


A Samad Ismail bersama keluarga

Abdul Samad Ismail telah dilahirkan pada 24 April 1925 tetapi tarikh lahirnya beliau telah diubah kepada 18 April 1924 oleh ayahnya sendiri disebabkan oleh kemampuan beliau untuk lulus dalam Senior Cambridge dalam usia yang begitu muda. Untuk mengelakkan orang ramai syak mengenai kelulusan dalam Senior Cambridge itu,ayahnya yang merupakan seorang guru besar telah bertindak menukar tarikh kelahiran itu dengan surat sumpah. Ramai daripada penulis dan pengkaji Tan Sri A.Samad Ismail beranggapan bahawa beliau dilahirkan pada 18 April 1924. Tan Sri A.Samad Ismail merupakan anak yang ke-8 daripada 16 orang adik beradik. Bapanya bernama Ismail Shairazi dan ibunya bernama Aida Abdul Majid. Kedua ibu bapanya merupakan keturunan Jawa yang menetap di Singapura. Selepas menamatkan Senior Cambridge pada usia seawal 16 tahun,beliau telah bekerja dengan Utusan Melayu yang pada masa itu di pimpin oleh Rahim Kajai dan juga Yusof Ishak. Beliau mula berkhidmat disini pada tahun 1941. Untuk bekerja disini beliau telah menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Sultan Idris Training Collage ( SITC ) untuk dilatih menjadi nazir sekolah-sekolah Melayu. Di sini,beliau telah banyak belajar mengenai kewartawanan dan cara hidup masyarakat Melayu yang moden. Semasa bekerja di Berita Malai,beliau telah berkahwin dengan isterinya iaitu Hamidah Hasan yang berasal dari Pulau Pinang dan pernah menjadi orang bawahannya semasa di Berita Malai. Sejak daripada kecil lagi,A Samad Ismail menyimpan duit untuk membeli akhbar atau majalah atau setidaknya akan membaca akhbar di rumah jirannya. Setiap hari beliau akan diberi wang saku sebanyak 13 sen dan dengan duit itulah beliau akan membeli akhbar atau majalah. Bermula daripada minatnya pada zaman kecilnya ini,telah membentuk peribadinya untuk menjadi seorang wartawan akhbar yang telah memberi sumbangan dan jasa yang besar kepada aktiviti kewartawanan negara.
Kisah Hidup A.Samad Ismail
Kisah hidup A.Samad Ismail boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu sejak beliau bekerja dengan Utusan Melayu selepas tamat sekolah,bekerja di akhbar Berita Malai semasa zaman perang dan keterlibatan dalam politik. Kisah hidup tokoh kewartawanan ini menarik untuk dikaji oleh masyarakat Malaysia kerana Tan Sri A.Samad Ismail mempunyai pelbagai rintangan dalam menempuhi hidupnya sebelum menjadi seorang yang terkenal dalam lapangan kewartanan di Singapura dan juga di Malaysia.

