Pengikut

Memaparkan catatan dengan label terengganu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label terengganu. Papar semua catatan

Selasa, Mei 01, 2012

Ikan Keluarga Snakehead


Ikan Haruan
Ikan Haruan
Ikan Haruan atau Channa striatus merupakan ikan yang paling popular di Malaysia. Ia digunakan untuk tujuan perubatan kerana dikatakan amat mujarab untuk mengubat luka. Ikan ini yang dibakar akan diberi makan kepada orang yang baru bersalin, patah tulang mahupun yang baru bersunat untuk tujuan mempercepatkan pemulihan bahagian yang luka. Ikan ini biasanya berada di kawasan sawah, alor, ataupun parit namun boleh juga hidup disungai namun jumlah hidup disungai amatlah kecil berbanding yang berada di sawah. Ikan ini boleh ditangkap dengan menggunakan jala, jerkap, tauk ataupun pancing. Umpan yang biasa digunakan untuk menangkap ikan ini ialah ikan sepat, cacing, anak katak dan beberapa hidupan lagi namun ikan haruan amat sukakan ikan Tebal Sisik. Ikan haruan sedap dibuat sup ataupun gulai lemak.
Ikan Becak
Ikan Becak

Ikan Becak juga dikenali dengan beberapa nama seperti Ikan Haruan Todak dan Ikan Kedak. Nama saintifiknya ialah Channa gachua . Ikan ini biasanya kecil sahaja dan tidak mencapai saiz besar seperti ikan haruan ataupun Toman. Makanannya kebanyakan terdiri daripada cacing, atau serangga-serangga kecil termasuklah anak kerangga. Ikan ini kebanyakan terdapat di kawasan air yang berjeram dan sejuk seperti kawasan lata namun ia tidak hanya terhad di kawasan tersebut sahaja kerana ia juga berada dikawasan tanah gambut dan kawasan parit. Ikan ini dikatakan sesuai untuk tenaga batin lelaki dan digunakan dalam perubatan tradional.
Ikan Toman
Toman
Ikan Toman, Channa micropeltes atau Snakehead dalam bahasa Mat Salleh merupakan ikan yang bersifat buas. Sering diceritakan ikan ini menyerang manusia terutamanya semasa ikan menjaga kawanan anaknya. Giginya yang tajam amat menakutkan. Ikan ini dikenali dengan tanda di badannya. Ia berwarna hitam dan mempunyai corak. Umpan untuk memancing ikan ini ialah anak ikan termasuklah ikan keli ( biasa diguna di tasik Kenyir ) tapi ikan ini amat sukakan ikan sepat. Ia boleh didapati di kawasan tasik, mahupun kawasan sungai.
Ikan Toman Bunga
Toman Bunga
Ikan Toman juga mempunyai beberapa jenis. Antara jenisnya ialah Toman Bunga. Ikan ini mungkin diberi nama kerana melihat kepada corak di badannya yang lebih menarik. Selain itu, ikan ini juga mempunyai nama yang lain seperti ikan Kerandang, Ikan Jelai, Ikan Jaloi, dan ikan Kuang. Saya sendiri tidak berapa mengenali ikan Toman kerana tidak pernah menangkapnya. Ikan ini berada di kawasan sungai , tasik dan kawasan berpaya gambut yang mengandungi Ph yang rendah. Ia juga haiwan karnivor sebagaimana haiwan yang sama jenis dengannya.
Ikan Bujuk
Ikan Bujuk
Ikan bujuk amat sinonim dengan saya kerana kampong saya sendiri didapati dari ikan ini. Ikan ini amat banyak di kampong saya setanding dengan ikan haruan. Ikan bujuk kebiasaannnya tinggal dikawasan alor dan air gambut bukit namun selain daripada itu, ikan ini pun dapat hidup. Ikan ini agak kekuningan sedikit berbanding dengan ikan haruan dan cara mudah untuk mengecamnya ialah melihat kepada tanda dibadannya. Ikan ini agak bodoh berbanding dengan ikan haruan namun tidaklah sebodoh ikan hantu. Ikan boleh dipancing dengan umpan cacing ataupun anak ikan seperti ikan sepat. Jika ikan ini memakan umpan kita, jangan tergesa-gesa untuk menarik tali pancing kerana ikan ini tidak terus menelan kail pancing dan kemungkinan akan mengeluarkan kembali umpan yang di telan. Kesabaran amat penting untuk memancing ikan ini.
Ikan Ubi
Ikan Ubi
Ikan Ubi juga dikenali dengan banyak nama seperti ikan ketutu, ikan haruan bodoh, ikan hantu namun nama saintifiknya ialah  Marbled Goby. Ikan ini boleh berada dikawasan sungai yang keroh,sungai jernih serta kawasan lombong dan suka dengan aliran air yang tenang. Ikan ini adalah ikan yang agak bodoh dan jinak. Ia suka berada ditempat yang sama walaupun di tempat itu orang sering cuba menangkapnya. Ada orang hanya menangkap ikan ini dengan tangan. Saya hanya pernah menangkap seekor sahaja ikan ini itupun dengan menggunakan pukat. Dalam keluarga haruan, ikan ini adalah yang termahal sekali dengan harga boleh mencecah beratus ringgit sekilo. Ikan ini turut mengalami komersial dengan dipelihara.Ikan ini juga bersifat karnivor.

