Pengikut

Jumaat, Mac 23, 2012

Masalah Membaca bagi Kanak-Kanak


Gambar Hiasan
Membaca merupakan amalan yang mulia yang amat dituntut di dalam Islam. Bahkan wahyu pertama didalam Islam ialah iqra’ yang bererti bacalah. Di dunia moden kini,kita terpaksa mengakui bahawa membaca sudah menjadi sesuatu yang keperluan. Tanpa kemahiran membaca,kita tidak akan mampu untuk pergi lebih jauh dan maju dalam kehidupan. John Everatt dalam bukunya Membaca dan Disleksia ( 2008:1 ) telah mendefinisikan membaca sebagai pentafsiran perkataan dan pemahaman bahasa. Manakala Yusof Othman dalam bukunya Mengajar Membaca : Teori dan Aplikasi:Panduan Meningkatkan Kemahiran ( 2004:159 ), telah mendefinisikan membaca sebagai proses mengecam,membuat interpretasi,membuat persepsi keatas bahan bercetak atau bertulis. Membaca ialah proses penguasaan terhadap konseo huruf,penguasaan perbendaharaan kata dan tumpuan ( Mohd Sharani Ahmad dan Zainal Madon:2003 ). Kebanyakan pakar dalam bidang bidang membaca memberikan makna membaca yang agak sama yang membezakannya hanyalah susunan ayat. Secara ringkasnya,membaca ialah satu proses untuk mentafsirkan lambang-lambang kedalam bentuk pemahaman berbahasa. Walaupun makna membaca begitu mudah diberikan,kita terpaksa menerima hakikat bahawa negara kita mempunyai tahap buta huruf yang agak tinggi berbanding dengan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh pihak kerajaan.Tidak ada umur tertentu untuk mengajarkan anak-anak membaca namun ada sesetengah pakar sosiologi tidak menggalakkan belajar membaca pada umur yang terlalu muda kerana dibimbangi akan menyebabkan proses pembesaran akan terganggu. Umur yang sesuai untuk diajarkan membaca dalam lingkungan lima hingga enam tahun.Perlu diketahui.masalah membaca sebenarnya berpunca daripada banyak faktor tetapi masalah besar boleh diklasifikasikan sebagai masalah dalaman dan masalah luaran. Dalam tugasan ini,kami akan menjelaskan punca-punca dalaman dan luaran yang menyebabkan seseorang itu menghadapai masalah kesukaran untuk membaca yang sekaligus akan merugikan negara daripada segi ekonomi,sosial mahupun politik.