Bekerja Di Utusan Melayu
Penerbitan akhbar Utusan Melayu ini sebenarnya terbahagi kepada dua peringkat. Utusan Melayu peringkat pertama adalah milik seorang Inggeris yang kemudiannya dijual kepada beberapa orang yang berbangsa Melayu. Akhbar ini terbit dalam lingkungan tahun 1907-1921. Utusan Melayu peringkat awal ini dimiliki oleh William Makepeace yang dijadikan kembar kepada akhbarnya iaitu Singapore Free Press. Kemudian akhbar tersebut telah dibeli oleh Muhammad Yunus Abdullah dengan harga RM 5000. Antara ahli lembaga pengarahnya ialah Haji Muhammad bin Muhammad Hakin,Haji Abdul Kadir bin Abdul Aziz,Iwad Sa dan Muhammad Yunus Abdullah serta William Makepeace sebagai pemegang saham. Namun akhbar ini tidak mampu bertahan lama kerana masalah kewangan yang dihadapi sehingga terpaksa menghentikan operasi pada tahun 1921.
Syarikat Utusan Melayu yang kedua telah ditubuhkan pada tahun 1939. Yusof Ishak dan kawannya dalam Kesatuan Melayu Singapura telah menubuhkan Syarikat Utusan Melayu dan menerbitkan akhbar Utusan Melayu. Uniknya penubuhan akhbar ini ialah ia melalui pungutan derma daripada masyarakat. Ramai wartawan yang hebat telah berkampung dalam akhbar ini antaranya Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad. Tidak lama daripada penubuhan akhbar ini, A.Samad Ismail telah bekerja di akhbar ini.
Sebenarnya, A Samad Ismail merupakan penerima biasiswa Kesatuan Melayu Singapura. Beliau berkerja dengan Utusan Melayu pun kerana diminta oleh kesatuan tersebut walhal pada awalnya beliau lebih berminat untuk bekerja sebagai kerani yang meraih gaji yang lebih tinggi berbanding dengan gaji seorang wartawan. Semasa awal-awal bekerja di utusan,beliau tidak mendapat gaji langsung tetapi dengan berbekalkan wang diberikan oleh ibu dan kakaknya beliau berbelanja. Pada awalnya,beliau tidak diberi tugasan melainkan hanya pergi mendengar kes mahkamah dan melihat cara penghasilan akhbar itu sahaja. Rahim Kajai amat menitikberatkan kandungan yang terdapat dalam akhbarnya, sehingga jika ada kesalahan yang dilakukan oleh pekerjanya,beliau akan menyumpah dan mencarut kepada pekerja tersebut. Pernah suatu hari, A. Samad Ismail menulis sebuah rencara kira-kira 5 muka surat kemudian diserahkan kepada Rahim Kajai untuk dinilai sebelum disiarkan di Utusan Melayu. Selepas beberapa hari menyerahkan rencana tersebut kepada Rahim Kajai namun masih tiada respon maka beliau pergi berjumpa dengan Rahim Kajai untuk mengetahui mengenai rencana tersebut. Namun Rahim Kajai tanpa membaca  rencana tersebut terus menggumpal dan meludah rencana tersebut sebelum membuang kedalam tong sampah. Sebagai seorang yang amat mementingkan dunia kewartawanan, beliau amat menitik beratkan mengenai nilai sesebuah rencana.
Semasa masyarakat Tanah Melayu sibuk berbicara mengenai kemerdekaan, A Samad Ismail telah memainkan peranan dengan menjadi juru bicara kemerdekaan dan lantang menyuarakan kehendak orang Melayu melalui Utusan Melayu.
A.Samad Ismail telah bertindak berhenti daripada Utusan Melayu pada bulan November 1958 selepas tidak sanggup lagi untuk bekerja di Jakarta. Beliau dihantar ke Jakarta kerana Yusof Ishak mengatakan bahawa Tunku Abdul Rahman tidak mahu beliau bekerja di Kuala Lumpur sedangkan ramai sahabatnya di Utusan Melayu telah berpindah ke pejabat di Kuala Lumpur seperti Usman Awang,Said Zahari,Tajudin Kahar,Salim Kajai,Awam-il-Sarkam dan beberapa orang lagi anggota kanan di pejabat pengarang Utusan Melayu. Pada tahun 1959,Pak Samad telah dilantik untuk menjadi pengarang pertama di Berita Harian.