Ahad, April 22, 2012

Sejarah Negara Besut


Papan Tanda Masjid Kampung Raja 

Untuk menjelaskan mengenai daerah Besut secara jelas adalah sesuatu yang agak mustahil. Ini kerana kurangnya sumber yang menerangkan mengenai daerah ini melainkan hanya beberapa sumber seperti penulisan Hikayat Abdullah Munsyi dalam Pelayaran Abdullah ke Kelantan juga kitab karangan seorang Bugis iaitu Raja Ali Haji yang bertajuk Tuhfat al Nafis serta juga sumber-sumber lisan daripada masyarakat tempatan.
Asal-Usul Nama Besut.
Besut bukanlah perkataan dielek yang digunakan oleh masyarakat tempatan. Oleh itu, Besut kemungkinan Besar tidak merujuk kepada sesuatu peristiwa atau tanda tempat seperti Kg Pengkalan Kastam, Kg Raja yang jelas menunjukkan tanda sesuatu tempat. Oleh itu, ada beberapa pendapat yang menyatakan bagaimana Besut mendapat nama. Sumber pertama menyatakan bahawa nama Besut diperolehi daripada perkataan Siam iaitu Be bermaksud “ daerah” dan Sut bermaksud “ yang jauh”. Dikatakan bahawa pada masa ini, Besut merupakan sebuah daerah dibawah naungan kerajaan Siam. Sebuah daerah yang jauh mungkin merujuk kepada jauhnya daerah ini daripada pusat pengtadbiran Siam yang berada di Bangkok. Namun sumber ini masih boleh diperdebatkan lagi. pertama sekali dalam sumber ini tidak menyatakan secara jelas bilakah jangkasamasa dan waktu pentadbiran Siam keatas Besut. Dan bagaimana Siam boleh menguasai Besut sedangkan beberapa negeri di utara Besut  masih  merupakan negeri yang merdeka seperti Patani sekurang-kurangnya sehingga abad ke-19.
Pendapat kedua pula menyatakan nama Besut diperoleh daripada nama seorang ketua suku kaum Pangan yang bernama Besut.  Suku kaum tersebut dikenali sebagai suku kaum Sakai yang telah mendiami kawasan Besut lebih awal sebelum kedatangan en Latif. Besut telah dating dan mendiami kawasan ini selepas Raja Sang Nyanya yang merupakan seorang lanun yang kejam dan zalim meninggal dunia.
Dalam catatan Abdullah Munsyi dan Tuhfat al Nafis pula menyatakan mengenai kisah en Latif yang telah membeli daerah ini dengan segantang mata kail dan permata. Dikisahkan bahawa Cik Latif merupakan seorang saudagar yang sering berulang alik dari Patani untuk menjalankan kegiatan jual beli. Beliau dikatakan berasal daripada Sumatera Indonesia. Dengan menawarkan segantang mata kail dan permata, orang Pangan daripada suku Sakai tersebut telah diminta untuk berpindah daripada situ. Dengan itu, Besut dan pengikutnya telah mudik ke Teluk Bida dan dikatakan mendiami kawasan Hulu Besut sekarang ini. Dengan itu, Cik Latif dan pengikutnya telah membina petempatan dikawasan Sungai Besut dan memberi nama kawasan tersebut Palembang mungkin disebabkan tempat asal beliau ataupun kawasan tersebut seperti Palembang di Sumatera. Palembang telah dijadikan pusat pentadbiran pertama di Besut sebelum Kampung Raja.
Selepas Cik Latif meninggal dunia, Palembang pada masa itu telah menghadapi ancaman lanun yang serius. Pemerintah ketika itu iaitu Cik Kamat telah gagal menyelesaikan masalah tersebut sehingga beliau terpaksa untuk meminta bantuan kerajaan Terengganu untuk menumpaskan lanun di kawasan perairan Palembang pada masa itu. Sultan Mansur 1 ( 1726-1793 ) telah menghantar anak baginda iaitu Tengku Kadir sebagai panglima untuk menghapuskan lanun di kawasan tersebut.Tengku Kadir telah berjaya dalam peperangan tersebut yang mana telah memaksa lanun untuk meninggalkan kawasan Palembang ke kawasan Pulau Perhentian. Tengku Kadir telah dilantik oleh Baginda Sultan Terengganu sebagai pemerintah di kawasan Besut dan Cik Kamat telah dilantik menjadi Orang Besar Besut dan diberikan kawasan Pulau Rhu.  Sepanjang pemerintahan Tengku Kadir beliau telah cuba memperkuatan lagi pertahanan di kawasan ini dengan membina benteng-benteng dikawasan sekitar Sungai Besut dan kawasan sekitar Kota Palembang. Baginda telah memindahkan kawasan pentadbiran dan juga mendiami kawasan yang dikenali sehingga sekarang sebagai Kampung Raja.
Membebaskan Diri Dari Pengaruh Terengganu
Selepas kemangkatan Tengku Kadir, Tengku Ali telah dilantik sebagai pemerintah seterusnya. Tengku Ali pada masa itu telah cuba untuk membebaskan Besut dari pengaruh Terengganu yang dikenali sebagai Perang Besut. Tengku Ali telah bertindak secara sulit untuk memerdekakan Besut dengan cuba mendapat bantuan daripada Kelantan. Beliau telah melakukan pemberontakan keatas Kerajaan Terengganu di Kuala Terengganu pada tahun 1876. Tindakan ini diambil apabila Sultan Omar pada masa itu telah mengawal secara langsung Negeri Besut sehingga minimbulkan rasa tidak puas hati Tengku Ali. Semasa upacara perlantikan Tengku Ahmad sebagai Yam Tuan Muda Terengganu, Tengku Ali tidak hadir dalam majlis tersebut sehingga baginda menghantar rombongan ke Besut dan mendapati Tengku Ali sedang mengumpul kekuatan untuk melakukan pemberontakan dengan bantuan Kelantan. Dengan itu baginda telah menghantar surat kepada kerajaan Singgora, Siam dan Kelantan untuk tidak campur tangan dalam urusan hal-ehwal tanah jajahan Terengganu. Baginda juga telah menyediakan angkatan tentera seramai 8000 orang untuk menyerang Besut dari jalan laut.
Tengku Ali telah melarikan diri ke Kelantan. Dengan itu, Sultan Terengganu telah melantik Tengku Ngah sebagai pemerintah di Kampung Raja. Selepas berlakunya krisis meruncing di Besut antara Tengku Ngah dan Tengku Muda di Kampung Lampu maka Tengku Ngah telah menyerahkan pemerintahannya kepada adiknya Tengku Chik Haji. Bagi menyelesaikan kemelut ini, Sultan telah turun sendiri dan melantik Tengku Chik Haji sebagai Raja Besut kerana kedudukan Kampung Raja yang seperti matahari naik. Tengku Ngah merupakan Raja Terakhir Besut dan baginda telah meneruskan legasi Tengku Chik Haji. Baginda telah mangkat selepas 19 tahun memerintah iaitu pada tahun 1899. Selepas itu, Besut telah diperintah oleh pesuruhjaya yang dilantik oleh Sultan Terengganu.
Benarkan Besut Pernah Berada Di Bawah Kelantan?
Cerita rakyat banyak menyebut bahawa Besut pada mulanya merupakan wilayah Kelantan. Selapas Sultan Kelantan kalah judi maka Besut telah diserahkan kepada Terengganu. Cerita rakyat ini bukan hanya tersebut di kawasan Terengganu dan Kelantan sahaja namun saya pernah mendengar cerita ini daripada orang yang luar daripada Kelantan dan Terengganu bahkan ada pensyarah jabatan Sejarah Upsi sendiri yang berpendapat demikian. Sehingga sekarang saya tidak menemukan peristiwa laga ayam sebagaimana yang dimaksudkan itu.
Namun kisah laga ayam tersebut pernah berlaku semasa pemerintahan Sultan Mansor Terengganu yang juga dikenali sebagai Tun Dalam. Pertandingan laga ayam ini antara baginda dengan orang Bugis dan mempertaruhkan sebahagian daripada negeri Terengganu. Baginda Sultan Mansor amat membenci Bugis kerana Bugis telah menguasai pemerintahan Johor pada masa itu dibawah Sultan Sulaiman Badrol Alam Syah. Sultan Sulaiman Badrol Alam Syah merupakan ayah ipar kepada Sultan Mansor. Semasa pertandingan laga ayam itu, ayam Sultan Terengganu telah mengalami kekalahan dan Besut telah diserahkan kepada Bugis. Semasa Long Yunus ( pewaris raja Kelantan yang diabaikan, namun kemudian menjadi raja Kelantan juga ) dan Long Ghafar dating ke Besut, beliau berdua berasa sedih kerana Besut telah jatuh kepada Bugis. Oleh itu dalam senyap-senyap mereka berdua telah berpakat untuk sekali lagi laga ayam dengan Bugis dengan taruhannya ialah Besut.,Kali ini mereka berdua berjaya mengalahkan Bugis dan Besut sekali lagi di serahkan kepada Terengganu. Kisah kedua menyebut bahawa Sultan Terengganu telah meminta ayam sabung Long Yunus yang terkenal hebat itu. Long Yunus telah membantu Terengganu sebagai membalas jasa Terengganu kerana menolongnya merampas kembali takhtha Kelantan.
Melalui peristiwa ini, dapatlah dirungkaikan bahawa Besut tidak pernah berada dibawah kerajaan Kelantan bahkan hanya dibawah pengaruh Terengganu sehinggalah sekarang. Cerita-cerita yang tersebar dalam kalangan masyarakat itu kemungkinan merupakan salah faham dalam kalangan masyarakat dalam menentukan hakikat sejarah. Mungkin disebabkan Long Yunus yang mengalahkan Bugis maka penduduk dan masyarakat pada masa itu menganggap Besut telah berada dibawah Kelantan dan cerita ini telah diperturunkan dari generasi ke generasi sehingga cerita ini seolah-olah menjadi fakta sejarah….


