Pengikut

Ahad, April 22, 2012

Puteri Hang Li Po - Realiti @ Fantasi


Gambaran Puteri Li Po

Kisah Puteri Hang Lipo merupakah kisah yang sinonim dengan masyarakat Malaysia sekarang ini. Boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia tahu akan kisah Puteri Hang Lipo ini atau sekurang-kurangnya pernah mendengar nama puteri tersebut disebutkan. Cikgu-cikgu disekolah sering menyebutkan kisah ini di sekolah begitulah juga diakhbar-akhbar arus perdana di negara ini. Semasa Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan China sekitar tahun 1970 semasa zaman pemerintahan Tun Razak, kisah Puteri Hang Lipo sering diulang-ulang untuk menunjukkan bahawa kedua-dua negara ini pernah mempunyai hubungan akrab semasa pemerintahan dinasti Ming dan juga Kerajaan Melaka dibawah Sultan Mansur Syah. Bahkan suatu masa dahulu pernah dilakonkan di TV1 kisah Puteri Hang Lipo ini.  Sumber utama mengenai Puteri Hang Li Po ialah Sejarah Melayu itu sendiri.
Dalam kisah tersebut, Puteri Hang Lipo dikatakan telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang panglima China sehingga kepada hubungan terlarang. Maharaja China pada masa itu, telah menjatuhkan hukuman mati kepada mereka berdua ini, dan telah melantik seorang dayang kepada Puteri Hang Lipo yang beragama Islam bagi menggantikan tempat Puteri Hang Lipo yang akan dikahwinkan dengan Sultan Melaka. Di Malaysia sendiri, banyak pertikaian dilahirkan oleh masyarakat, ada yang berpendapat Puteri Hang Lipo merupakan puteri sebenar maharaja China dan sebahagian lagi percaya itu hanyalah dayang kepada puteri tersebut kerana mengandaikan bahawa mustahil maharaja akan mengahwinkan puteri baginda dengan Sultan Melaka. Peristiwa perkahwinan dayang dengan kerajaan luar pernah berlaku semasa pemerintahan Maharaja Terakhir dinasti Song apabila baginda mengahwinkan dayang puteri baginda dengan putera orang Mongol bagi mengelakkan serangan Mongol, itupun dilakukan selepas diberi gelaran puteri kepada dayang tersebut. Memberi gelaran kepada diraja kepada orang bukan keturunan diraja bukanlah sesuatu yang pelik kerana Houyan pernah memberi gelaran putera kepada seorang rakyat yang dating daripada negara musuhnya.
Benarkah Puteri Hang Lipo Dikahwinkan ke Melaka?
Satu persoalan yang mungkin bermain di minda masyarakat ialah benarkah peristiwa Puteri Hang Lipo ini berlaku. Dalam sejarah Melayu telah menyebut tentang Puteri Hang Lipo..
“Maka Titah raja Raja China pada Tun Perpatih Putih:. “Suruhlah anakku Raja Melaka menghadap aku kemari, supaya anakku raja Melaka menghadap aku kemari supaya aku dudukkan dengan anakku puteri Hang Li Po”. Maka Sembah Tun Perpatih Putih:” Tuanku ,akan paduka anakanda raja Melaka, tidak dapat meninggalkan negeri Melaka kerana negeri Melaka permusuhan: Jikalau Tuanku hendak menganugerahkan paduka anakanda itu, marilah patik bawa. InsyaAllah Taala selamat sampai ke Melaka”. Maka Raja China pun memberi titah  pada Li Po , menyuruh berlengkap akan menghantar anakanda baginda ke Melaka seratus buah pilu, seorang menteri besar akan panglimanya, Di Po namanya. Setelah sudah berlengkap maka dipilih oleh raja China anak para menteri yang baik-baik parasnya lima ratus banyaknya diberikan akan dayang-dayang anakanda baginda. Telah itu,maka Tuan Puteri Hang Li Po dan surat itupun diarak orang ke perahu, maka Tun Perpatih Putih dengan Di Po belayarlah ke Melaka membawa tuan puteri anak raja China itu. Ada beberapa lamanya dijalan maka sampailah ke Melaka,maka dipersembahkan oranglah kepada Sultan Mansor Syah mengatakan Tun Perpatih Putih datang membawa puteri China. Maka baginda pun terlalu sukacita mendegarnya, Maka baginda berangkat sendiri mengalukan –alukan had Pulau Sebat. Setelah bertemu, maka seribu kebesaran dan kemulian dibawa masuk , lalu dalam istana. Maka Sultan Mansor Syah pun hairanlah melihat paras tuan puteri anak raja China itu. Maka disambut baginda puteri Hang Lipo itu, disuruh masuk Islam. Telah sudah Islam, maka Sultan Mansor Syah pun berkahwin dengan puteri hang Li Po itu, beranak seorang laki-laki dinamai Paduka mimat,ia beranakkan Paduka Seri China , ayah paduka Ahmad, ayah paduka Isap. Maka segala anak menteri China yang lima ratus disuruh baginda Islamkan, disuruh diam di Bukit China. Maka sampai sekarang bukit itu disebut bukit China. Oa telah menggali perigi di Bukit China itu dan anak cucu orang itulah dinamai biduanda China. Maka Sultan Mansor Syah pun memberi persalinan akan Di Po dan segala menteri China yang membawa anak Raja China itu”.
