Jumaat, Januari 21, 2011

Syair Siti Sianah - Nasihat untuk Wanita

Syair Siti Sianah
Sesetengahnya perempuan terlalu janggalnya,
Roma di muka pula dicukurnya,
Seperti taji berandam di keningnya,
Kemudian memakai dengan selengkapnya.

Mengagak mengilai terlalu suka,
Melihat laki-laki ditampakkan muka,
Supaya laki-laki boleh menyangka,
Ianya elok tidak terhingga.

Sesetengah perempuan sangat pesolek,
Berhias berdandan berpakai molek,
Didalam cermin muka ditelek,
Kanan dan kiri dibelek-belek.

Meskipun tiada berapa eloknya,
Ada yang setengah kembang hidungnya,
Serta pula kepik batangnya,
Seperti buaya besar mulutnya.

Setengah perempuan perangainya cela,
Habis dipenuhi rambut kepala,
Rambut yang sikit disiputnya pula,
Memakai cemara berjela-jela.

Terkadang muka dibubuh pupuri,
Kaki dan tangan,lengan dan jari,
Jadilah rupanya putih berseri,
Pekerjaan tipu sangat digemari.

Setengah perempuan yang makan angkat,
Memakai gelang bertingkat-tingkat,
Memandang lelaki matanya lekat,
Dengan jantan suka berdekat.

Kaki dan tangan dinaikkan pula,
Pura-pura dikatakan ubat segala,
Hakikatnya diketahui Allah Taala,
Supaya lelaki berhati gila.

Berlindunglah kita kepada Allah,
Daripada perbuatan yang amat salah,
Mudah-mudahan dilepaskanlah,
Jangan menjadi betina sempolah.

Sesetengahnya suka bermain judi,
Inilah perangai banyak terjadi,
Habislah tergadai intan serudi,
Kerana perangai sudah menbadi.

Laki-laki dan perempuan bertindih lutut,
Banyaklah kelakuan yang tidak patut,
Sembahyang ibadat sudahlah bantut,
Kerana syaitan duduk di buntut.