"Pakar Hadits Kota Malang", itulah gelaran yang telah
diberikan kepada Habib Sholeh bin Ahmad bin Salim al-'Aidrus, seorang
ulama dan muballigh kenamaan di majlis - majlis ta'lim di Jawa Timur.
Reputasinya sebagai ulama dan muballigh sudah diakui kaum Muslimin di Jawa Timur.
Ilmu agamanya pun cukup mendalam. Wajah ulama yang shaleh ini selalu tampak
bersih, tutur katanya halus dan dengan gaya bertutur yang enak didengar. Selain
rajin memberi ceramah dan pengajian di berbagai tempat, beliau juga menjadi
pengajar tetap Pondok Pesantren Darul Hadits Al-Faqihiyyah, Malang, Jawa
Timur.
Beliau
dilahirkan di Kota Malang pada 18 Jun 1957. Sejak kecil berada di lingkungan
yang taat beragama. Pendidikan dasar Habib Sholeh terasah sejak ia masuk
Madrasah Ibtidaiyah At-Taroqi, Malang, yang dikelola ayahandanya, Habib Ahmad
bin Salim al-'Aidrus yang cintakan ilmu dan mengabdikan dirinya untuk mengajar
di madrasah tersebut selama hampir 30 tahun. Ayahandanya juga terkenal dengan
kewarakannya dan hanya mahu makan dari hasil titik peluhnya sendiri serta
kehidupannya sehari-hari sangat sederhana.
Berbalik kepada Habib Sholeh, selepas lulus dari
madrasah, beliau melanjutkan pengajiannya ke tahap tsanawiyah di Pesantren
Darul Hadits al-Faqihiyyah Malang. Di sana beliau menimba ilmu terutama sekali
berhubung hadits daripada Habib 'Abdullah bin Abdul Qadir bin Bilfagih yang
terkenal sebagai ahli hadits yang mempunyai daya hafalan yang menakjubkan.
Habib 'Abdullah menghafal banyak hadits dengan sanadnya sekali, bahkan
nama-nama kitab rujukan beserta halaman mukasuratnya turut berada dalam ingatan
beliau.
Setelah menimba ilmu di pesantren tersebut, akhirnya
Habib Sholeh melanjutkan pengajiannya ke Makkah al-Mahmiyyah. Beliau memasuki
ribath Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alwi al-Maliki al-Hasani pada tahun 1977.
Setelah kira-kira 10 tahun mengaji di kota suci tersebut, akhirnya pada tahun
1988, beliau pulang ke tanahairnya untuk mengembangkan dakwah dan ilmu.
Sekembalinya dari pengajian, beliau mendirikan rumahtangga dengan salah seorang
putri Habib 'Abdullah bin Abdul Qadir Bilfagih dan sekaligus ditugaskan
mengajar di Pesantren Darul Hadits tersebut. Selain dari itu, beliau turut
membuka majlis ta'lim di rumahnya dan di berbagai tempat. Selain berdakwah
melalui majlis-majlis ta'lim tersebut, beliau juga giat mengarang, setakat ini
beliau telah mengarang kira-kira 11 buah kitab berbahasa 'Arab, antaranya:-
1. asy-Syaafiyah fi Bayaani Isthilaahaatil Fuqahaa`
asy-Syafi`iyyah;
2. Faidhul 'Allam fi Akhkamis Salam;
3. an-Nasyrul Fa’ikh fi Tartibil Fawatih;
4. Is’aful Muhtaj fi Syarhi al-Qilat al-Murajahah
fil-Minhaj;
5. Nailul 'Arab fi Muqaddimatil Khuthab;
6. Lawami’un Nuris Sani fi Manaqibil Imam Muhammad al-Maliki
al-Hasani;
7. al-Injaz fi Matsali Ahlil Hijaz.
Mudah-mudahan Allah melanjutkan usia beliau dan
memberikannya kekuatan untuk terus menyebarkan ilmu Islam kepada umat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
ulas molek