Pengikut

Isnin, Jun 10, 2013

Gerakan Acheh Merdeka

Bendera GAM
Gerakan Acheh Merdeka atau GAM merupakan sebuah gerakan pemisah Acheh yang cuba membebaskan Acheh daripada penguasaan Indonesia. Indonesia merupakan negara yang mempunyai paling banyak pemisah wilayah di Asia Tenggara. Kumpulan pemisah itu terdapat di kawasan Bali, Irian Jaya, Timur Leste, Acheh, Sumatera dan banyak lagi. Kebanyakan kumpulan pemisah yang ada ini adalah kerana perasaan tidak puas hati yang diberikan oleh pemerintah NKRI. Daripada banyak kumpulan pemisah ini, boleh dikatakan hanya 2 sahaja yang berjaya iaitu kumpulan pemisah di Timur Leste yang berjaya memerdekakan negaranya dan juga Kumpulan Pemisah Acheh yang yang juga disebut sebagai GAM. Gerakan ini walaupun tidak berjaya untuk membawa keluar Acheh daripada Indonesia namun perjuangan yang dilakukan oleh gerakan ini telah berjaya memaksa Indonesia untuk memberi kuasa autonomi wilayah kepadanya.
Penentangan di Acheh berlaku dalam 2 fasa yang berbeza. Pada zaman awalnya pemberontakan penduduk Acheh keatas pemerintahan Indonesia adalah kerana keengganan Sukarno untuk menggunakan Islam sebagai dasar negara. Ini kerana Sukarno berpendapat, hanya nasionalisme yang mampu untuk menyatukan semua unsur, kekuatan, etnis, suku, golongan dan agama di berbagai daerah. Keadaan ini telah menyebabkan rasa tidak puas hati berlaku dalam kalangan masyarakat Acheh. Tengku Muhammad Daud Beureuh telah memimpin masyarakat Acheh melalui Darul Islam untuk menuntut kemerdekaan Acheh Darussalam. Perjuangan Daulah Islam dan Tentera Islam Indonesia ( DI/TII ) hanyalah perjuangan untuk menuntut untuk mewujudkan sebuah negara Islam di Acheh dan Indonesia.
Selepas kebanyakan pejuang DI/TII menyerah diri kepada Jakarta seperti Muhammad Natsir dan Syafruddin Prawiranegara menyerah kepada Sukarno perjuangan DI/TII menjadi semakin perlahan bahkan Syafruddin Prawiranegara yang juga telah mengajak pengikut untuk menyerah diri kepada Republik Indonesia. Tidak lama kemudian Daud Beureuh juga turut menyerah diri. Perjuangan rakyat Acheh untuk mewujudkan negara Islam telah pudar sehinggalah tahun 1976, semangat ini telah kembali lagi. GAM ini telah wujud setahun sebelum PEMILU 1977 namun ia bukanlah kumpulan yang dikenali pada waktu itu. Ini kerana pada masa itu sudah ada sebuah parti yang memperjuangkan Islam iaitu Parti Persatuan Pembangunan ( PPP ) telah dianggap mewakili suara Daulah Islam.
Gerakan Acheh merdeka telah dipimpin oleh Hasan Tiro iaitu seorang anak Acheh yang belajar di Amerika Syarikat. Hasan Tiro memainkan peranan penting dalam perjuangan rakyat Acheh. Walaupun GAM merupakan penerus kepada perjuangan Daulah Islam namun kumpulan pemisah ini mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. Secara asasnya, GAM dibentuk oleh kumpulan orang tua yang berjuang semasa Daulah Islam dan juga golongan muda. Golongan tua ini mahu supaya Islam menjadi asas perjuangan untuk GAM namun golongan muda yang diketuai oleh Hasan Tiro pula mahukan perjuangan secara sekular. Oleh itu boleh dikatakan bahawa GAM telah berpecah sebelum tertubuh lagi. GAM telah ditubuhkan pada 4 Disember 1976. Perjuangan GAM ialah untuk menuntut kemerdekaan Acheh daripada Indonesia kerana dikatakan kemasukan