Berita Malai
Selepas kekalahan British di Tanah Melayu dan Singapura, Jepun telah mengambil alih pemerintahan semenanjung Tanah Melayu dan Singapura dan meletakkannya dibawah pentadbiran tentera. Walaupun dalam keadaan yang masih belum tenang dimana gejala mencuri semakin menjadi-jadi, Jepun tetap meminta Yusof Ishak,Ishak Haji Muhammad untuk terus membuka syarikat akhbar. Yusof Ishak yang mempunyai hubungan baik dengan A.Samad Ismail telah meminta A.Samad Ismail untuk bersamanya membuka syarikat akhbar. Selepas beberapa lama,pada 1 Januari 1943, Jepun telah bertindak menggabungkan Warta Malaya dengan Utusan Melayu yang dikenali sebagai Berita Malai yang diterbitkan dalam tulisan rumi. Dalam Memoir A.Samad Ismail di Singapura,beliau menjelaskan bahawa Jepun menyebarkan dakyah wawasan Timur Raya melalui akhbar ini. Isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini seperti takrif Melayu telah tidak dimainkan tetapi akhbar ini masih memainkan peranan penting dalam meniup semangat nasionalis Melayu. Berita Malai banyak memainkan peranan dalam perkembangan sastera Melayu moden dengan menyiarkan sajak dan carpen yang dihasilkan oleh Kesatuan Melayu Muda dan angkatan sasterawan Indonesia.
Berita Malai sudah boleh dikatakan sebagai sebuah akhbar yang lengkap dan mempunyai teknologi yang canggih. Jepun telah bertindak menghimpunkan wartawan daripada pelbagai akhbar untuk bekerja di sini. Antaranya ialah Ibrahim Mahmud ( penyunting di akhbar Warta Malaya ),Mohamed Sallehuddin ( bekas pengarang Majlis ), Othman Kalam ( bekas pengarang Warta Malaya dan beberapa orang lagi.
Yusof Ishak yang tidak mampu menghadapi tekanan Jepun pada masa itu telah bertindak melarikan diri ke Pulau Bintan dan menjadi petani. Ini telah memaksa,A.Samad Ismail menggantikan tempat beliau dalam usia yang begitu muda. Semasa menjadi editor di Berita Malai, perwatakan beliau berubah daripada kebiasaan sehingga dikatakan bahawa beliau seorang yang garang,perengus dan tidak bertimbang rasa. Banyak penulis di Berita Malai yang tersinggung dengan beliau antaranya ialah Said Dahari.
Zaman Selepas Perang
Selepas Jepun menyerah kalah kepada British, orang-orang yang bekerja  dengan Jepun akan didakwa dan A.Samad Ismail tidak terlepas kerana pernah menjadi orang kuat Berita Malai. Beliau telah dipenjarakan di penjara Outram. Beliau telah di siasat oleh Jabatan Perisikan Tentera British dan juga Cawangan Khas ( SB ) . Beliau ditahan kerana dituduh terlibat dalam gerakan menentang kerajaan British dan keterlibatan dengan golongan politik kiri seperti KMM dan KRIS selain daripada beberapa rencana yang dianggap sebagai menentang British.
Keluarga A.Samad Ismail telah mencari seorang peguam India Muslim untuk membela A.Samad Ismail.  Beberapa hujah telah disediakan untuk membela A.Samad Ismail iaitu, beliau hanya menjadi orang suruhan Jepun untuk menulis artikel anti-British dan anti-Amerika kerana ketua sebenarnya ialah seorang Censor Jepun yang mengarah dan menilai penulisan didalam akhbar Berita Malai,Semangat Asia dan Fajar Asia. Selain itu,faktor umur turut dibangkitkan iaitu umur beliau yang masih begitu muda semasa memimpin Berita Malai iaitu sekitar 20 tahun sahaja dan mustahil dengan umur yang sebegitu muda,Jepun akan memberikan kebebasan untuk menulis tajuk rencana. Alasan lain yang diberikan ialah kenapa hanya A.Samad Ismail seorang sahaja yang ditangkap dan kenapa pengarang lain di Berita Malai tidak ditangkap oleh British. Hujah yang diberikan oleh peguam tersebut dikira masuk akal dan beliau dibebeskan tanpa lepas atau dalam istilah Inggeris di sebut sebagai “discharged not amounting to an acquittal”.
A.Samad Ismail atau lebih dikenali masyarakat sebagai Pak Samad pernah di penjara sebanyak 2 kali semasa zaman British dan pada tahun 1976 semasa pemerintahan Tun Hussien Onn beliau sekali lagi dipenjarakan ( ISA ) kerana dituduh bersimpati dengan Komunis. Beliau hanya dibebaskan pada 1981 semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.  Beliau ditahan pada 22 Jun 1976 bersama dengan Samani Mohd.Amin yang merupakan penolong editor Berita Harian. Tindakan ISA yang dikenakan keatas beliau ini mungkin disebabkan oleh kebimbangan akan menggugat keamanan negara dan mungkin juga boleh menggugat politik pemerintah. A.Samad Ismail dipetik dalam buku Akhbar Politik dan Politik Akhbar berkata,sistem politik yang terancam samada dari dalam atau luar negara akan mengambil tindakan terhadap kebebasan akhbar untuk mengelakkan rakyat bersuara yang mana boleh menyebabkan sistem politik goyah dan keseluruhan fabric social runtuh dibawah tekanan. 
 Dalam Dunia Politik dan Bahasa
Dalam bidang politik A.Samad Ismail pernah terlibat dengan PAP dan UMNO manakala dalam perjuangan bahasa beliau pernah terlibat secara tidak langsung dengan Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 disebabkan bekerja di Utusan Melayu. ASAS 50 ditubuhkan di Singpura pada tahun 1950 merupakan sebuah badan sastera dan bahasa tetapi ASAS 50 juga bertindak untuk menyedarkan orang Melayu mengenai kepentingan politik Melayu. Ia dapatlah dilihat sebangai penerus daripada kebangkitan nasionalis Melayu. ASAS 50 tidaklah disenangi oleh semua pejuang bahasa Melayu di Singapura pada masa itu seperti Majalah Hiboran dan beberapa pejuang bahasa yang lain sehingga menuduh ASAS 50 sebagai munafik,kufur dan murtad. Akhbar Utusan Melayu merupakan akhbar yang membela perjuangan ASAS 50 sehingga menurut A.Samad Ismail, hubungannya dengan mereka yang berada di luar kelompok ASAS 50 terjejas disebabkan masalah aliran.
Selain itu, pada 1947,Pak Samad bersama dengan Abdul Aziz Ishak telah menubuhkan Gerakan Angkatan Muda ( Geram ) yang turut bergabung dalam Pusat Tenaga Rakyat ( PUTERA ) dibawah pimpinan Dr Burhanuddin al Helmi dan AMCJA ( All Malayan People Council of Joint Action ) dibawah pimpinan Tan Cheng Lock. Selain daripada itu,Pak Samad juga pernah menganggotai Anti-British League bersama dengan PB Sharma,JJ Putucheary,Devan Nair dan John Eber.
Penglibatan Pak Samad yang terpenting adalah peranan yang dimainkan oleh beliau untuk menubuhkan People Action Parti atau PAP pada tahun 1954. Lee Kuan Yew merupakan Setiusaha Agong PAP yang pertama. Beliau suka mengumpul para wartawan untuk berdamping dengannya mungkin disebabkan para wartawan ini mampu memberi pengaruh kepadanya. Wartawan yang pertama sekali menyertai Lee Kuan Yew ialah A.Samad Ismail yang pada masa itu baru keluar daripada tahanan. A.Samad Ismail bersama dengan Lim Chin Siong,Dr Toh Chin Chye,Dr Goh Kheng Swee dan Rajaratnam telah menubuhkan PAP. Selain beliau banyak lagi wartawan yang menyertai PAP antaranya ialah Said Zahari. Pada tahun 1956,A.Samad Ismail telah bertindak keluar daripada PAP meninggalkan Lee Kuan Yew. Mengikut surat yang diutus oleh Lee Kuan Yew semasa kematian A.Samad Ismail,Lee Kuan Yew berkata bahawa mereka tidak bertemu sejak tahun 1957 selepas A.Samad Ismail berpindah ke Kuala Lumpur kerana pejabat Utusan Melayu berpindah ke sana.
Pada tahun 1958, iaitu 4 tahun selepas PAP ditubuhkan, A.Samad Ismail menganggotai UMNO di Singapura. Pak Samad telah mengisi boring UMNO untuk cawangan Kampong Melayu pada 6 April 1958. Yuran keahlian UMNO pada masa ini ialah sebanyak $1.90 dimana $ 1 untuk pendaftaran,$0.50 untuk wang pilihanraya UMNO Malaya dan $ 0.40 untuk wang pingat dan kad. Dalam UMNO,A.samad Ismail merupakan salah seorang tokoh yang disegani. Buktinya,pada 14 Disember 1968, pejabat Setiausaha Agong UMNO telah menghantar surat kepada beliau untuk dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia 1968/1969. Tugas jawatankuasa ini ialah mengkaji dan merancangkan masalah penerangan untuk menghadapi pilihanraya yang akan berlaku.
 Sumbangan
Mengadakan Kursus Kewartawanan
Selepas berpuluh tahun dalam bidang kewartawanan,akhirnya A.Samad Ismail telah berjaya menempa nama dalam bidang ini. Masalah utama kepada wartawan muda pada era pertengahan abad ke-20 ialah kurangnya rujukan mengenai wartawan sekaligus agak sukar untuk melahirkan seorang wartawan yang berjaya. Oleh demikian, sebagai salah seorang perintis dunia kewartawanan, A.Samad Ismail telah bertindak mengadakan kursus kewartawanan kepada golongan yang berjinak untuk menjadi wartawan. Dalam kursus ini,buku Kursus Wartawan adalah antara judul yang paling menarik yang dibentangkan. Buku yang beliau tulis ini adalah kembangan daripada catatan dan nota beliau. Catatan yang terdapat pada buku itu adalah catatan yang dilakukan semasa memberi kursus kewartawan kepada penduduk di Singapura atas anjuran Kaum Ibu Umno di pulau tersebut.
Buku kecil Kursus Wartawan tersebut banyak memberi semangat kepada bakal wartawan kerana banyak memuatkan kisah-kisah penulis kampong yang akhirnya berjaya menjadi penulis terkenal seperti Alias Ali. Buku ini juga memuatkan mengenai cara membuat berita yang mampu untuk menarik minat pembaca untuk membacanya. Yang menariknya, dalam bukunya ini juga turut memuatkan mengenai etika kewartawanan dan boleh dikira antara panduan etika kewartawan yang terawal di Malaya.

