Pengikut

Ahad, April 17, 2011

Ekonomi Asia Tenggara Selepas Kemasukan Barat


Mata wang Belanda


Barat telah memperkenalkan sistem ekonomi yang jauh berlainan daripada yang diamalkan oleh penduduk asal Asia Tenggara.  Mereka membawakan satu konsep perekonomian yang baru dalam pelbagai bidang samada perbankan,pertanian,kerahan tenaga,monopoli dan sebagainya. Dasar perekonomian yang diamalkan oleh setiap penjajah adalah berbeza. British mengamalkan sistem perekonomian yang agak liberal dan tidak menekan kepada rakyat untuk menjaga kekuasaannya lebih lama namun Belanda dan Sepanyol pula mengamalkan sistem perekonomian yang menekan penduduk setempat.
    Di Jawa yang merupakan negara kepada jajahan Belanda,dasar ekonomi yang menekan telah diamalkan apabila penduduk dipaksa untuk berkhidmat bagi mengisi kantung kerajaan Belanda yang kosong pada masa itu kerana menghadapi perang Belgium dan Perang Jawa yang hebat berlaku. Dasar yang diamalkan oleh Raffles sewaktu mentadbir Jawa telah dianggap sebagai tidak sesuai kerana dikatakan mengurangkan pendapatan kolonial.Sebagai langkah untuk memonopoli ekonomi Indonesia,sebuah syarikat telah diwujudkan iaitu Nederlandse Handel Maatschappij ( N.H.M ) yang ditugaskan untuk menjalankan urusan eksport dan import kerajaan Belanda. Selain itu,Belanda juga telah menubuhkan sebuah bank yang diberi nama sebagai bank Jawa yang mana sebahagian besar modalnya daripada kerajaan Belanda sendiri. Raja William telah melantik Johanes Van De Bosch untuk menjawat jawatan sebagai Gabenor Jeneral untuk memikirkan cara untuk mengeksploitasi kerajinan penduduk Jawa bagi mengisi kewangan Belanda yang sedia teruk itu. Untuk meningkatkan lagi pengeluaran hasil,kerajaan Belanda telah memperkenalkan sistem kuntur yang mana selama ini tidak pernah berlaku dalam sistem ekonomi tradisional masyarakat tempatan. Penduduk Jawa dikehendaki untuk menyediakan 20% daripada tanah mereka untuk menanam tanaman eksport untuk dibeli oleh Belanda dengan harga yang murah. Bagi mereka yang tidak mempunyai tanah mereka dikehendaki untuk bekerja dengan Belanda selama 75 hari dalam setahun atau menyamai 20% daripada 365 hari. Kedatangan penjajah Belanda telah membawa perubahan kepada sistem ekonomi masyarakat Jawa.
    Sistem kuntur atau tanaman paksa telah dilaksanakan di Jawa. Sistem pemaksaan ini telah diperkenalkan oleh Gabenor Van Den Bosch pada 1830,yang mengusahakan tanaman kopi,tebu,tembakau dan juga rempah. Tanaman yang ditanam ini semuanya dibolot oleh Belanda sehingga mampu memulihkan ekonomi Belanda sehingga tahun 1877. Orang Cina yang bersekongkol dengan bangsa Belanda turut menikmati keuntungan tersebut tetapi yang menanggung seksa adalah penduduk Jawa itu sendiri yang dikerah sebagai buruh. Dasar tanaman yang tidak berkeperimanusiaan ini telah dikecam oleh golongan liberal di Belanda sehingga tergubal satu undang-undang pada 1848 dimana segala aktiviti tanah jajahan perlu dilaporkan kepada parlimen. Laporan yang diterima telah menyedarkan rakyat Belanda terutamanya golongan liberal mengenai keburukan sistem Kultur ini dimana sepanjang perjalanan sistem ini,Belanda telah berjaya mengaut keuntungan sebanyak 837 juta guilders tetapi kekayaan ini tidak dinikmati oleh rakyat Indonesia.
    Selepas kecaman yang diterima di parlimen memaksa Belanda mengubah sistem ekonominya secara beransur-ansur. Sistem Kultur telah berubah menjadi sistem ekonomi terbuka dimana perdagangan bebas telah dibuka. Dasar liberal yang dilaksanakan ini telah membuka peluang kepada pelabur Belanda untuk melakukan pelaburan. Belanda juga telah menggubal satu undang-undang iaitu undang-undang pertanian 1870 dimana para pengusaha dibenarkan untuk memajak tanah diseluruh kawasan Indonesia. Tanaman tebu secara besaran telah dihentikan pada 1890 dan tanaman kopi pada 1917. Walaupun dasar liberal dilaksanakan namun Belanda masih berhasrat untuk memonopoli ekonomi Indonesia dengan mewujudkan sebuah syarikat iaitu Syarikat Kapal Dagang Diraja.