Acheh ke dalam Indonesia adalah perbuatan yang tidak sah. Berbeza sekali dengan perjuangan Daulah Islam yang hanya mahukan sebuah negara Islam sahaja tanpa perlu pemisahan daripada Republik Indonesia ( RI ) . Jelas disini terdapat 2 perbezaan yang ketara dalam kumpulan pemisah di Acheh ini. Namun persamaan yang nyata ialah kedua-dua kumpulan ini menggunakan gerakan militer untuk mencapai tujuan. Kebanyakan menganggap Hasan Tiro merupakan tulang belakang dan pemimpin penting GAM namun pada saya tulang belakang sebenar kepada GAM ialah Daud Beureuh itu sendiri. Ini dikukuhkan melalui beberapa bukti contohnya ialah, semasa PEMILU 1977, telah berlakunya pertemuan antara sisa-sisa pejuang DI/TII dan sepakat untuk meneruskan perjuangan menentang kerajaan Jakarta dan keduanya kerana Daud Beureuh sendiri telah meminta bantuan daripada Hasan Tiro yang pada masa itu berada di Amerika untuk mencari senjata.
Walaupun pada awalnya GAM ini lebih kepada orentasi secular namun perkara ini telah dirubah untuk menjadi sebuah negara Monarki Islam seperti Arab Saudi. Bahkan lebih daripada itu, beliau mahu jawatan sebagai raja Acheh Darussalam dan beliau telah bertindak melantik anaknya Karim Tiro sebagai Putra Mahkota namun tidak dilayan oleh anaknya itu.
Perjuangan GAM ini pada peringkat awal boleh dibahagikan kepada 3 fasa penting. Fasa pertama pada tahun 1979 iaitu 2 tahun selepas PEMILU, GAM telah berjaya ditewaskan oleh tentera Indonesia sehingga menyebabkan gerakan ini menjadi gerakan bawah tanah. Kemudian fasa kedua ialah pada tahun 1989, apabila pulangnya gerila GAM dari latihan di Libya. Keadaan ini telah menyebabkan kerajaan Indonesia terpaksa untuk membuat satu operasi yang digelar sebagai Operasi Jaring Merah. Gerakan pada fasa kedua ini merupakan gerakan yang terpenting dilakukan oleh pihak GAM dimana mereka telah bertindak menyerang pos-pos tentera dan merampas senjata mereka. Pengalaman belajar gerila di Libya menyebabkan mereka mempunyai kemahiran dalam pertempuran gerila. Pada kali ini, GAM tidak dipimpin oleh golongan ulama atau golongan agama sebagaimana semasa Daulah Islam. Disebabkan kebenciaan penduduk Acheh dengan cara pentadbiran kerajaan Indonesia menyebabkan GAM mendapat sokongan yang kuat daripada penduduk tempatan. Isunya lebih kepada layanan kerajaan Indonesia keatas Acheh itu sendiri. Contohnya Acheh mempunyai hasil minyak yang banyak tetapi malangnya Acheh hanya mendapat hasil yang sedikit sahaja daripada minyak yang dimilki olehnya.
Gerakan penentangan yang kuat telah dilakukan oleh GAM sekitar pertengahan tahun 1990-an. Pada tahun ini, GAM telah bertindak menentang pemeritahan Jakarta sehingga memaksa Indonesia mengistiharkan Darurat keatas Acheh sehingga tahun 1998. Keadaan ini telah membenarkan untuk Tentera Indonesia iaitu ABRI bertindak sesuka hati untuk membunuh, menyeksa orang yang disyaki terlibat dengan GAM. Boleh dikatakan bahawa pembunuhan massal telah berlaku sehingga menyebabkan semakin ramai rakyat Acheh mula berpihak kepada GAM. Keadaan ini tentunya sukar untuk ABRI menghapuskan GAM. Perjuangan rakyat Acheh ini menyebabkan Indonesia terpaksa memberi autonomi wilayah kepada Acheh dan ia satu-satunya kawasan yang mendapat autonomi daripada Jakarta. 