  Masalah Dalaman
Masalah membaca biasanya banyak berkait dengan masalah dalaman diri sendiri berbanding dengan masalah luaran. Masalah membaca daripada aspek dalaman ini boleh berlaku disebabkan masalah kognitif dan juga intelek seseorang itu sendiri. Menurut tokoh membaca yang terkenal,Marohaini Yusoff ( 1999 ), masalah intelek meliputi kecerdasan, keboleh bahasaan dan pengalaman yang sudah sedia ada. Kecerdasan merupakan aspek penting yang diperlukan untuk membaca. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah mental seperti terencat akal, sindrom down pastinya tahap keboleh bacaan dalam kalangan mereka pastinya rendah. Oleh itu, kecerdasan mental amat penting dalam menjalani proses membaca.  Kecerdasan mental contohnya membolehkan seseorang pelajar mudah untuk mengingati sesuatu yang diajarkan oleh guru. Tanpa perlu mengulang beberapa kali,pelajar yang mempunyai kecerdasan pasti akan dapat untuk mengikuti apa yang diajarkan oleh guru. Contohnya, untuk memahami struktur ayat yang sukar,semestinya agak sukar untuk pelajar yang kurang kecerdasan untuk memahami struktur ayat tersebut. Kecerdasan mental biasanya berkait dengan keboleh bahasaan terutama untuk memahami struktur ayat sesuatu bahasa. Masalah biasa bagi pelajar yang kurang cerdas ialah masalah untuk mengenal 26 huruf abjad yang terdapat dalam ejaan rumi.,
Masalah untuk mengenal huruf merupakan masalah besar dan masalah paling asas dalam kemahiran membaca. Sesetengah pelajar begitu sukar untuk mengenali 26 huruf abjad rumi dan 28 huruf abjad jawi. Walaupun setiap hari diajar,sesetengah pelajar amat sukar untuk mengenali huruf apatah lagi untuk membaca suku kata- suku kata dalam bahasa Melayu. Masalah untuk mengenal huruf ini biasanya akan menjurus kepada kesalahan sebutan sesuatu perkataan atau ayat.
Dalam proses pembelajaran membaca, beberapa masalah membaca kerap dilakukan oleh pelajar iaitu, omission, bacaan songsang, bacaan ulangan, bacaan gantian, bacaan tambahan, tidak kenal huruf dan salah sebutan. Masalah omission atau bacaan tinggalan sering dilakukan oleh pelajar dalam peringkat permulaan untuk belajar. Pelajar biasanya akan meninggalkan beberapa perkataan dalam sesuatu ayat contohnya,
Aisah sungguh cantik hari ini.
Pelajar yang baru dalam proses awal membaca biasanya akan meninggalkan beberapa perkataan seperti perkataan sungguh dan hanya membaca Aisah cantik hari ini. Bukan hanya pada ayat yang panjang,masalah omission ini juga berlaku dalam bentuk perkataan contohnya, perkataan makan, pelajar yang baharu membaca cenderung untuk menyebut perkataan dihujung sahaja iaitu kan.
Pelajar cenderung untuk melakukan masalah mengulang bacaan beberapa kali. Masalah ini bukannya berlaku disebabkan oleh masalah gagap tetapi disebabkan oleh pelajar tersebut tidak mampu untuk meneruskan bacaan yang seterusnya atau lebih tepat belum dapat untuk membaca yang seterusnya. Pelajar biasanya akan mengulang beberapa kali petikan yang sama sehinggalah dia boleh untuk membaca petikan yang seterusnya.
Masalah bacaan gantian juga kerap berlaku dalam kalangan yang baharu hendak belajar membaca. Pelajar cenderung untuk menggantikan perkataan yang hamper sama sebutannya mungkin disebabkan oleh ketidak fahaman perbezaan makna atau mungkin juga disebabkan sudah terbiasa dengan perkataan yang diganti tersebut. Contohnya, jika seseorang pelajar itu sudah terbiasa dengan sebutan perkataan lalang, jika pelajar tersebut membaca dan menemui perkataan ladang, pelajar tersebut cenderung untuk menggantikan perkataan ladang dengan lalang.        
Masalah membaca yang lain ialah masalah bacaan tambahan. pelajar akan menambah huruf lain pada perkataan atau menambah sebarang perkataan pada ayat. Secara mudahnya,masalah tambahan ini bertentangan dengan masalah omission tadi. Jika omission, pelajar cenderung untuk mengurangkan perkataan atau ayat, tetapi masalah ini pelajar cenderung untuk menambah perkataan atau ayat. Contohnya, semasa menyebut perkataan buah, pelajar tersebut cenderung untuk menyebut sebagai buwah. Mungkin disebabkan pendengaran pelajar tersebut yang menafsir bunyi orang dewasa menyebut buah sebagai buwah. Ia adalah perkara biasa yang akan dihadapi oleh guru mahupun ibu bapa dalam mengajar pelajar yang baharu belajar membaca.