    Dasar Liberal telah diperkenalkan untuk menjaga kebajikan penduduk pada masa itu namun dasar ini gagal sama sekali. Pemodal-pemodal eropah telah bertindak mengeksploitasi ekonomi Indonesia dan mengabaikan kebajikan penduduk. Dalam dasar ini,peladang Indonesia tidak mampu untuk bersaing dengan pengusaha eropah yang mempunyai modal yang tebal. Mereka telah menjual tanah mereka dan bekerja makan gaji dengan pengusaha eropah. Selepas kegagalan Dasar Liberal ini,satu lagi dasar telah diperkenalkan iaitu Dasar Etika dan Dasar Susila. Dasar ini telah membawa kemajuan kepada penduduk tempatan daripada pelbagai sudut ekonomi.
    Burma atau Myammar sekarang ini merupakan sebuah negara jajahan British selepas berlaku 3 kali peperangan diantara dua kuasa tersebut. Perang pertama menyaksikan British berjaya menawan kawasan selatan Burma,Perang yang kedua British berjaya menawan kawasan tengah Burma dan perang yang terakhir menyaksikan British berjaya menguasai sepenuhnya Burma. British mengatakan bahawa peperangan yang dilakukan ketas Burma adalah kerana ingin melindungi kawasan British di sempadan India namun Burma pula menganggap bahawa peperangan dengan British kerana monopoli yang dilakukan oleh kerabat diraja Burma keatas sumber ekonomi Burma menyebabkan British tidak mampu untuk menambah keuntungannya di Burma. British yang pada masa itu menjajah India telah menggalakkan kemasukan saudagar dari India sehingga menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada sektor ekonomi masyarakat Burma. Bagi menghalang British menguasai ekonomi Burma,kerajaan Burma pada masa itu cuba untuk bantuan pihak ketiga namun usaha yang dilakukan ini telah menyebabkan tindakan keras oleh British.
    Penindasan kerajaan Vietnam keatas umat Kristian Vietnam yang diKristiankan oleh Perancis menyebabkan tindakan Perancis menawan negara tersebut. Dari segi ekonomi,Vietnam merupakan negara yang kaya dengan kapas,sutera,gula dan juga hasil kayuan. Bagi merancakkan pembangunan ekonomi dan infrastuktur, buruh-buruh dari China dan India dibawa masuk untuk membina jalan keretapi dan juga sekolah. Kejayaan penaklukan keatas Vietnam telah membuka satu lagi peluang kepada Perancis untuk terus menakluk Kemboja dan juga Laos. Ekonomi dinegara jajahan itu telah dieksploitasi untuk kepentingan saudagar mereka.
    Penguasaan Sepanyol di Filifina telah menyebabkan ekonomi Filifina sukar untuk berkembang kerana dasar tutup pintu yang diamalkan oleh Sepanyol dari abad ke 16 hingga abad ke 19. Sepanyol mengamalkan dasar yang tegas terhadap pedagang asing. Pada 1800,pedagang ini telah dilarang daripada menduduki Filifina. Untuk mengukuhkan kedudukan ekonominya, pada 1828,pengistiharan telah dikeluarkan dimana orang asing dilarang daripada menceburkan diri dalam perdagangan runcit dan mengunjungi mana-mana wilayah Sepanyol. Mereka mentakrifkan orang asing sebagai musuh tuhan dan musuh kepada Sepanyol. Walaupun pelbagai undang-undang digubal untuk menghalang kemasukan pedagang asing ini namun tetap berlaku kemasukan perdagangan ke Manila secara beransur-ansur apabila ekonomi dibuka kepada perdagangan asing pada 1834. Amerika dan British telah masuk untuk mengaut keuntungan di Filifina dan dalam pertandingan ini,British lebih banyak membolot ekonomi Filifina kerana pada masa itu British telah memiliki sistem perbankan di beberapa negara jajahannya seperti Hong Kong, Singapura dan juga India.

