Gambar Hiasan |
Membaca
merupakan amalan yang mulia yang amat dituntut di dalam Islam. Bahkan wahyu
pertama didalam Islam ialah iqra’ yang bererti bacalah. Di dunia moden
kini,kita terpaksa mengakui bahawa membaca sudah menjadi sesuatu yang
keperluan. Tanpa kemahiran membaca,kita tidak akan mampu untuk pergi lebih jauh
dan maju dalam kehidupan. John Everatt dalam bukunya Membaca dan Disleksia (
2008:1 ) telah mendefinisikan membaca sebagai pentafsiran perkataan dan
pemahaman bahasa. Manakala Yusof Othman dalam bukunya Mengajar Membaca : Teori
dan Aplikasi:Panduan Meningkatkan Kemahiran ( 2004:159 ), telah mendefinisikan
membaca sebagai proses mengecam,membuat interpretasi,membuat persepsi keatas
bahan bercetak atau bertulis. Membaca ialah proses penguasaan terhadap konseo
huruf,penguasaan perbendaharaan kata dan tumpuan ( Mohd Sharani Ahmad dan
Zainal Madon:2003 ). Kebanyakan pakar dalam bidang bidang membaca memberikan
makna membaca yang agak sama yang membezakannya hanyalah susunan ayat. Secara
ringkasnya,membaca ialah satu proses untuk mentafsirkan lambang-lambang kedalam
bentuk pemahaman berbahasa. Walaupun makna membaca begitu mudah diberikan,kita
terpaksa menerima hakikat bahawa negara kita mempunyai tahap buta huruf yang
agak tinggi berbanding dengan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh pihak
kerajaan.Tidak ada umur tertentu untuk mengajarkan anak-anak membaca namun ada
sesetengah pakar sosiologi tidak menggalakkan belajar membaca pada umur yang
terlalu muda kerana dibimbangi akan menyebabkan proses pembesaran akan
terganggu. Umur yang sesuai untuk diajarkan membaca dalam lingkungan lima
hingga enam tahun.Perlu diketahui.masalah membaca sebenarnya berpunca daripada
banyak faktor tetapi masalah besar boleh diklasifikasikan sebagai masalah
dalaman dan masalah luaran. Dalam tugasan ini,kami akan menjelaskan punca-punca
dalaman dan luaran yang menyebabkan seseorang itu menghadapai masalah kesukaran
untuk membaca yang sekaligus akan merugikan negara daripada segi ekonomi,sosial
mahupun politik.
Masalah
membaca biasanya banyak berkait dengan masalah dalaman diri sendiri berbanding
dengan masalah luaran. Masalah membaca daripada aspek dalaman ini boleh berlaku
disebabkan masalah kognitif dan juga intelek seseorang itu sendiri. Menurut tokoh
membaca yang terkenal,Marohaini Yusoff ( 1999 ), masalah intelek meliputi
kecerdasan, keboleh bahasaan dan pengalaman yang sudah sedia ada. Kecerdasan
merupakan aspek penting yang diperlukan untuk membaca. Bagi kanak-kanak yang
mengalami masalah mental seperti terencat akal, sindrom down pastinya tahap
keboleh bacaan dalam kalangan mereka pastinya rendah. Oleh itu, kecerdasan
mental amat penting dalam menjalani proses membaca. Kecerdasan mental contohnya membolehkan seseorang
pelajar mudah untuk mengingati sesuatu yang diajarkan oleh guru. Tanpa perlu
mengulang beberapa kali,pelajar yang mempunyai kecerdasan pasti akan dapat
untuk mengikuti apa yang diajarkan oleh guru. Contohnya, untuk memahami
struktur ayat yang sukar,semestinya agak sukar untuk pelajar yang kurang
kecerdasan untuk memahami struktur ayat tersebut. Kecerdasan mental biasanya
berkait dengan keboleh bahasaan terutama untuk memahami struktur ayat sesuatu
bahasa. Masalah biasa bagi pelajar yang kurang cerdas ialah masalah untuk
mengenal 26 huruf abjad yang terdapat dalam ejaan rumi.,
Masalah
untuk mengenal huruf merupakan masalah besar dan masalah paling asas dalam
kemahiran membaca. Sesetengah pelajar begitu sukar untuk mengenali 26 huruf
abjad rumi dan 28 huruf abjad jawi. Walaupun setiap hari diajar,sesetengah
pelajar amat sukar untuk mengenali huruf apatah lagi untuk membaca suku kata-
suku kata dalam bahasa Melayu. Masalah untuk mengenal huruf ini biasanya akan
menjurus kepada kesalahan sebutan sesuatu perkataan atau ayat.
Dalam
proses pembelajaran membaca, beberapa masalah membaca kerap dilakukan oleh
pelajar iaitu, omission, bacaan songsang, bacaan ulangan, bacaan gantian,
bacaan tambahan, tidak kenal huruf dan salah sebutan. Masalah omission atau
bacaan tinggalan sering dilakukan oleh pelajar dalam peringkat permulaan untuk
belajar. Pelajar biasanya akan meninggalkan beberapa perkataan dalam sesuatu
ayat contohnya,
Aisah
sungguh cantik hari ini.
Pelajar
yang baru dalam proses awal membaca biasanya akan meninggalkan beberapa
perkataan seperti perkataan sungguh dan hanya membaca Aisah
cantik hari ini. Bukan hanya pada ayat yang panjang,masalah omission
ini juga berlaku dalam bentuk perkataan contohnya, perkataan makan,
pelajar yang baharu membaca cenderung untuk menyebut perkataan dihujung sahaja
iaitu kan.
Pelajar
cenderung untuk melakukan masalah mengulang bacaan beberapa kali. Masalah ini
bukannya berlaku disebabkan oleh masalah gagap tetapi disebabkan oleh pelajar
tersebut tidak mampu untuk meneruskan bacaan yang seterusnya atau lebih tepat
belum dapat untuk membaca yang seterusnya. Pelajar biasanya akan mengulang
beberapa kali petikan yang sama sehinggalah dia boleh untuk membaca petikan
yang seterusnya.
Masalah
bacaan gantian juga kerap berlaku dalam kalangan yang baharu hendak belajar
membaca. Pelajar cenderung untuk menggantikan perkataan yang hamper sama
sebutannya mungkin disebabkan oleh ketidak fahaman perbezaan makna atau mungkin
juga disebabkan sudah terbiasa dengan perkataan yang diganti tersebut.
Contohnya, jika seseorang pelajar itu sudah terbiasa dengan sebutan perkataan lalang,
jika pelajar tersebut membaca dan menemui perkataan ladang, pelajar tersebut
cenderung untuk menggantikan perkataan ladang dengan lalang.
Masalah
membaca yang lain ialah masalah bacaan tambahan. pelajar akan menambah huruf
lain pada perkataan atau menambah sebarang perkataan pada ayat. Secara
mudahnya,masalah tambahan ini bertentangan dengan masalah omission tadi. Jika
omission, pelajar cenderung untuk mengurangkan perkataan atau ayat, tetapi masalah
ini pelajar cenderung untuk menambah perkataan atau ayat. Contohnya, semasa
menyebut perkataan buah, pelajar tersebut cenderung untuk menyebut sebagai buwah.
Mungkin disebabkan pendengaran pelajar tersebut yang menafsir bunyi orang
dewasa menyebut buah sebagai buwah.
Ia adalah perkara biasa yang akan dihadapi oleh guru mahupun ibu bapa dalam
mengajar pelajar yang baharu belajar membaca.
Ada
sesetengah pelajar yang memterbalikkan atau dalam bahasa lain menyongsangkan
perkataan atau ayat. Masalah membaca ini dikenali sebagai bacaan terbalik.
Contoh mudah, jika perkataan laba yang dibaca tetapi yang disebut
oleh pelajar tersebut adalah bala. Faktor ini berlaku mungkin
juga disebabkan oleh keterbiasaan dalam berbahasa. Ibu bapa atau guru sering
menyebut perkataan bala tetapi jarang ibu bapa atau guru menyebut perkataan laba.
Laba yang merujuk keuntungan sudah semestinya jarang diucapkan terutama
ibu bapa yang tidak mempunyai latar belakang perniagaan. Faktor ini mungkin
mempengaruhi pelajar tersebut untuk menyongsangkan perkataan yang dibaca
olehnya.
Selain
daripada masalah yang telah dinyatakan. Harus diingat pengalaman sedia ada pada
pelajar amat penting tersebut untuk memahami sesuatu bacaan. Pengalaman sedia
ada biasanya boleh melibatkan kawan,ibu bapa, orang sekeliling dan cikgu itu
sendiri. Jika seseorang pelajar itu, berada dalam sebuah keluarga yang
mementingkan intelek dan akademik, kebiasaannya keboleh bacaan pelajar tersebut
akan lebih tinggi kerana sudah diajar oleh ibu bapa dan ahli keluarga. Tetapi
jika hidup dalam keluarga yang tidak mementingkan pelajaran agak sukar untuk
pelajar itu menguasai kemahiran membaca.
Selain
itu,masalah penglihatan juga boleh berkait dengan masalah membaca. Sesetengah
pelajar akan merasa terganggu jika melihat terlalu banyak abjad diatas kertas
dan ini juga menyukarkan untuk pelajar tersebut untuk memahami sesuatu bacaan.
Pembaca yang buat kali pertama biasanya
sukar untuk membiasakan diri kerana bacaan tulisan rumi bermula daripada kiri
ke kanan dan ini telah bercanggah dengan kebiasaan dimana kita melihat dari
kanan ke kiri. Selain itu,pelajar yang mengalami disleksia akan mengalami
masalah kesukaran untuk membaca kerana kesukaran untuk mengenal huruf.
Contohnya, pelajar yang mengalami disleksia sukar untuk mengenal pasti huruf b dan juga p. Kekerapan berlaku ialah pelajar ini akan menyebut p sebagai b dan sebaliknya.
Masalah
pendengaran juga mempengaruhi masalah membaca. Pelajar yang mempunyai masalah
pendengaran yang teruk akan menghadapai masalah kesukaran untuk membaca (
Mahzan Arshad:2008 ). Banyak kes berlaku pelajar didapati gagal untuk membaca
kerana mengalami masalah pendengaran. Mereka didapati sukar untuk membezakan
bunyi vokal atau konsonan yang mempunyai bunyi yang terdekat sehingga berlaku
kecelaruan dalam pemahaman pembacaan. Masalah pendengaran ( selain pekak )
biasanya melibatkan tahi telinga atau sesuatu yang menyekat saluran
pendengaran. Kes seperti ini perlu di rujuk kepada doktor telinga atau doktor
pakar dalam bidang ini untuk menyelesaikan masalah ini. Biasanya doktor akan
membuang sekatan yang berlaku di telinga pelajar tersebut. Pelajar yang
mengalami masalah ini bukan sahaja sukar untuk mengenal pasti perbezaan bunyi
yang terdekat bahkan pelajar yang mengalami masalah pendengaran ini biasanya akan
mengalami tindak balas yang lambat. Antara ciri pelajar yang mengalami masalah
ini ialah lambat menjawab soalan jika ditanya atau jawapan yang diberikan tidak
seperti yang diingi oleh soalan. Masalah pendengaran sebenarnya terbahagi
kepada beberapa tahap, bermula daripada tahap biasa, tahap sedarhana, tahap
sedarhana teruk, tahap pekak, dan tahap paling teruk. Jika pendengaran atau
auditori pada peringkat yang biasa atau sedarhana,pelajar tersebut masih boleh
untuk membaca dengan baik tetapi jika sudah mencapai tahap yang teruk, pelajar
tersebut akan mengalami kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca dan
memerlukan khidmat doktor untuk menyelesaikan masalah pendengaran tersebut.
Faktor
dalaman terpenting yang menyebabkan masalah membaca dalam kalangan pelajar
ialah psikologi. Tidak dapat dinafikan dua aspek psikologi yang penting yang
menyebabkan pelajar sukar untuk menguasai kemahiran literasi iaitu, kurang
minat membaca dan kurang mengambil perhatian semasa didalam kelas. Kebanyakan
pelajar yang belajar membaca biasanya terdiri daripada kanak-kanak kecil yang
masih suka bermain. Disebabkan inilah,pemerhatian dan tumpuan mereka kepada
guru yang sedang mengajar menjadi kurang dan lebih banyak menumpukan perhatian
untuk bermain sesama mereka. Disebabkan perkara ini,sukar untuk murid berkenaan
untuk menguasai kemahiran membaca sehingga menyebabkan pelajar kurang minat
untuk membaca. Masalah ini banyak berlaku di sekolah-sekolah di Malaysia bahkan
di luar negara. Masalah psikologi dalaman pelajar merupakan masalah besar yang
oleh guru untuk mengajar pelajar untuk menguasai kemahiran membaca.
Selain
masalah dalaman, masalah luaran merupakan antara penyumbang besar kepada
masalah tidak boleh membaca. Beberapa faktor yang dikenal pasti tetapi yang
paling utama ialah masalah pengajaran guru. Menurut kajian yang dijalankan oleh
Tamam Timbang,Zamri Mahamod dan Afendi Hamad yang dimuatkan dalam jurnal
pendidikan bahasa Melayu 1987,menyatakan masalah pengajaran berlaku kerana guru
yang mengajar membaca itu kurang pengalaman,kaedah mengajar yang kurang
berkesan dan tiada keadah khusus yang berkesan untuk mengajar membaca.
Guru-guru yang mengajar membaca biasanya hanya menekankan pelajar untuk
mengenal huruf. Kaedah untuk mengenal suku kata selalu lambat untuk diajarkan
menyebabkan pelajar mudah bosan untuk belajar membaca. Guru sebenarnya
mengalami masalah untuk mengajar membaca kerana tiada satu kaedah khusus untuk
mengajar seseorang pelajar untuk membaca bahkan setiap pelajar menguasai teknik
membaca melalui kaedah yang berbeza. Untuk mengatasi masalah membaca
ini,seseorang guru perlu mewujudkan satu suasana pembelajaran yang aktif (
Mahzan Arshad:2003 ). Seseorang guru perlu memikirkan bagaimana cara yang
kondusif pembelajaran literasi dilakukan didalam kelas seperti menggunakan peta
minda atau gabungan kotak.
Selain
faktor guru tersebut, faktor persekitaran juga memainkan peranan penting dalam
melahirkan seseorang yang mempunyai kemahiran membaca. Menurut ahli
sosiologi,kecerdasan bukanlah sesuatu yang diwarisi tetapi kecerdasan itu
bergantung kepada faktor persekitaran (
Abdullah Sani Yahya : 2004 ). Faktor persekitaran yang memainkan peranan
penting dalam pembentukan kemahiran literasi ialah guru,ibu bapa dan juga
kawan-kawan. Guru sememangnya memainkan peranan penting dalam kehidupan
seharian pelajar terutamanya semasa berada di sekolah. Jika seseorang guru itu
bijak untuk mengendalikan pelajar dalam pembelajaran membaca nescaya pelajar
tersebut tentu akan mudah untuk menguasai pembacaan. Seseorang guru juga perlu
memastikan seseorang pelajar itu dapat menguasai kemahiran membaca semasa di
tahap pra-sekolah atau selebihnya darjah satu. Keluarga juga memainkan peranan
penting.Keluarga merupakan role model utama bagi anak-anak. Ibu bapa berperanan
untuk mewujudkan suasana yang merangsang pembacaan anak-anak mereka ( Yahya
Othman:2004 ). Malangnya di negara kita,suasana yang merangsang pembacaan dalam
kalangan anak-anak biasanya hanya berlaku dalam keluarga yang mempunyai status.
Keadaan kawan turut mempengaruhi pelajar dalam kemahiran membaca. Selain ibu
bapa dan guru,kawan merupakan faktor yang penting dalam menentukan
kebolehbacaan pelajar. Jika seseorang pelajar itu berkawan dengan kawan yang
malas dan tidak tahu membaca,semestinya pelajar tersebut akan mengalami masalah
membaca sebagaimana dengan kawannya. Contoh jelas dapat kita perhatikan
ialah,pelajar di sekolah yang berprestij biasanya akan mudah untuk menguasai
kemahiran membaca kerana persekitaran kawan yang merangsang pelajar tersebut untuk
melakukan aktiviti pembacaan. Sebagai contoh lagi,sekolah orang asli mempunyai
kadar buta huruf yang tinggi kerana kawan-kawan di sekolah ini kebanyakan tidak
mampu untuk mengusai kemahiran literasi dengan baik.
Teks
yang digunakan disekolah juga memainkan peranan untuk menarik minat pelajar
untuk membaca. Jika sasaran pembaca adalah kanak-kanak,sepatutnya buku teks
yang digunakan mempunyai gambar kartun yang boleh menarik minat kanak-kanak
tersebut untuk membaca. Teks yang tidak mempunyai gambar sama sekali tidak akan
menarik perhatian kanak-kanak untuk membaca. Teks yang menggunakan bahasa yang
tinggi sehingga perlu berfikir untuk memahaminya adalah tidak sesuai untuk
digunakan untuk pelajar yang baru membaca. Isi kandungan perlulah melihat
kepada tahap sasaran tersebut. Melahirkan semangat ingin membaca adalah amat
penting untuk seseorang pelajar mula belajar untuk membaca.
Selain
faktor yang telah disebutkan,masa pengajaran juga memainkan peranan penting.
Kebanyakan sekolah misalnya,tidak berapa menitik beratkan masalah ini sehingga
menyebabkan pelajar tidak mencukupi masa untuk belajar membaca. Sepatutnya,masa
untuk belajar membaca perlu ditekankan dan dilanjutkan masanya kerana jika
seorang pelajar tidak mampu untuk menguasai kemahiran membaca semestinya akan
mendatangkan kesan yang buruk kepada dirinya dimasa depan seperti tidak akan
lulus peperiksaan sehingga boleh menjejaskan masa depan pelajar tersebut. Oleh
itu,pihak sekolah terutamanya perlu melihat masa pengajaran membaca ini sebagai
isu penting sehingga menyebabkan masalah membaca berlaku kepada pelajar di
sekolahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulas molek