Khamis, Jun 06, 2013

Ketaksaan Perkataan GADUH dalam bahasa Melayu dan Dielek Kelantan

Gambar Hiasan
Tajuk yang akan saya kaji ialah mengenai perkataan “gaduh”. Saya akan mengkaji perkataan “gaduh” dalam dielek Kelantan dan “gaduh” dalam bahasa kebangsaan. Saya merasakan perkataan ini amat menarik untuk diulas dan dikaji kerana kerana ejaan dan sebutan adalah sama namun mempunyai makna yang berbeza dari segi loghat Kelantan dan juga bahasa kebangsaan. Gaduh dalam dielek Kelantan ialah cepat, ingin cepat atau sesuatu yang bermaksud mahu cepat, sedangkan dalam Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia, “gaduh”  bermaksud berbalah, bertumbuk dan sebagainya. Saya cuba akan mengulas maksud perkataan ini daripada segi semantik dan pragmatik bahasa Melayu. Ulasan dan kajian saya lebih kepada ketaksaan makna perkataan gaduh dalam dielek Kelantan dan Bahasa Melayu.

Dialek
·   Dielek merupakan variasi bahasa yang digunakan oleh masyarakat di kawasan tertentu mengikut kedudukan geografinya.
Idiolek
·   Variasi bahasa yang khusus berkaitan dengan seseorang individu
·   Perbezaan ketara daripada nada dan itonasi sebutan
·   Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kecacatan anggota percakapan atau tabiat keluarga atau masyarakat.
Dialek kawasan
·   . Variasi bahasa yang berkaitan dengan pengguna dalam sesuatu kawasan
·   . Ia dikaitkan dengan rumpun bahasa Austronesia, cabang Nusantara yang mempunyai 200 hingga 300 bahasa dalam 16 golongan seperti Filipina, Sumatera, Jawa, Kalimantan dan sebagainya.
·   Dialek kawasan ini diketahui umum bagi masyarakat kita di Malaysia sebagai Dialek Utara, Dialek Selatan, Dialek Perak, Dialek Kelantan, Dialek Terengganu, Dialek Pahang, Dialek Negeri Sembilan, Dialek Sabah, dan Dialek Sarawak.

 Semantik dan Pragmatik
Semantik dalam bahasa mudah dapat dijelaskan sebagai makna sesuatu perkataan dan pragmatik pula ialah makna sesuatu perkataan yang mendalam. Beza antara dua perkataan ini ialah semantik hanya bermaksud luaran sahaja dan pragmatik pula mempunyai maksud yang tersirat. Ini dalam bahasa yang mudah difahami. Namun tokoh-tokoh bahasa telah memberi makna perkataan ini dalam ayat yang lebih komplek sehingga kadang-kadang menyukarkan untuk kita memahaminya.
Abdullah Hassan yang merupakan salah seorang tokoh popular dalam bidang bahasa telah membahagikan istilah semantik kepada dua iaitu semantik dalam bahasa seharian dan semantik dalam bahasa ilmu ( Abdullah Hassan : 2005 ). Semantik dalam bahasa seharian ialah bermaksud makna manakala semantik dalam bidang ilmu diertikan sebagai fenomena kajian makna dalam ilmu. Beliau menambah dalam bukunya tersebut yang bertajuk Linguistik Am bahawa semantik berasal daripada perkataan yunani sema yang bererti isyarat.
Pragmatik dan semantik mempunyai makna yang hampir sahaja namun hakikatnya jurang makna agak luas. Dr. R.Kunjana Rahardi dan M. Hum telah membawakan beberapa pendapat tokoh bahasa barat untuk menjelaskan makna pragmatik. Antara tokoh yang dibawa ialah Lavinson yang mendefinisikan pragmatik sebagai studi bahasa yang mempelajari relasi dan konteks. Abdullah Yusof , Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari telah menukilkan dalam bukunya Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu mengenai makna pragmatik. Makna pragmatik yang dipetik daripada kamus dewan edisi ketiga ialah sifat atau pendirian yang lebih mementingkan kesan-kesan sebenar sesuatu daripada ciri-ciri teori dan sebagainya. Berdasarkan pendapat ringkas ini, dapatlah kita memahami mengenai makna semantik dan juga pragmatik serta perbezaaan antara keduanya.



 Ketaksaan
Ketaksaan boleh diertikan sebagai kesamaran makna dalam sesuatu ayat atau perkataan. Oleh sebab saya membuat kajian atau ulasan lebih kepada ketaksaan makna maka saya akan membawa sedikit definisi mengenai ketaksaan. Menurut Abdullah Hassan ( 2007 ), menyatakan bahawa kadang-kadang kita menemui ayat yang lebih daripada satu makna. Ayat yang taksa ini memerlukan lebih masa untuk difahami oleh masyarakat atau penutur. Menurut Abdullah Yusof , Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari ( 2009 ) , ketaksaan boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu kekaburan makna, ketidakpastian makna, kurang ketentuan dalam makna item dan pertentangan pada penentuan makna item.

 Analisis Komponen Makna
Makna merupakan kesatuan mental pengetahuan dan pengalaman yang terkait dengan lambang bahasa yang diwakili. Analisi komponan makna telah diasaskan oleh Katz dan Fodor kemudian dikembangkan lagi oleh Jackson dan juga John Lyons.
Dielek Kelantan pada hakikatnya hampir sama dengan Bahasa Melayu namun dielek ini suka meringkaskan perkataan bahasa Melayu contohnya:



Bil
Bahasa Melayu
Dielek Kelantan
1.
Pemandangan -
Pemandange
2.
Orang    -
Ore
3.
Kuah -
Kuwoh
   
                                                  ( Jadual 1 )
Jika dilihat dan diperhatikan tidak banyak perbezaan antara keduanya bahasa perturutan ini melainkan ringkasan dan beberapa penambahan dalam dielek Kelantan sahaja. Secara ringkasnya dapat kita katakana bahawa orang yang bertutur dalam bahasa kebangsaan juga dapat memahami atau mengagak makna dalam dielek Kelantan. Tetapi ada juga beberapa perkataan yang mempunyai sebutan dan makna berbeza dengan antara dielek Kelantan dan Bahasa Melayu. Contohnya :