    Di Filifina,Sepanyol telah memperkenalkan beberapa dasar yang dikira merugikan penduduk iaitu Sistem Polo,Sistem Vandala dan Sistem Ecomienda. Sistem Polo menuntut semua rakyat Filifina yang berumur antara 18-60 tahun untuk bekerja dengan Sepanyol selama 40 hari dengan hanya dibayar gaji yang kecil bahkan sesetengah kes tidak dibayar. Sistem Vandala lebih kepada sistem cukai dimana rakyat Filipina dipaksa untuk menyerahkan barang-barang tertentu kepada kerajaan dan dibayar dengan wang kertas yang tidak mempunyai nilai. Sistem Encomienda memaksa penduduk untuk membayar cukai sebanyak antara 1 peso hingga 9 peso.

Kedatangan Barat ke Asia Tenggara


Pengeran Diponegoro


Selepas berlakunya revolusi pertanian dan juga revolusi perindustrian dibarat didapati sumber-sumber bahan mentah adalah tidak mencukupi. Oleh itu mereka mula menjelajah kedunia luar untuk mencari bahan mentah tersebut selain mencari pasaran untuk memasarkan barangan mereka. Disebabkan itu,penjajahan barat menjadi lebih cepat. Selain revolusi perindustrian,revolusi politik yan berlaku dibarat juga telah menyebabkan kemasukan barat ke Asia Tenggara. Pada zaman feudal,masyarakat eropah dikuasai oleh golongan raja dan juga golongan aristokrat yang banyak berpengaruh keatas kehidupan masyarakat awam kerana memiliki tanah yang disewakan kepada rakyat bawahan. Namun selepas berlakunya perkembangan bandar telah melahirkan golongan Berjouis atau kelas menengah. Mereka ini bergiat dalam bidang ekonomi sehingga kekayaan yang dimiliki mampu menyaingi golongan aristokrat. Pada awalnya,tuntutan golongan ini untuk terlibat dalam politik tidak dilayan namun selepas peranan ekonomi yang dimainkan oleh golongan ini mampu meningkatkan lagi harta raja maka golongan ini telah diberi kuasa politik sedikit demi sedikit. Dari sinilah juga lahirkan kesedaran untuk mencari tanah jajahan baru untuk memasarkan hasil keluaran mereka.
    Antara negara-negara yang pernah melakukan penjajahan di Asia Tenggara ialah Belanda,Amerika Syarikat,Portugis,British dan Sepanyol. Belanda menguasai kawasan kepualaun Indonesia yang berpusat dikawasan Jawa dan juga memiliki Melaka sehingga termeterainya perjanjian Inggeris Belanda yang memisahkan kawasan pengaruh antara mereka. Belanda telah ditakluk oleh Perancis pada 1795 sehingga rajanya telah melarikan diri ke Britain dan tanah jajahan Belanda di kawasan Asia Tenggara telah dikuasai oleh British melalui surat kew. Dan tanah jajahan Belanda dikembalikan semula selepas perang Nepoleon tamat.
    Penjajahan barat sering dikatakan sebagai untuk Glory,Gold,Gospel mahupun White Man Burden sedangkan jika dilihat secara halus kedatangan mereka bukanlah untuk tujuan itu melainkan semata-mata propaganda mereka untuk menyakinkan masyarakat dengan tugas murni mereka. Sebetulnya mereka telah banyak menkristiankan masyarakat terutama penjajah Perancis dan Sepanyol namun itu semua adalah untuk menjadikan masyarakat yang dijajah tersebut untuk taat kepada mereka dan merasakan mereka sebahagian daripada penjajah itu sendiri sekkaligus dapat mengurangkan risiko pemberontakan. Sepanyol telah melaksanakan dasar kejam dengan memaksa penduduk Filipina untuk masuk agama Kristian sehinggakan kawasan penduduk Islam telah masuk ke agama Kristian terutamanya di kawasan Cebu dan Manila bahkan mereka juga telah berjaya memeurtadkan seorang raja Sulu dan raja tersebut telah digulingkan. Walaupun penduduk telah dipaksa untuk masuk kristian namun setelah beberapa generasi mereka akan serasi dengan agama tersebut dan merasakan mereka sebahagian daripada agama tersebut dan mahu menjadi sebahagian daripada negara Sepanyol. Kedatangan mereka antara lain adalah disebabkan ekonomi dan untuk menunjukkan kuasa mereka. Bukti mereka bukannya ingin menyebarkan agama Kristian secara bersungguh ialah Sepanyol tidak pernah untuk berusaha memajukan masyarakat Filipina tetapi terus membiarkan masyarakat Filipina terus mundur untuk mengekalkan kuasa mereka dan memudahkan mereka mengeksploitasi masyarakat Filipina.
    Ekonomi telah memainkan peranan yang penting selain daripada masalah agama dalam jelajah penjajahan masyarakat barat. Namun yang lebih ketara diantara dua ini ialah masalah ekonomi. Masyarakat eropah pada masa itu dalam proses kebangkitan selepas mengalami 1000 tahun zaman kegelapan. Mereka bangkit untuk mendapatkan tanah jajahan dan berusahan  untuk menunjukkan bangsa mana yang lebih kuat dalam kalangan masyarakat eropah. Untuk membekal peralatan perang untuk tentera mereka sudah tentulah ekonomi amat penting. Pasaran dan bahan mentah dieropah adalah terhad dan kawasan di Asia Tenggara merupakan antara kawasan yang banyak memiliki bahan mentah dan juga pasaran untuk barangan mereka. Bahan mentah dan kekayaan diangkut ke negara barat untuk industri pembuatan dan juga industri persenjataan yang mana perang dinegara eropah pada masa itu belum berhenti.
    Kedatangan barat ke kawasan Asia Tenggara menjurus kepada kepentingan mereka bukannya kerana tugas dan bebanan yang terpaksa mereka pikul untuk mentamadunkan masyarakat Asia Tenggara pada waktu itu. Penindasan keatas penduduk sudah menunjukkan bahawa kedatangan masyarakat eropah bukannya kerana faktor “White Man Burden”.