Tulisan Sejarah Melayu ini telah dijadikan dalil bahawa memang wujud hubungan perkahwinan diraja tersebut dan ia seolah-olah telah menjadi fakta sejarah yang dipegang oleh semua orang di Malaysia tanpa mengira kaum Cina ataupun kaum Melayu. Sesetengah sarjana sendiri tidak menerima Sejarah Melayu sebagai sumber sejarah kerana banyak mengandungi mitos dan cerita rekaan. Lagi pula sejarah Melayu ditulis oleh Tun Seri Lanang yang jarak masa dengan peristiwa tersebut lebih kurang 200 tahun.
Seorang penyelidik yang bernama Kong Yuanzi pula mempertikaikan tentang perkahwinan ini dengan mengemuka beberapa bukti. Lebih menarik mengenai isu ini ialah perkahwinan ini tiada dalam rekod Dinasti Ming sedangkan rekod lain mengenai Melaka dicatat secara terperinci. Jadi berlaku persoalan disini samaada benar atau tidak perkahwinan itu berlaku. Ada sebahagian pula yang berpendapat, Puteri Hang Lipo telah dihantar ke Melaka oleh Zheng He/ Cheng Ho. Namun persoalan asal yang bermain diminda saya ialah bagaimana sesuatu peristiwa penting dalam sejarah China ini tidak ditulis sedangkan beberapa perkahwinan diraja telah ditulis dalma rekod China seperti perkahwinan dengan Xiong Nu dan Tibet mempunyai rekod yang jelas. China adalah sebuah negara yang mementingkan sejarah dan rekod. Maharaja itu sendiri dikatakan mempunyai dua orang yang akan merekod sejarahnya iaitu seorang akan menulis perlakuan raja dan seorang pula akan menulis percakapan raja. Jadi jika ahli sejarah kerajaan China tidak menulisnya nescaya tukang tulis Maharaja ini akan menulisnya. Tetapi perkara itu tidak wujud sama sekali. Ia samalah dengan catatan yang mengatakan Maharaja China menghantar 7 kapal yang berisi jarum yang mana setiap jarum itu mewakili seorang rakyatnya manakala Raja Melaka menghantar 7 biji kapal yang penuh dengan muatan sagu dimana setiap biji sagu tersebut mewakili setiap orang rakyat Melaka, rekod ini tidak wujud di China.
Sejarah Melayu menyatakan secara jelas bahawa Di Po merupakan orang yang bertanggungjawab menghantar Hang Li Po ke Melaka sedangkan dalam beberapa catatan pula menyatakan bahawa yang menghantarnya adalah Zheng He. Jika fakta ini menyebut bahawa Zheng He/ Cheng Ho yang menghantarnya maka ia adalah satu rekaan yang dilakukan oleh masyarakat pada waktu itu. Buktinya, Cheng Ho telah meninggal 20 tahun lebih awal daripada masa Sultan Mansor naik takhtha. Bagaimana orang yang mati boleh bangkit semula dan menjalankan urusan kerajaan ini. Keduanya, pengikut Cheng Ho dalam pelayaran itu seperti Ma Huan , Feng Xin dan Gong Zhen tidak menyebut mengenai puteri Hang Lipo?.
Berdasarkan ini, pada saya beberapa ksimpulan dapat dibuat , bahawa puteri Hang Lipo ini memang tidak wujud dan ceritanya sengaja diada-adakan. Kemungkinan juga puteri China yang dimaksudkan itu ialah anak orang Cina yang sebenarnya bukan berasal daripada keluarga diraja China. Purcell seorang pelajar Portugis menyatakan bahawa Sultan Iskandar Syah yang merupakan raja kedua Melaka pernah berkahwin dengan seorang cina anak kapten kapal.  Jadi ini adalah sesuatu kemungkinan yang berlaku kerana ketiadaan rekod China mengenai hal perkahwinan ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.. Apapun terserah kepada pembaca untuk menyokong atau menentang pendapat yang saya kemukakan. 

2 ulasan:

ninotaziz berkata...

Assalam Admin
Sila mohon keizinan menggunakan ilustrasi saya dari buku saya HIKAYAT : FROM THE ANCIENT MAKAY KINGDOMS. Terimakasih.

Tanpa Nama berkata...

Hang Li Po tu lelaki lah, seorang menteri dari China yg membawa rombongan Puteri China. Takkan Sultan kahwin dengan seorang lelaki. Makam di Bukit Cina tu masih kekal ciri-ciri Jirat Cina sampai sekarang. Klu x percaya pergi tgk makam Bukit Cina di Melaka. Sebab itu lah nama Hang Li Po tdk tersenarai dalam susurgalur kerabat Maharaja China. Baca betul-betul Salatus Salatin.
Puteri China yang kahwin dengan Sultan Melaka adalah bernama Puteri Hang Liu. Baca betul-betul Salatus Salatin. Ramai pengkaji sejarah miss pasal ni.

The Live Stream plugin lets your users share activity and comments in real-time as they interact during a live event.

13.1.10

free counters