Bendera GAM |
Gerakan
Acheh Merdeka atau GAM merupakan sebuah gerakan pemisah Acheh yang cuba
membebaskan Acheh daripada penguasaan Indonesia. Indonesia merupakan negara
yang mempunyai paling banyak pemisah wilayah di Asia Tenggara. Kumpulan pemisah
itu terdapat di kawasan Bali, Irian Jaya, Timur Leste, Acheh, Sumatera dan
banyak lagi. Kebanyakan kumpulan pemisah yang ada ini adalah kerana perasaan
tidak puas hati yang diberikan oleh pemerintah NKRI. Daripada banyak kumpulan
pemisah ini, boleh dikatakan hanya 2 sahaja yang berjaya iaitu kumpulan pemisah
di Timur Leste yang berjaya memerdekakan negaranya dan juga Kumpulan Pemisah Acheh
yang yang juga disebut sebagai GAM. Gerakan ini walaupun tidak berjaya untuk
membawa keluar Acheh daripada Indonesia namun perjuangan yang dilakukan oleh
gerakan ini telah berjaya memaksa Indonesia untuk memberi kuasa autonomi
wilayah kepadanya.
Penentangan
di Acheh berlaku dalam 2 fasa yang berbeza. Pada zaman awalnya pemberontakan
penduduk Acheh keatas pemerintahan Indonesia adalah kerana keengganan Sukarno
untuk menggunakan Islam sebagai dasar negara. Ini kerana Sukarno berpendapat,
hanya nasionalisme yang mampu untuk menyatukan semua unsur, kekuatan, etnis,
suku, golongan dan agama di berbagai daerah. Keadaan ini telah menyebabkan rasa
tidak puas hati berlaku dalam kalangan masyarakat Acheh. Tengku Muhammad Daud
Beureuh telah memimpin masyarakat Acheh melalui Darul Islam untuk menuntut
kemerdekaan Acheh Darussalam. Perjuangan Daulah Islam dan Tentera Islam
Indonesia ( DI/TII ) hanyalah perjuangan untuk menuntut untuk mewujudkan sebuah
negara Islam di Acheh dan Indonesia.
Selepas
kebanyakan pejuang DI/TII menyerah diri kepada Jakarta seperti Muhammad Natsir
dan Syafruddin Prawiranegara menyerah kepada Sukarno perjuangan DI/TII menjadi
semakin perlahan bahkan Syafruddin Prawiranegara yang juga telah mengajak
pengikut untuk menyerah diri kepada Republik Indonesia. Tidak lama kemudian
Daud Beureuh juga turut menyerah diri. Perjuangan rakyat Acheh untuk mewujudkan
negara Islam telah pudar sehinggalah tahun 1976, semangat ini telah kembali lagi.
GAM ini telah wujud setahun sebelum PEMILU 1977 namun ia bukanlah kumpulan yang
dikenali pada waktu itu. Ini kerana pada masa itu sudah ada sebuah parti yang
memperjuangkan Islam iaitu Parti Persatuan Pembangunan ( PPP ) telah dianggap
mewakili suara Daulah Islam.
Gerakan
Acheh merdeka telah dipimpin oleh Hasan Tiro iaitu seorang anak Acheh yang
belajar di Amerika Syarikat. Hasan Tiro memainkan peranan penting dalam
perjuangan rakyat Acheh. Walaupun GAM merupakan penerus kepada perjuangan
Daulah Islam namun kumpulan pemisah ini mempunyai beberapa perbezaan yang
ketara. Secara asasnya, GAM dibentuk oleh kumpulan orang tua yang berjuang
semasa Daulah Islam dan juga golongan muda. Golongan tua ini mahu supaya Islam
menjadi asas perjuangan untuk GAM namun golongan muda yang diketuai oleh Hasan
Tiro pula mahukan perjuangan secara sekular. Oleh itu boleh dikatakan bahawa
GAM telah berpecah sebelum tertubuh lagi. GAM telah ditubuhkan pada 4 Disember
1976. Perjuangan GAM ialah untuk menuntut kemerdekaan Acheh daripada Indonesia
kerana dikatakan kemasukan Acheh ke dalam Indonesia adalah perbuatan yang tidak
sah. Berbeza sekali dengan perjuangan Daulah Islam yang hanya mahukan sebuah
negara Islam sahaja tanpa perlu pemisahan daripada Republik Indonesia ( RI ) . Jelas
disini terdapat 2 perbezaan yang ketara dalam kumpulan pemisah di Acheh ini.
