Gambaran Puteri Li Po |
Kisah
Puteri Hang Lipo merupakah kisah yang sinonim dengan masyarakat Malaysia
sekarang ini. Boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia tahu akan kisah Puteri
Hang Lipo ini atau sekurang-kurangnya pernah mendengar nama puteri tersebut
disebutkan. Cikgu-cikgu disekolah sering menyebutkan kisah ini di sekolah
begitulah juga diakhbar-akhbar arus perdana di negara ini. Semasa Malaysia
mengadakan hubungan diplomatik dengan China sekitar tahun 1970 semasa zaman
pemerintahan Tun Razak, kisah Puteri Hang Lipo sering diulang-ulang untuk
menunjukkan bahawa kedua-dua negara ini pernah mempunyai hubungan akrab semasa
pemerintahan dinasti Ming dan juga Kerajaan Melaka dibawah Sultan Mansur Syah. Bahkan
suatu masa dahulu pernah dilakonkan di TV1 kisah Puteri Hang Lipo ini. Sumber utama mengenai Puteri Hang Li Po ialah
Sejarah Melayu itu sendiri.
Dalam
kisah tersebut, Puteri Hang Lipo dikatakan telah menjalinkan hubungan cinta
dengan seorang panglima China sehingga kepada hubungan terlarang. Maharaja
China pada masa itu, telah menjatuhkan hukuman mati kepada mereka berdua ini,
dan telah melantik seorang dayang kepada Puteri Hang Lipo yang beragama Islam
bagi menggantikan tempat Puteri Hang Lipo yang akan dikahwinkan dengan Sultan
Melaka. Di Malaysia sendiri, banyak pertikaian dilahirkan oleh masyarakat, ada
yang berpendapat Puteri Hang Lipo merupakan puteri sebenar maharaja China dan
sebahagian lagi percaya itu hanyalah dayang kepada puteri tersebut kerana
mengandaikan bahawa mustahil maharaja akan mengahwinkan puteri baginda dengan
Sultan Melaka. Peristiwa perkahwinan dayang dengan kerajaan luar pernah berlaku
semasa pemerintahan Maharaja Terakhir dinasti Song apabila baginda mengahwinkan
dayang puteri baginda dengan putera orang Mongol bagi mengelakkan serangan
Mongol, itupun dilakukan selepas diberi gelaran puteri kepada dayang tersebut.
Memberi gelaran kepada diraja kepada orang bukan keturunan diraja bukanlah
sesuatu yang pelik kerana Houyan pernah memberi gelaran putera kepada seorang
rakyat yang dating daripada negara musuhnya.
Benarkah Puteri Hang Lipo
Dikahwinkan ke Melaka?
Satu
persoalan yang mungkin bermain di minda masyarakat ialah benarkah peristiwa
Puteri Hang Lipo ini berlaku. Dalam sejarah Melayu telah menyebut tentang
Puteri Hang Lipo..
“Maka Titah raja Raja China pada Tun
Perpatih Putih:. “Suruhlah anakku Raja Melaka menghadap aku kemari, supaya
anakku raja Melaka menghadap aku kemari supaya aku dudukkan dengan anakku
puteri Hang Li Po”. Maka Sembah Tun Perpatih Putih:” Tuanku ,akan paduka
anakanda raja Melaka, tidak dapat meninggalkan negeri Melaka kerana negeri
Melaka permusuhan: Jikalau Tuanku hendak menganugerahkan paduka anakanda itu,
marilah patik bawa. InsyaAllah Taala selamat sampai ke Melaka”. Maka Raja China
pun memberi titah pada Li Po , menyuruh
berlengkap akan menghantar anakanda baginda ke Melaka seratus buah pilu,
seorang menteri besar akan panglimanya, Di Po namanya. Setelah sudah berlengkap
maka dipilih oleh raja China anak para menteri yang baik-baik parasnya lima
ratus banyaknya diberikan akan dayang-dayang anakanda baginda. Telah itu,maka
Tuan Puteri Hang Li Po dan surat itupun diarak orang ke perahu, maka Tun
Perpatih Putih dengan Di Po belayarlah ke Melaka membawa tuan puteri anak raja
China itu. Ada beberapa lamanya dijalan maka sampailah ke Melaka,maka
dipersembahkan oranglah kepada Sultan Mansor Syah mengatakan Tun Perpatih Putih
datang membawa puteri China. Maka baginda pun terlalu sukacita mendegarnya,
Maka baginda berangkat sendiri mengalukan –alukan had Pulau Sebat. Setelah
bertemu, maka seribu kebesaran dan kemulian dibawa masuk , lalu dalam istana.