Pengenalan Asia Tenggara

Peta Kuno Asia Tenggara
Asia Tenggara adalah merujuk kepada negara-negara yang terletak diantara tamadun China dan juga tamadun India. Ia terdiri daripada negara kebenuaan dan juga negara kepulauan. Negara kebenuaan terletak daripada Siam ( Thai ) dan keutara yang meliputi negara Burma,Laos,Kemboja,dan Vietnam manakala negara kepulauan ialah negara yang berada di kawasan selatan daripada Siam iaitu Malaysia,Brunei,Indonesia dan yang terbaru Timur Leste. Perkataan Asia Tenggara adalah perkataan yang baru diguna pakai. Ia mula berkembang selepas K.M.Pannikar menggunakan istilah Asia Tenggara dalam bukunya Future of Southeast Asia pada 1943 untuk merujuk benua yang terletak diantara dua tamadun itu. Walaupun terkandung dalam kelompok wilayah yang sama namun setiap negara mempunyai bahasa dan kebudayaan yang tersendiri dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Namun ciri kesamaan yang terdapat antara negara-negara di Asia Tenggara ialah pernah menerima pengaruh Hindu dan merupakan pengaruh yang dominan di rantau ini. Walaupun begitu,hanya Vietnam sahaja yang menjadikan pengaruh China sebagai dominan. Perkataan Indo-China pula merujuk kepada kawasan yang menerima pengaruh tamadun India dan juga tamadun China. Namun sejak abad ke-16,kawasan-kawasan di Asia Tenggara mula menerima pengaruh barat apabila berada dalam pentadbiran barat kecuali Siam yang masih dalam pengaruhnya sendiri tetapi tetap menerima pengaruh barat dalam sistem pentadbirannya bagi mengelakkan daripada dijajah oleh kuasa barat.
The Live Stream plugin lets your users share activity and comments in real-time as they interact during a live event.

13.1.10

free counters