Bil
Bahasa Melayu
Dielek Kelantan
1.
Tipu
Belawok
2
Perasan
Koya
3
Gatal
glenya

                                       ( Jadual 2 )
Apa yang saya senaraikan dalam jadual tersebut ialah perbezaan antara perkataan dielek Kelantan dengan bahasa Melayu. Namun ada satu lagi jenis iailah sebutan dan ejaan sama namun mempunyai maksud yang berbeza. Contohnya perkataan ialah “gaduh”. Perkataan ini akan saya ulas untuk menjelaskan mengenai perbezaan antara perkataan tersebut.


 Makna Gaduh Dalam Bahasa Melayu.
Gaduh dalam bahasa Melayu ialah berkelahi. Jika ditinjau dalam kamus contohnya Kamus Pelajar Edisi Kedua telah mentakrifkan gaduh sebagai huru-hara atau gempar kerana pengkelahian. Manakala kamus dewan edisi keempat pula mentakrifkan gaduh sebagai gempar, huru-hara dan riuh-rendah. Apapun makna yang diberikan kita mentakrifkan bahawa gaduh ialah satu perbuatan yang menunjukkan peristiwa yang berlaku antara dua pihak yang terlibat.
                                                                       Gaduh

                                                             
                                               Perkelahian                  huru – hara

              
                                 Dua pihak                                 Masyarakat/ keluarga/negara
                                                                 Rajah 1

Berdasarkan jadual ini, dapatlah kita fahami bahawa perkataan gaduh dalam bahasa Melayu bermaksud perkelahian, huru-hara, gempar serta beberapa perkara lain yang pastinya melibatkan dua belah pihak. Saya telah membahagikan makna gaduh kepada dua bahagian sahaja iaitu perkelahian dan huru-hara. Perkelahian melibatkan dua belah pihak iaitu pihak A dan pihak B dan kadang-kala lebih daripada dua pihak yang terlibat. Manakala perkataan huru-hara biasanya merujuk kepada sesuatu yang dikira besar atau dalam jumlah yang banyak dan ramai contohnya keluarga huru- hara, masyarakat huru – hara dan negara huru-hara.



 Makna Gaduh Dalam Dielek Kelantan.
Gaduh dalam dielek mempunyai makna yang berbeza daripada gaduh yang digunakan dalam bahasa Melayu. Perkataan gaduh dalam bahasa Kelantan boleh didefinisikan sebagai cepat, ingin cepat, atau sesuatu yang menunjukkan cepat. Perkataaan gaduh yang digunakan dalam bahasa Melayu boleh ditukarkan menjadi baloh, gocoh, tee, katok dan sebagainya. Selain daripada perkataan gaduh, masyarakat Kelantan juga menggunakan perkataan cepak dan lorak untuk menunjukkan perbuatan cepat. Dan ketiga-tiga perkataan ini boleh bertukar ganti dan tidak mempunyai tempat khusus untuk sesuatu perkataan tersebut. Contoh penggunaan dalam ayat ialah:
a ) Gaduh nok gi mano tuh?
b ) Cepak nok gi mano tuh?
c ) Lorak nok gi mano tuh?
Kalau diperhatikan jelas bahawa kesemua perkataan tersebut boleh diletakkan secara berganti-ganti. Tetapi cepak dalam dielek Kelantan kadang-kala tidak boleh boleh digantikan dengan perkataan lorak dan gaduh. Contoh ayat ialah:
a ) Jale cepak la sikit        ( betul )
b ) Jale lorak la sikit          ( salah )
c ) Jale gaduh la sikit         ( salah )

Dengan penjelasan yang ringkas ini, diharapkan kita dapat untuk memahami dimana perkataan gaduh yang dikaji itu patut berada dan dimana perkataan tersebut tidak boleh berada. Walaupun ada sesetengah penutur dielek Kelantan yang menggunakan perkataan gaduh untuk menunjukkan perbuatan bergaduh, namun ia adalah perkara yang perlu dikesampingkan kerana penutur tersebut telah menggunakan perkataaan gaduh dalam konteks bahasa Melayu.