 Sumbangan Dalam Dunia Penulisan
Kejayaan terbesar A.Samad Ismail ( Tan Sri ) ialah menjadi ketua pengarang kumpulan New Street Times yang amat berpengaruh. Beliau mengetahui secara mendalam mengenai tokoh politik pada zaman sebelum dan selepas merdeka sehingga membolehkan beliau menulis dengan tajam dalam akhbar mahupun carpen yang dihasilkan. Sepanjang hidup,beliau banyak menghasilkan novel dan carpen untuk bacaan orang ramai. Antara karya yang pernah dihasilkan oleh beliau ialah Kail Panjang Sejengkal ( 1963 ), Patah Sayap Terbang Jua ( 1966 ), Mengasah Bakat ( 1966 ),Kursus Wartawan ( 1966 ), Tembok Tidak Tinggi ( 1967 ), Orang Jauh ( 1967 ), Bimbingan Penulis ( 1967 ), Menduga Lautan Dalam ( 1968 ),Menimba Yang Jernih ( 1968 ), Detik-Detik Cemas ( 1969 ),Orang Lama ( 1969 ),Hussien Zet ( 1970 ),Sutinah ( 1975 ),Memoir A.Samad Ismail di Singapura ( 1993 ),Hud ( 1995 ), Mekar dan Segar ( 1959 ),Karangan Bunga Dari Selatan ( 1963 ),Temasya Tinta ( 1967 ), Mastura ( 1967 ). Selain daripada mengarang banyak karya,beliau merupakan seorang pejuang bahasa yang unggul. Walaupun berpendidikan Inggeris namun beliau tidak sesekali melupakan kepentingan bahasa Melayu. Buktinya, beliau sering menjadi penterjemah kepada tulisan Yusof Ishak yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik.