Ada sesetengah pelajar yang memterbalikkan atau dalam bahasa lain menyongsangkan perkataan atau ayat. Masalah membaca ini dikenali sebagai bacaan terbalik. Contoh mudah, jika perkataan laba yang dibaca tetapi yang disebut oleh pelajar tersebut adalah bala. Faktor ini berlaku mungkin juga disebabkan oleh keterbiasaan dalam berbahasa. Ibu bapa atau guru sering menyebut perkataan bala tetapi jarang ibu bapa atau guru menyebut perkataan laba. Laba yang merujuk keuntungan sudah semestinya jarang diucapkan terutama ibu bapa yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan. Faktor ini mungkin mempengaruhi pelajar tersebut untuk menyongsangkan perkataan yang dibaca olehnya.
Selain daripada masalah yang telah dinyatakan. Harus diingat pengalaman sedia ada pada pelajar amat penting tersebut untuk memahami sesuatu bacaan. Pengalaman sedia ada biasanya boleh melibatkan kawan,ibu bapa, orang sekeliling dan cikgu itu sendiri. Jika seseorang pelajar itu, berada dalam sebuah keluarga yang mementingkan intelek dan akademik, kebiasaannya keboleh bacaan pelajar tersebut akan lebih tinggi kerana sudah diajar oleh ibu bapa dan ahli keluarga. Tetapi jika hidup dalam keluarga yang tidak mementingkan pelajaran agak sukar untuk pelajar itu menguasai kemahiran membaca.
Selain itu,masalah penglihatan juga boleh berkait dengan masalah membaca. Sesetengah pelajar akan merasa terganggu jika melihat terlalu banyak abjad diatas kertas dan ini juga menyukarkan untuk pelajar tersebut untuk memahami sesuatu bacaan. Pembaca yang buat kali pertama  biasanya sukar untuk membiasakan diri kerana bacaan tulisan rumi bermula daripada kiri ke kanan dan ini telah bercanggah dengan kebiasaan dimana kita melihat dari kanan ke kiri. Selain itu,pelajar yang mengalami disleksia akan mengalami masalah kesukaran untuk membaca kerana kesukaran untuk mengenal huruf. Contohnya, pelajar yang mengalami disleksia sukar untuk mengenal pasti huruf b dan juga p. Kekerapan berlaku ialah pelajar ini akan menyebut p sebagai b dan sebaliknya.
Masalah pendengaran juga mempengaruhi masalah membaca. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang teruk akan menghadapai masalah kesukaran untuk membaca ( Mahzan Arshad:2008 ). Banyak kes berlaku pelajar didapati gagal untuk membaca kerana mengalami masalah pendengaran. Mereka didapati sukar untuk membezakan bunyi vokal atau konsonan yang mempunyai bunyi yang terdekat sehingga berlaku kecelaruan dalam pemahaman pembacaan. Masalah pendengaran ( selain pekak ) biasanya melibatkan tahi telinga atau sesuatu yang menyekat saluran pendengaran. Kes seperti ini perlu di rujuk kepada doktor telinga atau doktor pakar dalam bidang ini untuk menyelesaikan masalah ini. Biasanya doktor akan membuang sekatan yang berlaku di telinga pelajar tersebut. Pelajar yang mengalami masalah ini bukan sahaja sukar untuk mengenal pasti perbezaan bunyi yang terdekat bahkan pelajar yang mengalami masalah pendengaran ini biasanya akan mengalami tindak balas yang lambat. Antara ciri pelajar yang mengalami masalah ini ialah lambat menjawab soalan jika ditanya atau jawapan yang diberikan tidak seperti yang diingi oleh soalan. Masalah pendengaran sebenarnya terbahagi kepada beberapa tahap, bermula daripada tahap biasa, tahap sedarhana, tahap sedarhana teruk, tahap pekak, dan tahap paling teruk. Jika pendengaran atau auditori pada peringkat yang biasa atau sedarhana,pelajar tersebut masih boleh untuk membaca dengan baik tetapi jika sudah mencapai tahap yang teruk, pelajar tersebut akan mengalami kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca dan memerlukan khidmat doktor untuk menyelesaikan masalah pendengaran tersebut.
Faktor dalaman terpenting yang menyebabkan masalah membaca dalam kalangan pelajar ialah psikologi. Tidak dapat dinafikan dua aspek psikologi yang penting yang menyebabkan pelajar sukar untuk menguasai kemahiran literasi iaitu, kurang minat membaca dan kurang mengambil perhatian semasa didalam kelas. Kebanyakan pelajar yang belajar membaca biasanya terdiri daripada kanak-kanak kecil yang masih suka bermain. Disebabkan inilah,pemerhatian dan tumpuan mereka kepada guru yang sedang mengajar menjadi kurang dan lebih banyak menumpukan perhatian untuk bermain sesama mereka. Disebabkan perkara ini,sukar untuk murid berkenaan untuk menguasai kemahiran membaca sehingga menyebabkan pelajar kurang minat untuk membaca. Masalah ini banyak berlaku di sekolah-sekolah di Malaysia bahkan di luar negara. Masalah psikologi dalaman pelajar merupakan masalah besar yang oleh guru untuk mengajar pelajar untuk menguasai kemahiran membaca.