                                                                         Gaduh

                                      cepak                                      lorak
 



                                              laju                                                laju
                                                                       Rajah 2

Daripada rajah 2 tersebut dapat kita fahami bahawa, perkataan gaduh dalam dielek Kelantan bermaksud satu perbuataan yang ingin kepada cepat, gesaan untuk cepat , meminta untuk cepat dan dipercepatkan. Disini jelaslah perbezaan antara makna gaduh dalam bahasa Melayu dan makna gaduh dalam dielek Kelantan. Namun begitu, perkataan gaduh untuk menunjukkan makna bertumbuk, bergaduh ada digunakan dalam dielek Kelantan. Walaupun perkara ini  minor namun ia tetap ada. Perkataan gaduh untuk menunjukkan cepat dan perkataan gaduh untuk menunjukkan bertumbuk dapat dibezakan dalam dielek Kelantan dengan itonasi, nada suara yang dikeluarkan.
1. Gaduh – cepat . Contoh ayat :
Gi Gaduh-gaduh pun nok wat gapo?
2. Gaaduh – bertumbuk . Contoh ayat:
Cikgu, ado ore gaaduh di blake jambe sekoloh.
Perbezaan ini dapat dibezakan dengan penekanan suara pada gaaduh yang menunjukkan perbuatan bertumbuk atau bergaduh.


 Perbezaan Antara Dua Perkataan Gaduh.
Saya rasa lebih mudah untuk menunjukkan perbezaan makna perkataan gaduh ini dengan adanya jadual.

 


        Bahasa Melayu                                                Dielek Kelantan

-  Huru – hara                                                           - cepat
- Riuh- rendah                                                         - ingin cepat
-  Gempar                                                                - gesaan untuk cepat
- Perkelahian

                                                   Jadual 3

Berdasarkan jadual 3, dapatlah kita ketahui secara jelas perbezaan ketara perkataan gaduh dalam bahasa Melayu dan juga dielek Kelantan. Dalam bahasa Melayu , “gaduh” bermaksud sesuatu yang huru-hara atau kucar-kacir, sesuatu peristiwa yang membawa kepada kegemparan, serta perkelahian. Manakala dalam dielek Kelantan pula, “gaduh” bermaksud sesuatu yang cepat, ingin cepat, dan sesuatu yang sama waktu dengannya.Gaduh dalam kedua bahasa dan dielek ini boleh dikatakan sebagai Homonim iaitu ejaan dan sebutan sama namun maksudnya adalah berbeza.



Rabu, Jun 05, 2013

Sejarah Perekonomian Jepun


Gambar Hiasan
Ekonomi merupakan sektor yang cukup penting untuk pembangunan sesebuah negara. Di Jepun telah wujud beberapa sektor ekonomi yang dijalankan oleh penduduk Jepun feudal. Antara ekonomi yang diamalkan oleh masyarakat Jepun ialah pertanian, perikanan, perlombongan, perusahaan tempatan dan perdagangan.
Pertanian adalah penyumbang terbesar kepada sektor ekonomi Jepun. Ia telah menyumbang sebanyak 80% daripada perekonomian Jepun. Antara tanaman utama yang ditanam oleh masyarakat Jepun pada zaman dahulu ialah gandum, barli, padi, the serta kapas. Untuk memastikan tanaman yang ditanam subur, mereka telah mula menggunakan sistem perairan semula jadi. Sistem pengairan ini amat penting untuk memastikan air sungai yang mengandungi nutrien dibekalkan kepada padi sekaligus mengurangkan penggunaan baja. Sistem ini juga memastikan kesuburan tanah adalah optimum tanpa perlu merehatkan tanah. Walaupun 80% daripada sumber ekonomi penduduk Jepun ialah berasal daripada pertanian namun mereka tetap menghadapi beberapa masalah besar seperti masalah iklim. Jepun mempunyai iklim yang sedarhana yang tidak membolehkan mereka untuk menanam padi sepanjang tahun. Mereka hanya dapat menanam padi pasa musim luruh dan musim bunga sahaja. Selain masalah itu, mereka juga menghadapi masalah kekurangan tanah ekoran bentuk muka bumi Jepun yang berbukit dan bergunung-ganang. Untuk mengatasi masalah kekurangan tanah ini. Petani Jepun telah menggunakan kaedah pertanian bertingkat. Pertanian Jepun berlaku lonjakan dengan ditandai oleh zaman Yayoi. Ini kerana pada zaman Yayoi peralatan pertanian daripada China mula masuk ke Jepun.
Selain itu, masyarakat Jepun juga menjana ekonomi melalui perusahaan tempatan. Sistem perusahaan tempatan ini seolah-olah konsep yang cuba dilakukan oleh Kerajaan Malaysia iaitu “Satu Daerah Satu Produk”. Di Jepun juga keadaan sedemikian telah lama berlaku dimana setiap daerah mengeluarkan hasil yang berlainan contohnya daerah Kinai mengeluarkan barangan kain kapas, daerah Fukushima dan Yamanashi pula mengeluarkan produk berasaskan ulat sutera dan tenunan dan daerah Satsuma pula menjadi pusat pengeluaran gula. Daripada industri yang kecil ini, akhirnya berkembang menjadi satu industri yang besar. Daerah-daerah ini akhirnya menjadi banda besar. Contohnya ialah Bandar Seto, Kunwana, Sakai serta Ise.
Sistem ekonomi lain ialah ekonomi perikanan. Jepun merupakan negara yang kaya dengan pelbagai jenis ikan. Pertembungan arus panas dan arus sejuk iaitu ayoshio dan kuroshio telah menjadikan kawasan Jepun amat popular dengan industri perikanan. Dengan 3000 buah pulau yang ada di Jepun menggalakkan lagi industri perikanan di Jepun. Kehebatan industri perikanan di Jepun telah dibuktikan hari ini apabila orang Jepun mampu untuk melakukan industri penangkapan ikan paus serta ikan yu dimana tidak semua negara mempunyai pengalaman tersebut.
Bandar Osaka merupakan bandar yang cukup terkenal di Jepun. Bandar ini telah berkembang disebabkan oleh perkembangan industri perlombongan yang berlaku di Jepun. Walaupun mempunyai tanah yang berbukit dan bergunung, Jepun mempunyai bahan mentah atau bahan galian logam yang banyak. Jepun merupakan antara pengeluar emas, perak serta tembaga. Semasa pemerintahan Oda Nobunaga , industri perlombongan ini semakin rancak.