Sumbangan Dalam Bidang Intelektual
Profesor David J Banks daripada Universiti Buffalo telah membuat kajian mengenai Pak Samad dari segi karya,pemikiran dan sumbangannya kepada keintelektualan. Pak Samad selain terlibat dalam politik,kewartawanan dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu,beliau juga banyak memnyumbang kepada pemikiran dalam masyarakat Malaysia. Seorang Novelis Amerika yang terkenal iaitu James A Mitchener mengagumi Pak Samad sebagai seorang intelektual Melayu yang terulung. Keintelektualan Pak Samad bukan hanya dikagumi oleh orang luar negara bahkan ahli-ahli akademik didalam negara turut mengagumi beliau sebagai ahli intelektual. Pada tahun 1997, Allahyarham A.Karim Abdullah telah menyelengara sebuah buku yang didedikasikan khas untuk Pak Samad yang bertajuk “Antara Pemikiran A.Samad Ismail” yang mana buku ini memuatkan esei dan tulisan Pak Samad sepanjang tahun 1980-1997 yang meliputi pelbagai aspek seperti kewartawanan,politik,sosial mahupun ekonomi. Keintelektualan Pak Samad anyak dibentuk melalui pengalaman yang bercampur baur sepanjang hidupnya. Bermula daripada seorang biasa yang menjadi wartawan muda, sehingga meminpin akhbar,ditangkap,menubuhkan persatuan dan parti politik sememangnya mematangkan beliau untuk menjadi seorang penulis,pengarang dan wartawan yang hebat. Bekas Naib Canselor UKM pernah berkata bahawa Pak Samad merupakan seorang wartawan yang pintar,intelektual,pemikiran yang tajam,nasionalis tulen,pejuang bahasa,pembimbang yang mana perjuangannya ini begitu kompleks dan tidak akan dilupakan dalam sejarah keintelektualan negara. Ucapan Tan Sri Prof Dr. Abd Hamid Abd Rahman itu dibuat semasa Pak Samad menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Melayu pada 1987.