Isnin, November 21, 2011

Pentadbiran Sultan Zainal Abidin III Terengganu

Sultan Zainal Abidin iii
Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan yang paling berjasa dan terkenal dalam sejarah negeri Terengganu. Sumbangan baginda dalam mempertahankan Terengganu dari penguasaan British amatlah terpuji. Semasengku Ma zaman pemerintahan baginda, baginda telah membahagikan wilayah-wilayah Terengganu untuk di jagai oleh pembesar-pembesar negeri. Pembesar yang terlibat dalam pembahagian ini merupakan keluarga terdekat baginda yang mana amat penting untuk menjaga survival politik baginda. Baginda telah bertindak menyerahkan sungai-sungai yang agak besar di kawasan Terengganu kepada kerabat baginda. YDM Tengku Muhammad menjaga kawasan Sungai Marang,Tengku Musa menjaga Sungai Kerteh, Tengku Khajki menerima sungai Nerus,Tengku Ngah menerima sungai Telemong,Tengku Abu Bakar dan Tengku Chik menerima sungai Dungun,Tengku Hitam menerima daerah Besut,Tengku Abdullah menerima sungai Paka. Tengku Mahmud menerima sungai Setiu dan Kluang,Tengku Ibrahim menerima Kemaman dan Kijal,Che Mat bin Abdul Rahim menjaga sungai Kemasik,Tengku Putera menerima sungai Merchang dan diserahkan kepada Tuan Bong dan Syed Abu Bakar. 
Terengganu merupakan sebuah negeri yang tidak mengamalkan sistem pembesar berempat mahupun berlapan. Ia menjalankan pentadbiran dengan sebuah Jamaah Mesyuarat Kerajaan memutuskan sesuatu hukuman yang ingin dijalankan atau membuat sesuatu pengistiharan.Anggota Jamaah pula dipanggil sebagai ahli mesyuarat. Pada zaman Sultan Zainal Abidin, Sheikul Islam di pegang oleh Engku Syed Abdul Rahman bin Muhammad al Idrus ataupun lebih dikenali sebagai Tokku Paloh. 
Masyarakat Terengganu merupakan masyarakat yang bebas. Namun mereka masih terikat kepada beberapa peraturan seperti Sistem Banci, Sistem Serah dan Sistem Kerah. Dalam sistem banci, rakyat dikehendaki membayar cukai sebanyak 1 ringgit bagi yang sudah berkhatan untuk membiayai pembuatan bunga emas untuk dihantar ke Siam. Selain itu,mereka juga akan dikenakan cukai sebanyak 5 sen setahun. Dalam sistem Serah pula,Yang Di Pertua Terengganu akan menghantar wakilnya untuk meminta penghulu menyerahkan wang atau hasil hutan. Terengganu telah melaksanakan hukum Islam sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang Islam sehinggalah akhir kurun ke 19 dimana undang-undang Syariah ini mula diubah sedikit contohnya,bagi undang-undang mencuri, tidak lagi di potong tangan tetapi di hukum denda. Dalam kesalahan membunuh, pembunuh akan dihukum bunuh atau di membayar diat sebanyak 1200 ringgit. Jika orang kafir berzina dengan orang islam maka akan diberi pilihan samada masuk islam dan berkahwin atau dihukum penjara. Dizaman pemerintahan baginda British telah cuba untuk menguasai Terengganu. Namun peranan baginda dan Tokku Paloh telah mengagalkan usaha British tersebut sehinggalah kematian baginda dan Tokku Paloh barulah British berjaya menguasai Terengganu.