  Masalah Luaran
Selain masalah dalaman, masalah luaran merupakan antara penyumbang besar kepada masalah tidak boleh membaca. Beberapa faktor yang dikenal pasti tetapi yang paling utama ialah masalah pengajaran guru. Menurut kajian yang dijalankan oleh Tamam Timbang,Zamri Mahamod dan Afendi Hamad yang dimuatkan dalam jurnal pendidikan bahasa Melayu 1987,menyatakan masalah pengajaran berlaku kerana guru yang mengajar membaca itu kurang pengalaman,kaedah mengajar yang kurang berkesan dan tiada keadah khusus yang berkesan untuk mengajar membaca. Guru-guru yang mengajar membaca biasanya hanya menekankan pelajar untuk mengenal huruf. Kaedah untuk mengenal suku kata selalu lambat untuk diajarkan menyebabkan pelajar mudah bosan untuk belajar membaca. Guru sebenarnya mengalami masalah untuk mengajar membaca kerana tiada satu kaedah khusus untuk mengajar seseorang pelajar untuk membaca bahkan setiap pelajar menguasai teknik membaca melalui kaedah yang berbeza. Untuk mengatasi masalah membaca ini,seseorang guru perlu mewujudkan satu suasana pembelajaran yang aktif ( Mahzan Arshad:2003 ). Seseorang guru perlu memikirkan bagaimana cara yang kondusif pembelajaran literasi dilakukan didalam kelas seperti menggunakan peta minda atau gabungan kotak.
Selain faktor guru tersebut, faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam melahirkan seseorang yang mempunyai kemahiran membaca. Menurut ahli sosiologi,kecerdasan bukanlah sesuatu yang diwarisi tetapi kecerdasan itu bergantung kepada faktor persekitaran  ( Abdullah Sani Yahya : 2004 ). Faktor persekitaran yang memainkan peranan penting dalam pembentukan kemahiran literasi ialah guru,ibu bapa dan juga kawan-kawan. Guru sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian pelajar terutamanya semasa berada di sekolah. Jika seseorang guru itu bijak untuk mengendalikan pelajar dalam pembelajaran membaca nescaya pelajar tersebut tentu akan mudah untuk menguasai pembacaan. Seseorang guru juga perlu memastikan seseorang pelajar itu dapat menguasai kemahiran membaca semasa di tahap pra-sekolah atau selebihnya darjah satu. Keluarga juga memainkan peranan penting.Keluarga merupakan role model utama bagi anak-anak. Ibu bapa berperanan untuk mewujudkan suasana yang merangsang pembacaan anak-anak mereka ( Yahya Othman:2004 ). Malangnya di negara kita,suasana yang merangsang pembacaan dalam kalangan anak-anak biasanya hanya berlaku dalam keluarga yang mempunyai status. Keadaan kawan turut mempengaruhi pelajar dalam kemahiran membaca. Selain ibu bapa dan guru,kawan merupakan faktor yang penting dalam menentukan kebolehbacaan pelajar. Jika seseorang pelajar itu berkawan dengan kawan yang malas dan tidak tahu membaca,semestinya pelajar tersebut akan mengalami masalah membaca sebagaimana dengan kawannya. Contoh jelas dapat kita perhatikan ialah,pelajar di sekolah yang berprestij biasanya akan mudah untuk menguasai kemahiran membaca kerana persekitaran kawan yang merangsang pelajar tersebut untuk melakukan aktiviti pembacaan. Sebagai contoh lagi,sekolah orang asli mempunyai kadar buta huruf yang tinggi kerana kawan-kawan di sekolah ini kebanyakan tidak mampu untuk mengusai kemahiran literasi dengan baik.
Teks yang digunakan disekolah juga memainkan peranan untuk menarik minat pelajar untuk membaca. Jika sasaran pembaca adalah kanak-kanak,sepatutnya buku teks yang digunakan mempunyai gambar kartun yang boleh menarik minat kanak-kanak tersebut untuk membaca. Teks yang tidak mempunyai gambar sama sekali tidak akan menarik perhatian kanak-kanak untuk membaca. Teks yang menggunakan bahasa yang tinggi sehingga perlu berfikir untuk memahaminya adalah tidak sesuai untuk digunakan untuk pelajar yang baru membaca. Isi kandungan perlulah melihat kepada tahap sasaran tersebut. Melahirkan semangat ingin membaca adalah amat penting untuk seseorang pelajar mula belajar untuk  membaca.
Selain faktor yang telah disebutkan,masa pengajaran juga memainkan peranan penting. Kebanyakan sekolah misalnya,tidak berapa menitik beratkan masalah ini sehingga menyebabkan pelajar tidak mencukupi masa untuk belajar membaca. Sepatutnya,masa untuk belajar membaca perlu ditekankan dan dilanjutkan masanya kerana jika seorang pelajar tidak mampu untuk menguasai kemahiran membaca semestinya akan mendatangkan kesan yang buruk kepada dirinya dimasa depan seperti tidak akan lulus peperiksaan sehingga boleh menjejaskan masa depan pelajar tersebut. Oleh itu,pihak sekolah terutamanya perlu melihat masa pengajaran membaca ini sebagai isu penting sehingga menyebabkan masalah membaca berlaku kepada pelajar di sekolahnya. 

Tiada ulasan:

The Live Stream plugin lets your users share activity and comments in real-time as they interact during a live event.

13.1.10

free counters