 Sumbangan Dalam Bidang Politik
A.Samad Ismail bukan hanya seorang pejuang bahasa yang hanya tahu menulis dan bekarya sahaja tetapi beliau juga merupakan seorang pejuang yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Banyak gerakan politik yang beliau terlibat. Antara yang terpenting ialah menubuhkan PAP atau PETIR bersama dengan beberapa yang lain kemudian menubuhkan Gerakan Angkatan Muda ( GERAM ) yang kemudiannya bergabung dalam komponen PUTERA yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau juga pernah menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya      ( PKMM ) dan kemudiannya menyertai UMNO pada 1958. Perjuangannya dalam UMNO dipandang tinggi apabila dijemput untuk menjadi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia. Banyak jasa yang ditaburkan oleh beliau sepanjang hidup kearah perjuangan memartabatkan bahasa dan bangsa dan perjuangan untuk memerdekan Malaya.

Ahad, Disember 25, 2011

Abu Hurairah dan Kantung Kurma

Gambar Hiasan

Dalam sebuah hadits riwayat Abu Nu’aim al Ashbahani dalam kitab Dala’il an Nubuwwah, dari sahabat Abu Hurairah berkata: “Aku mendapat tiga musibah; wafatnya Rasulullah; padahal aku adalah sahabatnya dan pembantunya, terbunuhnya Utsman bin Affan, dan hilangnya Mizwad (kantung tempat perbekalan)”. Mereka bertanya: “Wahai Abu Hurairah apa yang engkau maksudkan dengan mizwad?”, Abu Hurairah berkata: “Dahulu kami bersama Rasulullah dalam sebuah peperangan, sahabat beliau saat itu banyak yang kelaparan, Rasulullah berkata: “Wahai Abu Hurairah apakah ada sesuatu (yang dapat dimakan)?”, Aku berkata: “Iya, ada, sedikit kurma dalam kantung perbekalanku”. Rasulullah berkata: “Bawa ke sini”. Lalu aku mengambil kantung tersebut dan memberikannya kepada Rasulullah. Kemudian Rasulullah memasukan telapak tangannya ke dalam kantung tersebut, lalu ia mengeluarkannya telapak tangnnya dan membukanya, beliau berkata: “Panggil sepuluh orang”. Lalu aku memaggil sepuluh orang sahabat beliau, kemudian mereka makan hingga kenyang. Rasulullah berulang-ulang melakukan itu; hingga beliau memberi makan kepada seluruh balatentaranya sampai mereka semua kenyang. Kemudian beliau berkata kepadaku: “Ambilah apa yang ada di dalam kantung itu seperti apa yang telah engkau isikan di dalamnya, masukan tanganmu di dalamnya, engkau genggam untuk mengambilnya, dan jangan mengambilnya dengan cara dituangkan”. Abu Hurairah berkata: “Sungguh aku telah mengambil (berulang-ulang) lebih banyak dari pada apa yang telah aku isikan di dalamnya”. Abu Hurairah berkata: “Tahukan kalian berapa banyak aku telah makan dari kantung perbekalannku tersebut? Aku telah makan dari kantung tersebut sepanjang hidup Rasulullah, sepanjang hidup Abu Bakar; bahkan aku memberi makan darinya, sepanjang hidup Umar; bahkan aku memberikan makan darinya, dan sepanjang hidup Utsman; bahkan aku memberi makan darinya, lalu ketika Utsman terbunuh dan rumahku di rampas maka kantung perbekalanku tersebut hilang entah ke mana”.