Rakan luar pertama Jepun. Oleh itu, tidak pelik jika hubungan antara kedua buah negara ini agak rapat dalam perdagangan. Ekonomi Jepun menjadi bertambah pesat apabila wujud hubungan perdagangan antara 2 buah negara ini di zaman Putera Shotoku. Jepun mengimport barang dari China. Pada masa tersebut Jepun telah menjadi pelabuhan dunia yang menjadi tempat berkumpul para pedagang. Pada masa itu, Jepun mendapatkan barangan tropika asia tenggara di China. Jepun telah mengimport barang seperti tembikar, porselin, sutera, buku ,lukisan , sulfur , emas dan sebangainya. Dalam masa yang sama, Jepun juga mengeksport barangnya kepada negara luar. Antara barang yang dieksport ialah pedang, kipas berlipat serta pemidang yang mendapat permintaan tinggi di negara China. Selepas itu, Jepun mula mengadakan hubungan perdagangan dengan Portugal . Sekitar tahun 1550, ramai pedagang Portugis telah masuk ke Jepun. Kemasukan Portugis turut membawa  perubahan kepada teknologi Jepun dimana Portugal telah membawa teknologi perkapalan, teknik perang, persenjataan serta agama Kristian. Pada 1570 , Shogun Ashikaga memeterai perjanjian dengan Portugal bagi membolehkan pedagang Portugal di kawasan Nagasaki. Surat yang dikeluarkan oleh Ashikaga amat penting kepada pedagang Portugal untuk berdagang di Jepun.