Namun persamaan yang nyata ialah kedua-dua kumpulan ini menggunakan gerakan
militer untuk mencapai tujuan. Kebanyakan menganggap Hasan Tiro merupakan
tulang belakang dan pemimpin penting GAM namun pada saya tulang belakang
sebenar kepada GAM ialah Daud Beureuh itu sendiri. Ini dikukuhkan melalui
beberapa bukti contohnya ialah, semasa PEMILU 1977, telah berlakunya pertemuan
antara sisa-sisa pejuang DI/TII dan sepakat untuk meneruskan perjuangan
menentang kerajaan Jakarta dan keduanya kerana Daud Beureuh sendiri telah
meminta bantuan daripada Hasan Tiro yang pada masa itu berada di Amerika untuk
mencari senjata.
Walaupun
pada awalnya GAM ini lebih kepada orentasi secular namun perkara ini telah
dirubah untuk menjadi sebuah negara Monarki Islam seperti Arab Saudi. Bahkan
lebih daripada itu, beliau mahu jawatan sebagai raja Acheh Darussalam dan
beliau telah bertindak melantik anaknya Karim Tiro sebagai Putra Mahkota namun
tidak dilayan oleh anaknya itu.
Perjuangan
GAM ini pada peringkat awal boleh dibahagikan kepada 3 fasa penting. Fasa
pertama pada tahun 1979 iaitu 2 tahun selepas PEMILU, GAM telah berjaya
ditewaskan oleh tentera Indonesia sehingga menyebabkan gerakan ini menjadi
gerakan bawah tanah. Kemudian fasa kedua ialah pada tahun 1989, apabila
pulangnya gerila GAM dari latihan di Libya. Keadaan ini telah menyebabkan
kerajaan Indonesia terpaksa untuk membuat satu operasi yang digelar sebagai
Operasi Jaring Merah. Gerakan pada fasa kedua ini merupakan gerakan yang
terpenting dilakukan oleh pihak GAM dimana mereka telah bertindak menyerang
pos-pos tentera dan merampas senjata mereka. Pengalaman belajar gerila di Libya
menyebabkan mereka mempunyai kemahiran dalam pertempuran gerila. Pada kali ini,
GAM tidak dipimpin oleh golongan ulama atau golongan agama sebagaimana semasa
Daulah Islam. Disebabkan kebenciaan penduduk Acheh dengan cara pentadbiran
kerajaan Indonesia menyebabkan GAM mendapat sokongan yang kuat daripada penduduk
tempatan. Isunya lebih kepada layanan kerajaan Indonesia keatas Acheh itu
sendiri. Contohnya Acheh mempunyai hasil minyak yang banyak tetapi malangnya Acheh
hanya mendapat hasil yang sedikit sahaja daripada minyak yang dimilki olehnya.
Gerakan
penentangan yang kuat telah dilakukan oleh GAM sekitar pertengahan tahun
1990-an. Pada tahun ini, GAM telah bertindak menentang pemeritahan Jakarta
sehingga memaksa Indonesia mengistiharkan Darurat keatas Acheh sehingga tahun
1998. Keadaan ini telah membenarkan untuk Tentera Indonesia iaitu ABRI
bertindak sesuka hati untuk membunuh, menyeksa orang yang disyaki terlibat
dengan GAM. Boleh dikatakan bahawa pembunuhan massal telah berlaku sehingga
menyebabkan semakin ramai rakyat Acheh mula berpihak kepada GAM. Keadaan ini
tentunya sukar untuk ABRI menghapuskan GAM. Perjuangan rakyat Acheh ini
menyebabkan Indonesia terpaksa memberi autonomi wilayah kepada Acheh dan ia
satu-satunya kawasan yang mendapat autonomi daripada Jakarta.