Ahad, November 27, 2011

Kata Keterangan Terbitan se-


Terdapat sejumlah kata keterangan yang boleh terbentuk dengan salah satu daripada salah satu cara yang berikut: i) awalan se- yang diimbuhkan kepada kata dasar kata selapis atau kata ganda yang tertentu, ii) awalan se- yang diakhiri oleh akhiran –nya atau -an, iii) akhiran –nya atau –an sahaja. Kata keterangan  yang diterbitkan dengan cara demikian dapat mengambil salah satu daripada bentuk-bentuk berikut:
a)      Se + kata dasar.
Misalnya: sekali, selalu, selama, sesudah, sebelum, sehari dan sebagainya. Contoh ayat adalah seperti berikut:
                                i.            Si Ahmad itu baik sekali orangnya.
                              ii.            Budak-budak itu selalu datang ke rumah saya.
b)     Se + kata dasar + nya
Misalnya: sesungguhnya, sebenarnya, sayugianya, selamanya, seberapa baiknya dan sebagainya.
c)      Se + kata dasar ganda
Misalnya: setinggi-tinggi, sebaik-baik, sepandai-pandai, secerdik-cerdik, sekuat-kuat dan sebagainya.
d)     Se + kata dasar ganda+ nya
Misalnya: sedapat-dapatnya, seboleh-bolehnya, sebaik-baiknya, selebih-lebihnya dan sebagainya.
e)      Se + kata dasar + an
Misalnya seharian, sebilangan, seorangan dan sebagainya. Contoh ayat aadalah seperti berikut:
                                i.            Dia tinggal seharian dirumah.
                              ii.            Mereka akan menyambut sebilangan besar pelajar-pelajar.
f)       Se + dasar  ganda + an
Misalnya: sehari-harian, semalam-malaman dan sebagainya. Contoh ayat adalah seperti berikut:
                                i.            Ayah bekerja sehari-hari tidak berhenti.
                              ii.            Anakku tidak dapat tidur semalam-malaman.
g)      Kata dasar + nya
Misalnya: rupanya, agaknya, akhirnya, hendaknya, biasanya, selalunya, dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, kata kerja terbitan boleh boleh berfungsi sebagai kata keterangan dengan alasan ia hendaklah menerangkan kata kerja tertentu yang lain dalam predikat sesuatu ayat. Misalnya:
Kata kerja
Kata keterangan
Budak itu berseorangan di sana.
Budak itu duduk berseorangan di sana.
Ibu keseorangan setelah ayah meninggal dunia.
Ibu tinggal keseorangan setelah ayah meninggal dunia.
Pasangan itu berdua-duaan di hujung padang sana.
Pasangan itu berjalan berdua-duaan di sekolah.
Ali sedang berdengkur di bawah pokok itu.
Ali sedang tidur berdengkur di biliknya.
The Live Stream plugin lets your users share activity and comments in real-time as they interact during a live event.

13.1.10

free counters