Ahad, November 20, 2011

Pentadbiran Tentera Thai di Terengganu ( 1943-1945 )

Yutaka Tani - Ejen Jepun di
Terengganu
Pada 5 Julai 1943, Perdana Menteri Jepun Tojo telah melawat Bangkok dan beliau bersama dengan Perdana Menteri Siam Phibul Sogram mengistiharkan bahawa Jepun akan menyerahkan kawasan Siam yang lama kepada Siam iaitu negeri Melayu utara meliputi Kelantan,Terengganu,Kedah dan Perlis. Jawatankuasa telah ditubuhkan oleh kerajaan Thai yang diketuai oleh Menteri Luar Vichitra Vadhakarn bagi membincangkan proses pemindahan negeri tersebut kedalam kekuasaan Siam. Dengan itu,pada 20 Ogos 1943, kerajaan Siam dan Kerajaan Jepun telah bertindak menandatangani perjanjian yang menyerahkan negeri Melayu utara tersebut kepada kekuasaan Siam. 
Penyerahan ini dilakukan sebagai tanda terima kasih Jepun kepada Siam yang banyak membantu dalam usaha Jepun menawan kawasan di Asia Tenggara terutamanya Tanah Melayu dan Siangapura dengan memberi laluan kepada tentera Jepun. Dalam perjanjian ini juga, Jepun dan Siam akan bekerjasama untuk menghadapai barat dengan slogan Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya yang dicanang oleh Jepun semasa menjajah kawasan Asia. Walaupun kawasan ini telah berada dalam kekuasaan Siam namun hakikat yang tidak boleh di nafikan ialah Jepun masih menguasai dalam bidang ketenteraan dalam negeri ini dan rakyat diminta untuk mempertahankan agenda Kawasan Kesemakmuran Asia Timur Raya. Namun sejak daripada dahulu lagi penduduk Terengganu tidak suka untuk berada di bawah pengaruh Siam bahkan Kesultanan Terengganu tidak pernah menganggap berada dalam kekuasaan Siam walaupun sejak zaman Tun Dalam lagi Terengganu sudah menghantar bunga emas ke Siam setiap 3 tahun sekali sebagai tanda persahabatan. Penyerahan Terengganu kepada Siam pada kali ini juga menyebabkan perasaan tidak puas hati penduduk Terengganu.
Antara alasan yang dikemukan oleh mereka ini ialah mereka merasakan penduduk di Terengganu merasa lebih selesa berada di bawah pendudukan Jepun, pekerjaan yang disediakan oleh Jepun banyak dan keadaan zaman perang menyebabkan Jepun perlu untuk menguasai negeri ini. Bahkan mufti Terengganu telah menyuarakan perkara tidak puas hati ini kepada Sultan Ali pada 1943 untuk dipanjangkan kepada Kerajaan Jepun. Pada 21 Julai 1943, Sultan Ali bersama Tengku Seriwa Raja,Dato' Nara Di Raja,Dato' Sangsuran, Dato' Bentara Rakna,Dato' Purba Wangsa, Dato' Balai ,Haji Ali dan Tengku Bentara Dalam telah bermesyuarat di Telaga Panchur untuk mengajukan surat rayuan kepada kerajaan Jepun supaya mengambil alih semula Terengganu daripada kekuasaan Siam. Namun tindakan ini hanya akan dilakukan jika negeri Melayu utara lain yang terlibat turut berbuat demikian. 
Siam telah bertindak ketua pentadbir di semua 4 buah negeri Melayu tersebut di mana ketua pentadbir Terengganu ialah Kolonel Prayoon Ratankich. Dewan Rakyat Siam juga telah meluluskan usul untuk melantik penduduk di 4 buah negeri tersebut sebagai pegawai bagi mengelakkan permusuhan berlaku kerana negeri-negeri ini belum pernah menerima pemerintahan Siam secara langsung. Pada 15 Oktober 1943, Gabenor dan pegawai-pegawai Thai telah tiba di Terengganu untuk mengambil alih pentadbiran di negeri ini. Setiap negeri ini diperintah oleh Gabenor dan ketua bagi semua negeri ini ialah Gabenor Jeneral. Kerajaan Siam telah berjanji tidak akan mengganggu urusan agama dan adat istiadat Melayu bahkan Terengganu telah dibenarkan untuk menaikkan bendera kerajaan negeri yang pernah digunakan oleh Sultan Zainal Abidin III dan Sultan Terengganu juga dibenarkan untuk memasang bendera kerajaan di kereta baginda yang mana sebelum ini tidak di benarkan oleh Jepun kecuali meletakkan bendera di kereta sebagai keturunan Sultan bukannya sebagai Sultan. 
Kerajaan Jepun telah menyerahkan Terengganu kepada Siam pada 18 Oktober 1943 pada jam 11.50 pagi . Gabenor Terengganu,Prayoon Ratanakich telah telah meminta semua rakyat untuk bekerja seperti biasa dan mereka tidak akan dipecat bahkan kebajikan mereka akan di jaga oleh Siam. Waktu Siam telah digunakan semasa pemerintahan di Terengganu. Arahan dikeluarkan untuk pejabat kerajaan mengibarkan bendera Thai tetapi Sultan masih boleh mengibarkan benderanya di kawasan Istana. Waktu bekerja ialah dari Sabtu hingga rabu dan Khamis kerja separuh hari dan Jumaat dikekalkan waktu cuti umum bagi Terengganu. 3o Oktober, pemerintahan tentera Thai telah memaksa penduduk Terengganu menggelarkan diri mereka sebagai orang Thai dan negeri Thai sebagaimana yang dilakukan di Patani dalam usaha menThaikan penduduk dengan dasar Ratanayom Thai. Pada 1 November tahun sama,kerajaan Thai telah menukar panggilan Gabenor Jeneral dengan Pesuruhjaya Tinggi Tentera Thai Bagi Empat Buah Negeri dan gabenor telah ditukar kepada Pesuruhjaya Tinggi Tentera. Pada 17 Disember 1943, Siam telah bertindak menyerahkan pentadbiran negeri kepada Sultan dimana Sultan akan menjadi pentadbir dan Pesuruhjaya Tinggi Tentera akan menjadi penasihat. Pentadbiran Thai di Terengganu berakhir selepas kekalahan Jepun dimana Region 8 telah mengambil alih pentadbiran pada 15 Ogos 1945 yang ditadbir oleh Leftenan Headley.