Ahad, Jun 02, 2013

Ringkas Mengenai Jepun

Bendera Jepun
Sejarah tertulis Jepun dikesan melalui teks-teks klasik sejarah China sejak abad ke - 1 lagi. Walaubagaimanapun, sebenarnya Jepun telah diduduki sejak zaman Pra-Sejarah awal lagi. Ini berdasarkan penyelidikan arkeologi yang dijalankan di Jepun. Semasa Zaman Jomon iaitu sekitar tahun 12000 SM , Jepun dikatakan merupakan kawasan yang kaya yang menggalakkan perkembangan manusia yang mana Jepun merupakan pengeluar tembikar yang terawal. Jepun mula-mula mengedakan hubungan luar dengan China iaitu sekitar tahun 200 M. Berbanding dengan negara China , masyarakat Jepun pada waktu itu dikira agak mundur sedikit dalam pelbagai bidang.
Nihon atau Nippon adalah nama negara Jepun yang bermaksud “ Tanah Matahari Terbit”. Nama lain Jepun juga disebut sebagai Yamato dalam catatan kuno. Nihon pula ialah perkataan yang merujuk kepada negara Jepun yang diberikan oleh orang Korea yang datang melawat Jepun. Nama ini terus kekal sehingga hari ini. Namun semasa pemerintahan Meiji ( 1868- 1926 ) dan zaman Taiso ( 1912-1926 ) perkataan Nippon mula digunakan untuk memberi impak maksimum kepada semangat kebangsaan orang Jepun.
Mengenai asal-usul orang Jepun. Terdapat 3 teori yang menerangkannya iaitu :
a ) Orang Jepun dikatakan berasal daripada orang Ainu ( Proto- Caucasoid ).
b ) Orang Jepun asal daripada orang Mongoloid.
c ) Orang Jepun berasal dari orang nusantara.
Mengikut sejarah orang Ainu telah menduduki negara Jepun 5000 tahun lebih awal daripada orang Mongoloid. Orang Ainu ini berhijrah ke pulau Hokkaido dan Honshu dan mereka ini berketurunan caucasian di mana kaum lelaki mereka mempunyai kulit berwarna putih dan mempunyai bulu di muka dan badan. Orang Ainu dikatakan berasal dari bahagian timur laut Asia. Di Jepun ahli geologis telah menemui tulang rangka haiwan yang hidup di utara Asia semasa zaman Pleistocene lebih kurang 10000 – 1000000 tahun dahulu.
Penemuan ini mencadangkan bahawa terdapat dataran penghubung yang menghubungkan pulau-pulau dengan benua Asia yang menjadi laluan untuk penghijrahan manusia awal. Menurut ahli paleotologis orang Ainu datang ke pulau Hokkaido dan utara Honshu dengan menaiki rakit atau perahu-perahu kecil bermula sekitar 20,000 tahun dahulu. Pada tahun ke 8 M apabila kemasukan orang Mongoloid bertambah pesat telah menyebabkan orang Ainu ini berpindah ke utara Hokkaido. Orang Ainu ini pada masa dahulu merupakan masyarakat primitif yang hidup dengan memburu dan memungut makanan.
Orang Mongoloid berhijrah ke pulau-pulau selatan Jepun agak terkemudian sedikit daripada orang Ainu dengan menyeberangi Selat Korea yang agak sempit dan bahaya. Orang Mongoloid ini bukan dari kalangan orang China tetapi mungkin berasal dari Korea atau Asia Tengah. Terdapat juga penghijrahan orang Mongoloid dari arah selatan China yang berkemungkinan dari pulau-pulau selatan. Orang Mongoloid lelaki mempunyai kulit kekuningan, sedikit bulu di muka dan badan mereka. Pergerakan mereka meluas dari kawasan pantai barat Jepun mengarah ke timur iaitu dari pulau Kyushu ke pulau Shikoku dan menyusur ke pantai selatan pulau Honshu. Orang Mongoloid ini dipercayai sebagai asal keturunan orang Jepun moden sekarang ini yang merupakan kumpulan terbesar penduduk Jepun. Ini berdasarkan kepada persamaan yang didapati pada rupa bentuk fizikal dan keupayaan mereka menyerap cara hidup dan kebudayaan orang Cina.
Proses-proses penyerapan juga berlaku di antara orang Mongoloid dengan orang Ainu dan di antara penghijrah-penghijrah dari Korea. Ada satu teori lain yang mengatakan bahawa orang Jepun berasal daripada orang Nusantara daripada kalangan orang Polynesia.Orang Polynesia adalah penduduk di pulau-pulau Nusantara dan merupakan pelayar yang mahir. Mengikut teori ini kemungkinan orang Polynesia ini telah belayar sehingga ke negara Jepun. Tetapi memandangkan keadaan rupa bentuk fizikal dan struktur bahasa di antarakedua-dua orang ini, adalah sukar untuk menentukan dengan jelas bahawa orang polynesia adalah asal keturunan orang Jepun.
Penemuan-penemuan alatan batu oleh ahli arkeologi di kebanyakan tempat di kepulauan Jepun dipercayai bertarikh 25,000 tahun dahulu membuktikan telah wujud budaya manusia zaman awal. Para penyelidik juga telah menemui barangan tembikar tempatan yang menunjukkan telah wujud budaya yang maju pada 10,000 SM lagi. Penduduk di zaman Jomon hidup dengan cara primitif menggunakan alatan batu, tinggal dalam rumah lubang dan menjalankan aktiviti menangkap ikan dan memungut kerang serta memburu rusa dan babi hutan.
