Kedudukan Pakistan |
Pada
tahun 1905, British telah melakukan pemisahan wilayah Bengal yang mempunyai
ramai penduduk Islam dari India. Setahun kemudian ditubuh Liga Muslim yang
mungkin merupakan pengaruh daripada pemisahan wilayah ini. Pemisahan ini
mungkin perancangan awal yang dilakukan oleh British untuk memisahkan India
kepada dua negara yang berbeza. Pemisahan Pakistan diripada India dikaitkan
dengan idea yang diutarakan oleh Syad Ahmad Khan dan juga penggerak dan
penyokong beliau yang berada di Aligarh yang menggerakkan semangat separatisme
India. Namun hakikat yang perlu diterima ialah kesedaran komunal yang berlaku
kepada masyarakat Islam tidak menyeluruh dan mempunyai tahap yang berbeza
diantara satu sama lain berdasarkan
kepada keadaan kehidupan sosial dan juga doktrin yang dipegang oleh mereka.
Dalam
pilihanraya India tahun 1937, Parti INC telah memenangi kerusi sebanyak 74
peratus secara keseluruhan dan berjaya membentuk kerajaan tanpa memerlukan
gabungan daripada parti lain melainkan dibeberapa kawasan seperti di Bombay,
Assam dan Bengal dan kalah di Sind dan Punjab. Saingan INC iaitu Liga Muslim
mengalami kekalahan yang tidak sepatutnya dialami oleh parti tersebut tambahan
lagi bertanding di kawasan majoriti Islam di Bengal, Punjab dan Sind. Liga
Muslim terpaksa menerima hakikat bahawa parti yang bersifat kebangsaan lebih
diterima oleh rakyat berbanding dengan Liga Muslim. Keadaan ini tentunya
menggusarkan pemimpin Liga Muslim terutamanya Muhammad Ali Jinnah. Oleh itu,
Muhammad Ali Jinnah telah menggunakan isu-isu berkaitan kelangsungan politik
Islam untuk menarik sokongan masyarakat Islam. Pelbagai isu yang dimainkan
seperti slogan Islam dalam bahaya dan INC parti yang hanya memperjuangkan
masyarakat Hindu. Semasa kepimpinan Liga Muslim oleh Muhammad Ali Jinnah pada
1934, Liga Muslim merupakan organisasi yang tidak terurus dan berpecah
belah.Oleh itu beliau telah melakukan penyatuan organisasi dengan penetapan
tujuan dalam bentuk teori dua bangsa.
Slogan
yang dimainkan oleh Liga Muslim tersebut ternyata mampu untuk menarik sokongan
daripada masyarakat Islam. Muhammad Ali Jinnah juga mendesak wilayah-wilayah
yang mempunyai majoriti masyarakat Islam supaya berjuang dibawah payung Liga
Islam. Muhammad Ali Jinnah telah berjaya mendesak parti-parti wilayah di Sind
dan Punjab termasuklah parti Unionist yang dipimpin oleh Srikander Hyatt Khan. Desakan
yang dilakukan oleh Muhammad Ali Jinnah telah diambil berat oleh masyarakat
Islam. Sejak itu, sokongan kepada Liga Muslim telah bertambah dan menjadi
penentu kepada perkembangan nasionalisme Islam di India. Sokongan kuat
masyarakat Islam ini kepada Liga Muslim telah menyebabkan persaingan sengit
berlaku dengan parti INC sekaligus menjadi asas kepada pemisahan Pakistan
daripada India.
Sokongan
umat Islam kepada Liga Muslim telah memberi roh baru kepada “ gagasan Pakistan”
yang selama ini hanya menyepi. Muhammad Ali Jinnah secara terang-terangan telah
memegang teori dua bangsa. Teori dua bangsa ialah teori yang menyatakan
masyarakat Islam dan Hindu di India ialah terdiri daripada dua bangsa yang
berbeza bukan hanya daripada segi agama bahkan kebudayaan, cara hidup, sejarah
dan sebagainya yang mempunyai banyak perbezaan yang ketara dengan masyarakat
Hindu. Berdasarkan teori inilah , Muhammad Ali Jinnah telah mengemukan Resolusi
Pakistan ( Resolusi Lahore ) pada Mac 1940 semasa persidangan Liga Muslim di
Lahore. Resolusi itu mendesak supaya sebuah negara Islam diwujudkan di kawasan
yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Kewujudan Wilayah Islam itu
dipercepatkan lagi dengan wujudnya pergaduhan komunal antara masyarakat Islam
dan Hindu lebih-lebih lagi dikawasan yang mempunyai penduduk Islam yang tinggi
seperti di Bengal, Sind dan Punjab. Oleh itu, menjadi salah satu sebab British
memikirkan untuk mewujudkan satu wilayah khusus untuk orang Islam.