Sabtu, April 16, 2011

Autobiografi Diri { Maaf Jika Ayat Tidak Sedap }


Kehidupan asrama bagi setiap orang adalah berlainan dan begitu jugalah kehidupan aku diasrama. Ramai orang merasakan kehidupan asrama ibarat berada disebuah penjara yang dikelilingi oleh geriji tajam[1] dan juga diawasi oleh beberapa orang warden penjara yang berwajah kejam.[2] Mungkin inilah antara yang menyebabkan ramai pelajar yang takut untuk berada di asrama tambahan lagi pelajar yang dikira berada. Aku berada diasrama dalam 4 waktu  iaitu semasa sekolah rendah,tingkatan 3,tingkatan 5 dan tingkatan 6. Dan setiap daripada satunya mencungkil pengalaman yang berbeza.

    Semasa sekolah rendah sejak daripada darjah empat lagi aku adalah pelajar yang paling malas untuk pergi kesekolah mungkin kerana beberapa sebab. Antara sebab yang sering aku berikan kepada kawan yang sering bertanya ialah aku suka tengok kartun Dragon Ball dan memang aku minat dengan kartun tu. Masih aku ingat guru kelas pada darjah empat itu ialah cikgu Osman yang merupakan guru sains ku sendiri. Beliau merupakan seorang yang amat baik dan sering “melepaskan”[3] aku daripada hukuman apabila tidak datang kesekolah walaupun alasan yang diberikan adalah sama iaitu tertidur,sakit perut dan pening kepala. Alasan ini bukan sahaja digunakan oleh aku tetapi juga oleh kebanyakan pelajar yang mempunyai hobi seperti aku. Tetapi sebenarnya da sebab yang lain kenapa aku betul-betul malas untuk kesekolah pada masa itu. Semasa aku darjah 3,aku merupakan pelajar yang paling cemerlang di kelas 3M[4] dan sepanjang setahun itu tidak pernah ada seorang pun yang mampu merampas tempat aku dan itu membawa makna aku mendapat tempat nombor 1 dalam setiap peperiksaan selama setahun di kelas itu.[5] Pada darjah 4 aku telah naik kekelas 4 Teratai seorang diri dan dalam keadaan yang belum dapat membiasakan diri didalam kelas itu ada seorang pengawas perempuan dalam kelas itu yang yang suka marah kepada saya sehingga saya sering menangis dan pada saya mungkin inilah sebabnya aku menjadi seorang yang malas pergi ke sekolah sehingga tingkatan 2.[6] Namun keseronokan aku tidak kesekolah tidak lama kerana guru yang baik itu ditukar kepada seorang lagi guru. Guru yang menjadi guru kelas kepada aku masa itu ialah Puan Rohaya dan agak cerewet dalam bertanya pelajar yang tidak datang kesekolah namun aku pada masa itu masih tidak takut untuk memonteng kerana cikgu Rohaya masih diketogorikan sebagai guru yang baik.

    Semasa darjah 6,saya mendapat seorang guru kelas yang garang yang bernama cikgu Siti.[7] Walaupun takut,saya tetap beranikan diri untuk ponteng sekolah. Namun setiap kali masa kelas cikgu Siti Rogayah itu,saya berasa amat takut kerana cikgu Siti sering tidak “melepaskan” peluang untuk menghukum kami. Saya masih ingat,suatu hari saya tidak bila saya pergi sekolah setelah hari sebelumnya saya ponteng dan kebetulan kelas Cikgu Siti waktu pagi. Pada pagi itu, ada musyuarat dalam kalangan guru sekolah di perpustakaan. Saya mengintai dari kelas saya yang kebetulan berada dekat dengan kelas saya. Dalam hati saya,saya amat berharap supaya musyuarat itu lama dan memohon supaya cikgu siti tidak akan sempat masuk ke kelas. Malangnya musyuarat yang diadakan adalah singkat sahaja dan cikgu siti masuk ke kelas dan perkara pertama yang akan ditanya apabila masuk kelas ialah mengenai kehadiran. Perkara yang paling menakutkan mengenai cikgu Siti ini ialah beliau suka mencubit perut pelajarnya yang tidak datang ke kelas. Alasan yang diberikan adalah sia-sia sahaja.
    Pada tanggal 22 Febuari 2001,yang juga merupakan Hari Tahun Baru Cina,saya seorang diri telah turun dari rumah sejak awal pagi lagi untuk melihat pancing yang dipasang pada hari sebelumnya. Saya tidak pasti pukul berapa saya turun dari rumah dengan berbasikal namun seingatan saya waktu itu masih gelap lagi mungkin sekitar pukul 7 pagi. Pada pagi tu,saya mendapat seekor ikan tapah dan dengan hanya memegang sebelah sahaja “handle” basikal dan sebelah lagi ikan saya mengayuh balik,tetapi malangnya,setelah sampai dipersimpangan jalan ke rumah,basikal yang dinaiki oleh saya telah terbabas dan terbalik sehingga menyebabkan tulang tangan sebelah kiri saya mengalami kepatahan. Saya hanya mampu menahan diri daripada menangis dan menyorong basikal hingga ke rumah. Ikan yang saya dapat itu dilepaskan di sebuah alur yang ada sebelum sampai dirumah saya. Saya masih ingat pada masa itu,lalu seorang tua yang mahu kekebun getahnya,tapi saya hanya menyembunyikan sahaja daripadanya. Saya berusaha berjalan untuk sampai ke rumah dan apabila sampai di rumah saya terus mengambil kain pelikat untuk membuat kain sandang dan hanya air mata yang bercucuran. Saya pada masa itu menyembunyikan kejadian ini daripada ibu saya kerana takut dimarahi. Kebetulan pada waktu datang seorang tua yang bertanya kepada saya apa yang berlaku dan orang itu yang dipanggil Mak Da Jenab telah memaklumkan ibu saya mengenai perkara ini.

   Sudah adat dikampung, ibu saya telah memanggil seorang bomoh patah untuk merawat saya yang mana saya sendiri sudah tidak pasti siapa namanya namun seingat saya namanya ialah Pok We Patah. Urutan yang dibuat amat menyakitkan,semakin kuat suara yang keluar semakin kuat urutan yang dilakukan menyebabkan saya hanya menahan sahaja apa yang ingin dilakukannya. Saya dilarang untuk memakan banyak benda antaranya yang paling ditegah ialah sebarang jenis kacang kerana katanya kacang akan menyebabkan tulang yang sudah pulih kembali sakit. Saya hanya diberi makan makanan yang dibakar terutamanya ayam kampung[8] bakar dan juga ikan haruan kering yang dibakar. Disebabkan peristiwa patah tangan itu,saya tidak pergi ke sekolah hampir 2 bulan[9] dan mungkin lebih sehinggalah 2 orang guru saya datang iaitu Cikgu Siti dan Cikgu Rohaya. Seiingat saya mereka datang pada hari rabu dan saya hanya pergi ke sekolah pada hari Ahad minggu berikutnya. Sehingga sekarang saya masih ingat perkataan yang diucapkan oleh cikgu Siti pada masa itu kepada ibu saya “ dio ni cerdik sebab tu saya mari turut suruh dio sambung”.
    Saya telah dipaksa oleh cikgu Siti untuk tinggal diasrama bagi mengelakkan supaya saya tidak lagi ponteng sekolah namun saya bertahan selama beberapa minggu untuk tidak ke asrama. Desakan untuk duduk di asrama bukan sahaja datang daripada guru bahkan datang daripada Guru Besar pada waktu itu yang bernama Che Embong. Saya masih ingat suatu hari saya telah dipaksa keluar kelas oleh Cikgi Siti semata-mata untuk mengambil borang asrama daripada warden pada masa itu iaitu Ustaz Rahimi.
    Diasrama sekolah kebangsaan Bintang terdapat 2 dorm untuk lelaki dan 3 dorm untuk perempuan. Dorm lelaki dipasahkan oleh sebuah bilik computer namun jaraknya amat dekat. Apabila lepas waktu studi pada malamnya,banyak perkara yang dimainkan dan saya masih ingat bahawa kami bermain lontar baldi didalam dorm. Saya berada di dorm A dan kami di dorm A akan menyelinap masuk ke dorm B tanpa disedari untuk melontar baldi yang berisi air kepada pelajar yang berada di dorm B,dan begitu lah seterusnya. 
Serangan timbale bali sering berlaku. Kawan saya yang digelar Idi Pendek[10] telah menangis apabila penyelia petang telah menambah nasi semasa makan petang. Mungkin kerana Idi pada masa itu masih kecil dan agak cuak apabila penyelia petang pada masa itu bertindak begitu dan mungkin cara dia menyelamatkan diri dengan menangis.
    Banyak peristiwa yang menarik semasa berada di asrama pada masa itu. Masih saya ingat semasa semua orang dah balik dari asrama,saya dan seorang lagi kawan saya telah masuk ke dorm perempuan dengan diiringi oleh Syikin yang merupakan palajar darjah 5 pada masa itu. Saya melihat bentuk asrama perempuan pada masa itu berlainan sekali dengan dengan asrama lelaki. Dorm perempuan pada hakikatnya seperti 1 dorm sahaja kerana dari dorm ke dorm ada gerbang untuk masuk dan ini bermakna bahawa mereka tidak perlu menggunakan pintu luar untuk masuk dorm lain kerana mereka memiliki dorm yang sama.
   Suatu hari,kami telah masuk ke bilik computer ditepi dorm lelaki semasa waktu studi waktu petang. Pada masa itu,saya amat takut untuk bermain komputer sehingga ingin memegang tetikus pun takut. Saya hanya melihat kawan-kawan bermain dan tanpa disedari kami telah terlewat untuk solat asar sehingga diketahui oleh warden. Kami didenda untuk mengangkat sampah yang telah berulat di rumah warden,bayangkan terseksanya kami dahlah jarak antara rumah warden dengan tempat pembuangan sampah terlalu jauh dan dengan kudrat kanak-kanak pada masa itu ia boleh dikira terseksa. Ustaz Rahimi merupakan seorang yang tegas,setiap pagi beliau akan mengetuk pintu asrama untuk solat subuh dan dengan itu kami akan bergegas bangun dan terus memakai baju yang telah disediakan di bucu katil. Selain itu,ada seorang lagi guru yang tegas . Guru itu bernama Cikgu Tengku.[11] Pada suatu hari, sebelum solat magrib saya telah menyampaikan “ceramah” di kawasan perhimpunan sekolah yang terletak ditengah-tengah antara asrama dan surau. Saya masih ingat antara isi kandungannya ialah:
“ Yang berbahagia batang bendera dikiri saya,yang dirahmati pasir dan kerusi dikanan saya.. ............. saya terjumpa ikan bau yang mati tertelan tulang ayam...”
Ucapan itu seingat saya agak panjang dan ia dilakukan dalam keadaan main-main sahaja dan saya tidak mengjangkakan pelajar lain melaporkan perkara itu kepada cikgu Tengku.Tetapi mujurlah tiada hukuman “kejam” yang dilaksanakan. Zaman sekolah rendah merupakan zaman yang paling gembira kerana tiada apa yang perlu difikirkan.