Budaya Yayoi yang lebih maju menggantikan budaya Jomon pada abad ke 4 SM di pulau Kyushu. Budaya Yayoi berkembang mungkin kerana penghijrahan orang-orang Mongoloid melalui Selat Korea ke pulau Kyushu untuk mengelak daripada kekacauan yang berlaku di negara China pada ketika itu. Penghijrah-penghijrah ini membawa kemahiran melebur dan membentuk besi serta teknik menanam padi basah. Alatan besi telah digunakan dengan meluasnya dalam bidang pertanian seperti alatan cangkul, sabit, tajak dan lain-lain. Pada zaman ini satu alat memutar tembikar dengan menggunakan roda telah digunakan untuk menghasilkan tembikar telah digunakan dengan meluasnya. Alat ini dipanggil yayoi dalam bahasa Jepun dan zaman ini telah dinamai Zaman Yayoi mengambil sempena alat itu.Orang zaman Yayoi sangat mempercayai gejala dan alamat (baik atau buruk) ke atas kejadian alam semulajadi. Mereka telah meminta pertolongan peramal atau ahli sihir untuk menjelaskan sesuatu gejala atau petanda-petanda yang membimbangkan mereka. Kepercayaan kepada peramal dan ahli sihir serta keyakinan tentang kekuasaan yang ada pada alam semulajadi telah melahirkan kepercayaan Shinto.
Agama masyarakat Jepun ialah Shinto atau “ Jalan Tuhan” yang merupakan agama asal dari kepualaun Jepun. Shinto dikatakan berasal daripada perkataan Shen yang bermaksud roh dan Tao yang bermaksud jalan. Ajaran Shinto sekarang ini bukanlah ajaran asli agama tersebut tetapi terhasil daripada pelbagai campuran ajaran dan juga agama seperti Buddha, Toiesme dan juga pengaruh daripada Siberia. Ajaran Shinto terbahagi kepada 5 bahagian yang mana terdapat 4 bahagian yang awal dan satu bahagian yang lahir zaman pemerintahan Meiji. Bahagian utama agama Shinto ialah Shinto keluarga diraja ( Koshitsu Shinto ), Shinto Keramat ( Jinju Shinto ), Shinto Mazhab ( Kyoha Shinto ) dan juga Shinto Rakyat ( Minkan Shinto )  dan semasa pemerintahan Meiji telah digabung Shinto keluarga diraja dan Shinto Mazhab menjadi Shinto Negara. Shinto Negara ini adalah satu propaganda pihak kerajaan Jepun pada masa itu dengan menggunakan khidmat rahib. Shinto Negara ini masih diamalkan pada waktu sekarang seperti dalam upacara kerajaan seperti melawat ke keramat Yasukuni iaitu tempat bagi memperingati rakyat Jepun yang terkorban masa Perang Dunia ke 2 dan juga dalam menjalankan upacara perkahwinan.
    Perkembangan ajaran Shinto hakikatnya berasal daripada kepercayaan Minkan Shinko iaitu kepercayaan rakyat mengenai kami. Kami yang asalnya disembah ditempat yang sering berbeza telah berubah tempat penyembahannya apabila masuk zaman Konfu dimana kami dikaitkan pula dengan asal usul keturunan keluarga. Oleh itu,setiap keluarga pada masa itu memiliki kami dan mempunyai tempat penyembahan khas untuk keluarga. Semasa pemerintahan raja Yamato, bentuk ajaran Shinto yang diamalkan sekarang telah dibuat kerana raja Yamato sendiri adalah penyembah kami negara berteraskan Amaterasu. Pada zaman pemerintahan Yamato ini,bangunan kekal untuk penyembahan mula didirikan dan barangan seperti cermin,pedang dan barangan kemas dianggap mewakili kami yang disembah. Kojiki dan Nihongi menjelaskan bahawa pada abad ke 7 , Amaterasu telah dianggap sebagai sebagai kami yang agung dalam ajaran Shinto.
    Antara cara yang digunakan untuk menyembah kami ialah dengan kaedah Matsuri. Matsuri ialah ritual yang dilakukan untuk penyembahan terhadap kami.Penyembahan kami dilakukan di rumah ( kamidana ) dan juga di jinja atau rumah penyembahan. Dalam ritual Mitsuri ini, terdapat 4 unsur penting iaitu Penyucian atau harai,persembahan,pembacaan doa dan juga pesta makan namun sekarang ini bukan hanya Jinja yang mengadakan Mitsuri namun turut diadakan oleh pihak gereja.  Pembinaan Jinja atau kuil adalah daripada pengaruh China keatas Jepun. Jinja dibina dengan menggunakan kayu dan sentiasa dibina contohnya di Ise, setiap 20 tahun Jinja baru akan dibina berhampiran monument sebelahnya. Upacara Matsuri di Jinja dilakukan dengan mengarakkan simbol kami kesekeliling Jinja.

    Ajaran Shinto mula menerima pengaruh Buddha sejak zaman Heian dan zaman seterusnya. Kedatangan Buddha telah menyebabkan kedua agama ini saling melengkapi. Ajaran Shinto digunakan melakukan ritual dan agama Buddha untuk moral. Ini kerana ajaran Shinto bukanlah ajaran yang memiliki sifat moral dan etika. Namun dalam buku Tamadun Islam dan Tamadun Asia tulisan Ghazali Darusalam pula menyatakan bahawa ajaran Shinto berdasarkan kitab Nihong yang memuatkan kisah para dewa dan pendapat ini bertentangan sama sekali dengan tulisan daripada ahli sejarah yang lain. 
The Live Stream plugin lets your users share activity and comments in real-time as they interact during a live event.

13.1.10

free counters