Maka Sultan Mansor Syah pun hairanlah melihat paras tuan puteri anak raja China
itu. Maka disambut baginda puteri Hang Lipo itu, disuruh masuk Islam. Telah
sudah Islam, maka Sultan Mansor Syah pun berkahwin dengan puteri hang Li Po
itu, beranak seorang laki-laki dinamai Paduka mimat,ia beranakkan Paduka Seri
China , ayah paduka Ahmad, ayah paduka Isap. Maka segala anak menteri China
yang lima ratus disuruh baginda Islamkan, disuruh diam di Bukit China. Maka
sampai sekarang bukit itu disebut bukit China. Oa telah menggali perigi di
Bukit China itu dan anak cucu orang itulah dinamai biduanda China. Maka Sultan
Mansor Syah pun memberi persalinan akan Di Po dan segala menteri China yang
membawa anak Raja China itu”.
Tulisan
Sejarah Melayu ini telah dijadikan dalil bahawa memang wujud hubungan
perkahwinan diraja tersebut dan ia seolah-olah telah menjadi fakta sejarah yang
dipegang oleh semua orang di Malaysia tanpa mengira kaum Cina ataupun kaum
Melayu. Sesetengah sarjana sendiri tidak menerima Sejarah Melayu sebagai sumber
sejarah kerana banyak mengandungi mitos dan cerita rekaan. Lagi pula sejarah
Melayu ditulis oleh Tun Seri Lanang yang jarak masa dengan peristiwa tersebut
lebih kurang 200 tahun.
Seorang
penyelidik yang bernama Kong Yuanzi pula mempertikaikan tentang perkahwinan ini
dengan mengemuka beberapa bukti. Lebih menarik mengenai isu ini ialah
perkahwinan ini tiada dalam rekod Dinasti Ming sedangkan rekod lain mengenai
Melaka dicatat secara terperinci. Jadi berlaku persoalan disini samaada benar
atau tidak perkahwinan itu berlaku. Ada sebahagian pula yang berpendapat,
Puteri Hang Lipo telah dihantar ke Melaka oleh Zheng He/ Cheng Ho. Namun
persoalan asal yang bermain diminda saya ialah bagaimana sesuatu peristiwa
penting dalam sejarah China ini tidak ditulis sedangkan beberapa perkahwinan
diraja telah ditulis dalma rekod China seperti perkahwinan dengan Xiong Nu dan
Tibet mempunyai rekod yang jelas. China adalah sebuah negara yang mementingkan
sejarah dan rekod. Maharaja itu sendiri dikatakan mempunyai dua orang yang akan
merekod sejarahnya iaitu seorang akan menulis perlakuan raja dan seorang pula
akan menulis percakapan raja. Jadi jika ahli sejarah kerajaan China tidak
menulisnya nescaya tukang tulis Maharaja ini akan menulisnya. Tetapi perkara
itu tidak wujud sama sekali. Ia samalah dengan catatan yang mengatakan Maharaja
China menghantar 7 kapal yang berisi jarum yang mana setiap jarum itu mewakili
seorang rakyatnya manakala Raja Melaka menghantar 7 biji kapal yang penuh
dengan muatan sagu dimana setiap biji sagu tersebut mewakili setiap orang
rakyat Melaka, rekod ini tidak wujud di China.
Sejarah
Melayu menyatakan secara jelas bahawa Di Po merupakan orang yang bertanggungjawab
menghantar Hang Li Po ke Melaka sedangkan dalam beberapa catatan pula
menyatakan bahawa yang menghantarnya adalah Zheng He. Jika fakta ini menyebut
bahawa Zheng He/ Cheng Ho yang menghantarnya maka ia adalah satu rekaan yang
dilakukan oleh masyarakat pada waktu itu. Buktinya, Cheng Ho telah meninggal 20
tahun lebih awal daripada masa Sultan Mansor naik takhtha. Bagaimana orang yang
mati boleh bangkit semula dan menjalankan urusan kerajaan ini. Keduanya,
pengikut Cheng Ho dalam pelayaran itu seperti Ma Huan , Feng Xin dan Gong Zhen
tidak menyebut mengenai puteri Hang Lipo?.
Berdasarkan
ini, pada saya beberapa ksimpulan dapat dibuat , bahawa puteri Hang Lipo ini
memang tidak wujud dan ceritanya sengaja diada-adakan. Kemungkinan juga puteri
China yang dimaksudkan itu ialah anak orang Cina yang sebenarnya bukan berasal
daripada keluarga diraja China. Purcell seorang pelajar Portugis menyatakan
bahawa Sultan Iskandar Syah yang merupakan raja kedua Melaka pernah berkahwin
dengan seorang cina anak kapten kapal.
Jadi ini adalah sesuatu kemungkinan yang berlaku kerana ketiadaan rekod
China mengenai hal perkahwinan ini merupakan sesuatu yang tidak boleh
diterima.. Apapun terserah kepada pembaca untuk menyokong atau menentang
pendapat yang saya kemukakan.