    Semasa tingkatan 5,saya sekali lagi berada diasrama. Pada masa itu,wataknya sudah berlainan sekali dengan kenakalan semasa sekolah rendah namun tahap kenakalan tetap tidak jauh bezanya. Satu penyakit bila berada diasrama ialah kita akan mudah terikut dengan apa yang dilakukan kawan dan antara penyakit yang berlaku diasrama Sekolah Menengah Kebangsaan Renek pada masa itu ialah pelajar akan tidur lewat sehingga jam 2 pagi semata-mata untuk bermain daun terup. Setiap pagi diasrama pada waktu itu kami akan memeriksa dorm yang berlainan. Ini bermakna lelaki akan memeriksa dorm wanita dan begitulah sebaliknya.
    Kami lelaki sering menjadi mangsa. Kami cuba bertolak ansur dengan perempuan namun perkara itu seakan-akan sia-sia sahaja. Pakaian lelaki yang terjatuh dari sidaian akan dibawa keluar ketempat perhimpunan pelajar. Demi membalas dendam pelajar lelaki yang memeriksa[12] dorm perempuan akan mengcampakkan pakaian dalam perempuan ke jalan raya diluar dorm perempuan.
 Suatu hari kawan saya berdendam dengan seorang wanita yang telah memarahinya didalam kelas Peluang ini telah diambil kesempatan olehnya dengan kencing dikain perempuan itu. Saya hanya boleh menggiling kepala sahaja. Semasa akhir tahun,asrama desa sekolah saya telah ditambah baik. Mozek telah dipasang di asrama dan kami telah menjadi 2-3 kelas sebagai markas kami dan kelas yang saya duduki itu dipanggil sebagai “rumah puaka”. Kami akan mengangkat tilam yang berada didalam dorm untuk dibawa kedalam kelas. Disini berlaku satu peristiwa yang melucukan dimana berlakunya peristiwa “ hantu tilam”.[13]
    Peristiwa hantu tilam betul-betul menggemparkan asrama sekolah pada waktu itu sehinggakan seorang pengawal keselamatan yang memang minat mistik turut percayakannya dan terus menyebarkan cerita ini kepada pelajar perempuan. Tetapi hantu tilam sebenarnya 3 orang rakan saya yang mengusung tilam kekelas. Apabila kisah ini terbongkar kami dapat melihat muka pengawal keselamatan yang malu kerana menyebarkan cerita yang palsu.

     Semasa tingkatan 6 sekali lagi saya berada di asrama namun asrama pada masa itu sudah jauh berbeza daripada tingkatan 5 dahulu. Pelajarnya lebih bertambah baik dan kebanyakan pelajar adalah tingkatan 3 dan 2. Saya masih ingat bahawa pada awal tahun kami telah kenakan 2 orang pelajar junior. Pertama sekali kami kenakan seorang pelajar yang juga merupakan anak saudara kepada warden. Kami bangun sekitar jam 2.00 pagi dan buat seolah-olah sudah masuk waktu subuh. Jam dinding yang ada telah kami putarkan kepada pukul 6.30 pagi. Tanpa berlengah pelajar itu terus bangun dan kami mendesak supaya pelajar itu pergi azan tanpa menggunakan speaker. Kisah yang kedua juga hampir sama dimana pelajar dikejutkan jam 2.15 pagi dan kami turut mendorongnya untuk azan. Mungkin kerana pelajar itu merupakan pelajar baru maka dia menangis apabila dikenakan. Perkara yang paling melucukan banyak yang berlaku. Diasrama desa itu,terlalu ramai yang mahu bermain daun terup,bukan sahaja yang sudah dianggap dewasa tetapi juga yang masih “kecil”. Bagi mengelakkan budak yang kecil itu bermain,kami akan mengenakan syarat untuk bermain iaitu siapa yang kalah perlu membuat apa yang kami suruh.
    Anak saudara kepada warden asarama pada masa itu turut bermain. Kami telah berpakat untuk mengenakannya walaupun dalam permainan itu “orang” kami yang kalah namun penipuan yang berlaku telah menyebabkan diatas kertas anak saudara warden itu yang kalah. Kami memaksa dia untuk mencium seorang budak lelaki yang suka tidur awal dan selalu mengeluarkan air liur basi yang bernama farid namun disebakan selalu keluar air liur basi maka kami namakannya sebagai longkang.
Kisah zaman persekolahan terlalu banyak untuk diceritakan dan semestinya dalam ruangan yang ringkas ini tidak mampu untuk mengungkapkan segala kenangan manis mahupun pahit semasa waktu persekolahan.