Umat
Islam yang telah berkuasa selama berates tahun di India telah merasa kehilangan
kuasa apabila British dan kerajaan Hindu-India telah mula menghapuskan beberapa
kepentingan masyarakat Islam India contohnya pengambilalihan beberapa jawatan
penting kerajaan daripada masyarakat Islam sehingga menyukarkan pengamalan
Islam di India selain kecurigaan British dan masyarakat Hindu kepada orang
Islam yang semakin memuncak. Memburukkan keadaan apabila pemerintah Hindu cuba
menukarkan bahasa Lingua Franca Urdu yang merupakan bahasa identiti Islam
kepada bahasa Hindi sebagai bahasa kebangsaan India. Keadaan umat Islam yang
terhimpit dari segi ekonomi, politik dan pendidikan telah menguatkan lagi
semangat orang Islam untuk memisahkan diri daripada India.
Semasa
berlakunya perang dunia yang kedua, British telah mengalami masalah kewangan
yang agak meruncing. Jepun pada masa itu, telah menjajah China dan Asia
Tenggara dan telah menyebabkan kebimbangan British jika Jepun bertindak
menyerang mereka di India. Oleh itu, British cuba bersekutu dengan mana-mana
parti di India yang boleh menjadi penyokong kepada mereka. British cuba
mendapatkan sokongan daripada INC namun gagal kerana pada masa itu, INC sedang
melancarkan gerakan non koperasi ( dasar tidak bekerjasama ). Selain itu, INC
juga melancarkan kempen “Gerakan Meninggalkan India” yang bertujuan supaya British
meninggalkan India. Pemimpin-pemimpin
INC seperti Mahatma Ghandi, Jawahalal Nehru dan 20,000 yang lain telah
ditangkap oleh British kerana melakukan pengucapan anti-peperangan. Seorang
ahli akademik telah menyebut bahawa kegagalan pimpinan Parti Kogress semasa
perang dunia kedua telah menyebabkan kewujudan Pakistan.
Dalam
pada INC tidak mahu bekerjasama dengan British. Liga Muslim telah mengambil
langkah yang berbeza. Liga Muslim telah bertindak melakukan kerjasama dengan
British bagi menghadapi perang dunia yang kedua tersebut. Bagi menghargai
kerjasama tersebut, British telah berjanji untuk mempertimbangkan dengan wajar
permintaan Liga Muslim untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Selepas perang,
telah berlaku kekacauan yang melibatkan masyarakat Islam dan Hindu terutamanya
di Bengal yang telah membunuh hampir 4000 nyawa dan 10,000 lagi cedera.
Pertelingkahan ini berlaku apabila Liga Muslim ingin menjadikan 16 Ogos 1946
sebagai hari kelepasan am untuk perjuangan Pakistan. Masyakat Hindu yang tidak memberi
kerjasama telah diugut dengan dibakar kedai dan pelbagai cara lain. Pada April
1946, Jawahalal Nehru mengatakan kepada Lord Mountbatten ( Gabenor Jeneral
India yang baru ) bahawa wilayah-wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam
boleh dikeluarkan daripada India dan menjadi sebuah negara yang merdeka.
Rancangan
pemisahan India-Pakistan telah dirangka pada April 1947 manakala dibentangkan
pada Jun tahun yang sama. Namun tidak semua yang mempersetujui pemisahan ini
antaranya Mahatma Ghandi yang menentang keras pemisahan ini. Selain Mahatma
Ghandi, ada juga beberapa kumpulan Islam yang menentang pemisahan ini contohnya
Abul Kalam Azad dan pemimpin Islam di Madrasah Deoband juga turut menentang
pemisahan ini. Darul Ulum Deoband ini memainkan peranan penting dalam menuntut
kemerdekaan India dan menentang keras teori dua bangsa kerana mereka masih
mengharapkan pelaksanaan syariah Islam didalam negara India selepas mendapat
kemerdekaan. Selepas berlakunya pemisahan ini, penduduk Islam secara besar-besaran
berpindah ke wilayah Pakistan dan begitulah sebaliknya. Sebagai sebuah negara
yang baru dibentuk, Pakistan telah mengalami zaman kesulitannya. Penghijarahan
berjuta- juta Muslim kewilayah Pakistan ditambah dengan pengusiran yang
dilakukan oleh pemerintah India telah menyebabkan bebanan ekonomi kepada
Pakistan. Bahkan lebih sadis apabila
umat Islam telah dibunuh semasa proses pemindahan tersebut. Keretaapi yang
sarat dengan Muslim telah disekat oleh tentera India kemudian umat Islam telah
dibunuh semasa dalam perjalanan.
Ketempangan
yang berlaku dalam bidang sosio-ekonomi, diskriminasi politik telah menyebabkan
ketidakpuasan hati penduduk Pakistan Timur dengan pemerintah pusat sehingga
menyebabkan perpecahan bangsa berlaku di Pakistan Timur dan Pakistan Barat.
Akhirnya pada tahun 1971, sebuah negara baru telah diwujudkan di Pakistan Timur
yang dikenali sebagai Bangladesh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan