John Locke |
John Locke mendapat pendidikan di University of Oxford,
England dalam bidang falsafah, sains tabie dan perubatan. Beliau juga pernah
memegang jawatan penting dalam kerajaan. Ketika berumur 34 tahun, Locke telah
bertemu dengan Lord Ashley yang kemudiannya Lord ini bergelar Earl of
Shartesbury. Pada tahun berikutnya, Locke telah dilantik sebagai doktor
peribadi kepada Earl of Shartesbury di samping menjadi sahabat dan setiausaha
kepada Earl. Pada ketika itu, Earl merupakan individu yang berpengaruh di dalam
kancah politik. Namun begitu Earl of Shatesbury dan Locke telah dibuang negeri
ke Netherland akibat Earl yang menggunakan pengaruh raja dan istana di dalam politiknya.
Kemudiannya, beliau kembali semula ke England pada tahun 1699.
Ketika
di dalam buangan tersebut Locke telah menerbitkan dua buah buku iaitu Two Treatises on Goverment dan Essays Corncerning Human Understanding.
Kedua-dua tulisannya ini diterbitkan pada tahun 1690. Kedua-dua karyanya inilah
yang telah mengangkat nama Locke dalam alam falsafah moden. Seterusnya, ketika masa
tua Locke banyak dihabiskan dengan menumpukan hidup kepada agama. Beberapa
tahun sebelum meninggal dunia Locke juga telah mempelajari agama di Epistles of
St. Paul. Beliau meninggal dunia pada tahun 1704 ketika berusia 72 tahun.
Falsafah
John Locke merangkumi ilmu pengetahuan iaitu mengenai sekitar persoalan
epistemologi. Locke amat berminat membincangkan tentang asal usul ilmu
pengetahuan dan kesahihannya. Namun begitu, Locke menolak pendapat yang diutarakan
oleh golongan Rationalisme. Hal ini adalah kerana pemikir golongan rationalisme
mengemukakan konsep innate ideas yang amat ditentang oleh Locke. Innate ideas
dapat ditafsirkan sebagai sumber atau
alat utama manusia untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Locke amat menentang
konsep innate ideas ini adalah kerana Locke beranggapan adalah mustahil bagi
suatu benda itu ada dan tiada pada waktu yang sama. Locke juga beranggapan
kebenaran seperti itu bukanlah berbentuk innate kerana idea sedemikian bukan
diberikan kepada seseorang ketika dilahirkan.
Locke
turut menegaskan bahawa untuk memastikan sesuatu fakta itu adalah tepat dan
benar, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu mengkaji asal-usul idea
tersebut. Hal ini juga boleh menentukan had pengetahuan kita. Menurut Locke
lagi, hanya mental fakulti atau kuasa sahaja yang dianggap innate (semula jadi)
dalam proses mendapatkan dan mencari ilmu pengetahuan, sedangkan ilmu
pengetahuan yang aktual itu sendiri diperoleh melalui pancaindera dan
pengalaman. Minda (mind) pula mendapatkan ilmu pengetahuan daripada kelima-lima
pancaindera dan kemudiannya mencetak semua ilmu pengetahuan pada fikiran
seolah-olah minda sebelumnya hanya merupakan tabula rasa (black tablet) atau
umpama sekeping kertas yang tidak mempunyai apa-apa tulisan di atasnya dan
tanpa sebarang idea. Oleh yang demikian, semua bahan yang digunakan untuk
berhujah dan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan datangnya daripada pengalaman.
Justeru itu, falsafah John Locke telah dipanggil sebagai Empericisme.
Selain
itu, Locke di dalam hujahnya juga menolak adanya innate idea. Hal ini adalah
kerana Locke menyatakan bahawa sekiranya sesuatu prinsip atau sesuatu ilmu
pengetahuan itu dicetak dalam fikiran sebelum ia diketahui melalui pengalaman,
maka ia sesuatu yang sukar untuk menentukan kesemulajadian (innateness) ilmu
pengetahuan tersebut. Oleh itu, adalah salah untuk mendakwa bahawa kita mula
menyedari kebenaran apabila kita mula menggunakan kerja-kerja akal (reason)
sebelum ia mengetahui sesuatu. Tambahan lagi, oleh kerana sesuatu itu belum
dialaminya maka ia bukan merupakan satu ilmu baginya sebab belum menjadi suatu
pengalaman bagi dirinya. Undang-undang moral contohnya tidak boleh dilabelkan
sebagai innate kerana undang-undang demikian tidak bersifat terbukti sendiri
dan tidak juga bersifat penerimaan sejagat.
Di
samping itu, Locke juga turut meyatakan bahawa apa yang dianggap sebagai suatu
dosa kepada seseorang itu mungkin juga perkara itu merupakan tanggungjawab bagi
seseorang yang lain. Oleh itu, hal seperti itu bukanlah semula jadi kerana ia
masih memerlukan pertimbangan akal bagi menentukan kebenarannya (validity).
Locke turut menganggap apa yang dimaksudkan dengan innate idea itu hendaklah
meliputi ilmu pengetahuan yang diperoleh atau dipunyai oleh kanak-kanak atau
uncultured people serta uneducated people. Beliau turut menyatakan apa yang
dikatakan oleh Decrates berhubung dengan the idea of God sebagai innate itu
sebenarnya adalah tidak benar. Hal ini adalah kerana banyak lagi kaum-kaum yang
sama kurang mempunyai idea of God tersebut ataupun kurangnya the knowledge of
God. Tambahan lagi, menurut Locke sekalipun manusia itu mempunyai kefahaman
ketuhanan dalam dirinya, tidaklah juga bererti bahawa idea tersebut merupakan
idea yang innate. Locke turut berhujah dengan memberikan contoh kepanasan, api,
matahari, dan bilangan juga tidak dianggap sebagai innate sungguhpun ia
diterima sejagat (universally recognised) dan diketahui oleh semua orang
tentang hakikat benda tersebut. Justeru itu, John Locke menganggap minda yang
dimiliki seseorang itu adalah seperti tabula rasa atau a dark chamber, atau an empty
cabinet, atau a white paper void of
all characters without any ideas.
Sehubungan
dengan itu, Locke menyatakan bahawa minda itu mula dilengkapi dengan ilmu pengetahuan
apabila bersumberkan pengalaman pancaindera. Locke turut membahagikan
pengalaman pancaindera kepada dua jenis iaitu dalaman dan luaran. Hal ini
membawa erti terdapat dua cara bagaimana pengalaman boleh diperolehi seseorang.
Pertamanya, melalui sensasi. Melalui sensasi ini minda seorang akan dilengkapi
dengan nilai-nilai sensasi. Sensasi inilah yang akan menyediakan apa sahaja
idea yang terpancar dari pengalaman luaran, iaitu dari objek luaran manusia.
Keduanya, pengalaman diperoleh daripada refleksi atau pantulan atau juga
pancaindera dalaman. Refleksi inilah yang akan membekalkan minda seseorang dengan
idea-idea yang dihasilkan oleh kerja-kerja refleksi itu seperti berfikir,
meragui, percaya, mengetahui, berkehendak dan sebagainya. Locke menyifatkan
idea itu adalah apa-apa sahaja yang dapat difahami atau dapat dimengertikan
oleh minda secara langsung ataupun sesuatu yang menjadi objek kepada persepsi,
pemikiran atau kefahaman. Hal ini bermakna bahawa refleksi menyediakan idea
yang menjadi sebahagian dari alam dalam tubuh badan.
Locke
juga menggambarkan cara bagaimana idea itu dapat diterima seseorang dengan
menggambarkannya seperti sebuah papan hitam yang menerima coretan tulisan kapur
yang dituliskan di atasnya. Pengalaman pancaindera memberi nilai-nilai sensasi
kepada minda seperti kekuningan, panas, lembut, manis, dan sebagainya.
Kemudiannya pula, minda akan membuat refleksi keatas aktiviti-aktiviti dan
keadaan-keadaan tersebut, menyediakan atau menerima pula idea-idea set kedua
seperti dalam persepsi, berfikir, meragu, percaya, mengetahui dan berkehendak.
Semua aktiviti refleksi dan idea itu hanya akan dibawa kepada operasi-operasi sensori
dalaman setelah minda menerima pengalaman pancaindera. Hal ini bermaksud
sebelum pengalaman pancaindera memaklumkan sesuatu kepada minda, maka
kerja-kerja refleksi tidak dapat dilaksanakan oleh sensa dalaman.
John
Locke juga telah membezakan antara idea-idea mudah (simple) dan idea-idea sukar
(complex). Menurut Locke, idea-idea sukar ini adalah intipati (abstraction)
atau gabungan daripada beberapa idea mudah. Idea-idea yang diterima oleh
seseorang itu merupakan idea-idea mudah. Hal ini disebabkan minda mempunyai
kebolehan untuk mengulangkannya, membandingkannya, menggabungkannya dengan apa
sahaja maklumat supaya ia menjadi satu idea yang sukar. Idea-idea mudah yang
datang kepada kita sama ada melalui pengalaman pancaindera ataupun melalui
refleksi yang terdiri daripada empat jenis. Jenis refleksi yang pertama
merupakan idea yang kita terima dari satu deria sahaja seperti idea-idea tentang
warna, suara, rasa, dan bau. Keduanya pula, refleksi idea yang didapati melalui
dua atau lebih deria yang digabungkan secara serentak seperti idea yang
berhubungkait dengan ruang, pengembangan, bentuk, diam dan gerak. Ketiganya
pula, idea yang diperolehi dari refleksi semata-mata iaitu terdiri daripada
idea yang dibentuk oleh kekuatan berfikir iaitu yang disebut sebagai kefahaman
serta kuasa untuk berkehendak. Hal ini umpamanya mengingati, berkehendak,
menilai, mengetahui dan mempercayai. Keempatnya pula, idea yang didapati
melalui kedua-dua sekali iaitu sensasi dan refleksi seperti idea berhubung
dengan kelazatan, kesakitan, kekuasaan, kewujudan dan kesatuan.
Seperti
yang diketahui, gabungan beberapa idea yang mudah akan membentuk idea yang
sukar. Tuhan sebagai contoh merupakan sebuah idea yang sukar. Hal ini adalah
kerana idea tentang tuhan merupakan gabungan beberapa idea mudah seperti
kewujudan, masa, pengetahuan, kuasa dan lain-lain. Fikiran seseorang mempunyai
kekuatan untuk mengetahui beberapa perkara dan kemudiannya menggabungkannya
hingga menjadi tiada kesudahan (infinity). Oleh kerana Locke mendapatkan idea
sukar atau abstrak daripada sensasi maka beliau telah diselar sebagai
Norminalist dan kebanyakan ahli-ahli falsafah Inggeris adalah terpengaruh
dengan pendapat beliau.
John
Locke turut membezakan idea-idea sama ada sukar atau mudah dengan hakikat yang
objektif iaitu benda atau alam nyata yang dinamakan atau digelar oleh idea
tersebut. Menurut apa yang disebut
sebagai idea tersebut sebenarnya berada di luar daripada kita. Benda sebenar
tersebut mempunyai kualiti tertentu atau mempunyai kuasa tertentu. Kuasa atau
nilai yang dimaksudkan itu meliputi dua jenis iaitu prima dan nilai yang
sekunder. Kualiti prima menurut Locke merupakan kualiti yang dimiliki oleh
objek itu sendiri dan ia tidak boleh dipisahkan atau tidak boleh diceraikan
dari benda yang sebenar. Contoh-contoh yang terlingkup di dalam golongan
kualiti prima ialah kepadatan, pengembangan, bentuk, gerak dan diam. Apabila
kita mengatakan bahawa kita sedang mengalami atau merasai kualiti-kualiti
primer, maka idea kita sebenarnya hanyalah merupakan salinan daripada kualiti
itu sendiri, juga sebagai bentuk-bentuk mental atau gambaran kepada hakikat benda
itu semata-mata seperti mana benda itu sendiri. Kualiti sekunder pula menurut
Locke ialah kualiti yang bukanlah sebahagian dari objek tersebut. Kita boleh
sahaja menggantikannya serta-merta dengan kualiti sekunder yang lain pula tanpa
melibatkan objek itu sendiri dari segi kewujudannya. Sebagai contoh, kualiti
sekunder ialah warna, bunyi, bau dan rasa. Umpamanya seketul batu merah itu
memang ada dan mengambil ruang tertentu untuk wujud, tetapi warna merah yang
dilihat itu hanyalah kualiti sekunder sahaja kerana kemerahan warna itu hanya
melalui deria penglihatan kita dan kualiti ini tidak menjadi sebahagian dari
objek batu itu sendiri.
Demikianlah
beberapa teori John Locke yang mana teori-teori daripada beliau telah menjadi
teras bagi teori-teori aliran empericisme dan juga teori-teori pendidikan oleh
tokoh-tokoh pendidikan kemudiannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulas molek