[1]  Pintu pagar asrama.
[2]  warden asrama
[3]  tidak menghukum walaupun tidak hadir ke sekolah tetapi beliau hanya bertanya mungkin sekadar untuk menakutkan aku yang sering tidak hadir ke sekolah.
[4]  Di Sekolah Kebangsaan Bintang pada masa itu,hanya ada 3 kelas untuk setiap darjah iaitu kelas Teratai ( T ) yang merupakan kelas no 1,Kelas Melor ( M ) kelas no 2 dan kelas Kenanga ( K ) kelas no 3.
[5]  Saya semasa darjah 1 merupakan pelajar yang berada dikelas teratai namun telah menukar kelas ke kela 1 mawar kerana sering dibuli oleh kawan yang lain dan mungkin juga kerana kawan sepermainan aku yang juga semuanya perempuan berada dikelas tersebut.
[6]  Semasa saya tingkatan 1 saya berada dikelas 1E2 yang merupakan kelas nombor 6 daripada 11 kelas. Di tingkatan 1 saya telah dipanggil oleh guru disiplin pada waktu itu iaitu cikgu Shuhaimi untuk mengugut akan membuang saya dari sekolah jika terus tidak hadir kerana dalam rekod pada waktu itu saya telah tidak hadir selama 61 hari dan semasa tingkatan 2 saya tidak hadir selama 62 termasuklah ponteng 11 hari berturut-turut semasa bulan Febuari.
[7]  Cikgu Siti merupakan guru yang paling digeruni oleh pelajar disekolah itu. Beliau sering marah kepada pelajar dan jika pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah,cikgu siti akan menggunakan pemadam papan hitam untuk memukul bahu kami.
[8]  Pada waktu ini,ayam dikampung telah diserang oleh satu penyakit yang tidak dikenal pasti. Ayam itu akan menjadi gila dan kemudiannya akan mati. Ibu telah memasukkan ubat “pinisilin” kedalam air untuk diminum oleh ayam namun masih ramai yang mati. Ayam yang gila ini kebiasaannya akan disembelih.
[9]  Sebenarnya,tangan yang patah telah sembuh dalam masa lebih kurang 2 minggu sahaja. Sebelum cikgu datang kerumah saya,saya sudah pun boleh menggali telaga pada masa itu.
[10]  Idi Pendek ( sekarang Arwah ) telah meninggal dunia dalam kemalangan motosikal dalam tingkatan 2.
[11]  Cikgu Tengku merupakan antara cikgu yang paling digeruni di Sekolah Kebangsaan Bintang pada waktu itu. Beliau suka menghukum pelajar yang tidak mampu menjawab soalan matematiknya dan juga kepada pelajar yang tidak menyiapkan kerja sekolah.
[12] Saya merupakan pekerja tetap dalam memeriksa dorm perempuan ni,dan perbezaan kekemasan antara dorm lelaki dan perempuan amat jauh berbeza.
[13]  Peristiwa hantu tilam ini menjadi semakin memberi pengaruh ketakutan diasrama pada waktu itu kerana sebelum itu berlaku peristiwa dimana seorang pelajar yang studi seorang diri di sebiah kelas telah telah diganggu oleh makhluk yang dipercayai makhluk halus. Tubuhnya sebesar cawan kecil sahaja yang melekat di cermin dan apabila dilihat kesan pada cermin itu bukan kesan cermin yang dilap... Sehingga sekarang peristiwa ini masih dianggap misteri.



Sabtu, Mei 01, 2010

senarai menteri besar Terengganu Darul Iman

    Menteri Besar Terengganu sekarang..Dato Ahmad Said..pemilihan MB kontroversi dalam sejarah Terengganu.
1.Dato' seri amar diraja ngah muhamad bin yusof ( april 1925-jun 1940 )
2.Tengku seri setia raja tengku omar bin othman   ( jun 1940-mei 1942 )
3.Dato' jaksa perkasa da omar bin mahmud          ( may 1942-dec 1945 )
4.Tengku panglima perang tengku muhamad bin al marhum sultan ahmad ( dec 1945-dec 1949 )
5.Dato' perdana menteri di raja dato' seri setia raja kamaruddin bin idris ( dec 1949-jun 1959 )
6.Mohd daud bin abdul samad  ( jun 1959-nov 1961 ) dari PAS
7.Tansri ibrahim fikri bin mohammad ( nov 1961-sep 1970 ) dari PERIKATAN
8.Dato' mahmud bin sulaiman  ( sep 1970-sep 1971 ) dari PERIKATAN
9.Dato' nik hasan bin wan abdul rahman  ( sep 1971-ogos 1974 ) dari PERIKATAN
10.Dato' seri amar diraja tan sri wan mokhtar ahmad ( sep 1974-dec 1999 ) BN
11.Dato' seri abdul hadi awang   ( dec 1999-march 2004 ) PAS
12.Dato seri idris jusoh ( march 2004-march 2008) BN
13.Dato ahmad said ( mac 2008-sekarang ) BN..

The Live Stream plugin lets your users share activity and comments in real-time as they interact during a live event.

13.1.10

free counters